Daripada apa yang telah kita saksikan baru-baru ini, pelbagai tekanan yang telah dilakukan oleh kerajaan pusat yang diterajui oleh Umno terhadap kerajaan negeri Selangor dengan tujuan untuk melemahkan jentera pentadbiran negeri tersebut.
Peristiwa yang terbaru, Umno telah memperalatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyerbu bangunan kerajaan negeri, pejabat-pejabat beberapa orang ahli Exco kerajaan negeri serta ahli-ahli dewan undangan negeri atas alasan peruntukan RM500,000 kepada DUN mungkin telah disalahgunakan oleh Adun-Adun yang berkenaan.
Taktik tersebut juga dilihat sebagai cubaan Umno untuk mensabotaj kerajaan negeri dan mencemarkan kredebiliti para Exco kerajaan negeri agar keadaan negeri tersebut akan menjadi tidak stabil dan menyebabkan huru-hara.
Dan apabila negeri tersebut menjadi tidak stabil dan huru-hara berlaku, Umno akan mengambil kesempatan tersebut untuk melancarkan rampasan kuasa mereka bagi menggulingkan kerajaan negeri Selangor dengan bantuan beberapa buah agensi kerajaan pusat.
Keadaan di Selangor kini telah menjadi serius apabila setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Teo Beng Hock terbunuh di dalam ibupejabat SPRM Selangor setelah menjalani satu seesi soal siasat di bangunan tersebut pada jam 3.45 pagi semalam.
Mungkinkah beliau dibunuh oleh kerana motif-motif politik yang tertentu adalah tidak jelas dan kini pihak polis kini sedang menyiasat kematian Teo bagi mengenalpasti punca kematian beliau.
Menurut pengarah siasatan SPRM, Teo telah dipanggil untuk soal siasat awal pagi kelmarin bukan sebagai seorang tertuduh tetapi taraf beliau hanya sebagai saksi. Itu kita tidak pasti sama ada kenyataan SPRM itu tepat atau sebaliknya.
Kami dapati sebab-sebab SPRM bertindak agresif terhadap kerajaan negeri Selangor, bahawa mereka hanya menjalankan tugas adalah tidak berasas langsung. Tindakan yang dilakukan oleh SPRM ini sememangnya banyak terhadap sikap-sikap berat sebelah dan pilih kasih.
Apabila laporan rasuah dibuat terhadap Adun-Adun BN dan Umno, SPRM gagal bertindak terhadap mereka dengan secara berkesan, bahkan menutup kes-kes tersebut dengan begitu cepat sekali atas alasan tidak ada apa yang perlu disiasat. Adakah ini semua adil dan saksama?
Dan apabila ianya terjadi di pihak Pakatan Rakyat pula, SPRM terus membuat serangan dan serbuan mereka tanpa bukti-bukti yang kukuh dan tidak pula mendapatkan waran daripada saluran perundangan yang sah untuk berbuat demikian.
Perbuatan SPRM tersebut jelas telah melampaui batas dan membelakangi undang-undang yang ada.
Sewaktu Umno dan BN memerintah Selangor sebelum 8 Mac 2008 yang lalu, banyak kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah berlaku di bawah kepimpinan Dr Mohd Khir Toyo sebagai menteri besar dan ketua perhubungan Umno negeri pada masa itu.
Jutaan ringgit wang rakyat telah lesap di sana sini, melalui penyaluran peruntukan DUN kepada pihak-pihak yang salah sehingga melangkahi batas-batas undang-undang dan jentera pentadbiran negeri.
Dan SPRM pula tidak berminat untuk mengketengahkan kes tersebut untuk siasatan terperinci. Pembinaan Taman Exco Negeri, pembinaan istana-istana dan mahligai yang lebih besar daripada istana Raja-raja dan Sultan oleh para pemimpin dan ketua-ketua bahagian Umno secara berleluasa, penerimaan kontrak berjuta-juta ringgit tanpa perlu melalui proses tender. Itu semua rasuah yang bermaharajalela pada masa itu, kenapa SPRM tidak menyiasat dan mengambil tindakan.
Penggelapan wang kebajikan jutaan ringgit dalam pertubuhan isteri-isteri wakil rakyat ADUN BN oleh isteri Dr Khir dianggap tidak penting oleh SPRM dan tidak dianggap mempunyai kes. Apakah ini semua adil?
Di Pulau Pinang dan Perak misalannya, sewaktu BN dan Umno berkuasa, penyaluran peruntukan DUN ke kawasan masing-masing dengan cara yang salah amat berleluasa tetapi SPRM tidak pula menyiasat penyalahgunaan kuasa tersebut.
Wang-wang peruntukan DUN tersebut sebenarnya perlu disalurkan kepada pembekal-pembekal kemudahan barangan yang akan dihantar kepada persatuan-persatuan ataupun pertubuhan yang memohon, tetapi pada kelaziman yang berlaku adalah para pemimpin persatuan-persatuan dan pertubuhan-pertubuhan tersebut (kebanyakan juga adalah ahli-ahli BN) mendapat wang tunai terus daripada pejabat-pejabat daerah.
Itu adalah salah kerana peruntukan DUN tidak boleh disalurkan kepada pemohon secara tunai. Pemohon dikehendaki memohon kemudahan-kemudahan yang diperlukan seperti peralatan, perabut, computer dan sebagainya dan pihak pejabat daerah akan memproses permohonan peruntukan DUN tersebut dan melantik pembekal bagi membekalkan kemudahan tersebut kepada pemohon setelah ianya diluluskan. Di dalam proses ini, aliran tunai terus kepada pemohon adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Tetapi ianya berlaku secara berleluasa sewaktu pemerintahan BN dan Umno yang lalu dan kami pasti bahawa ianya masih berlaku di dalam negeri-negeri yang masih diterajui oleh BN dan Umno. SPRM gagal menyiasat mereka ataupun takut untuk berbuat demikian? Mungkinkah kedua-dua sebab tersebut.
Jadi apa yang lakukan oleh BN dan Umno adalah betul sementara apajua yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat tetap merupakan suatu kesalahan kerana taraf mereka sebagai pembangkang.
Pembangkang akan senantiasa dicapkan sebagai salah dan disenarak hitamkan. Itu lah agenda 1Malaysia dan 1Ketuanan yang kini dipelopori oleh Umno dan BN sekarang.
Mereka ini berhak ke atas sesiapa sahaja dan kita pula tidak punyai kebebasan bersuara, berdemokrasi serta keadilan. Dan negara kita ini akan musnah sama sekali sekiranya ia terus diterajui oleh Umno.