Wednesday, April 22, 2009

Sidang Dun Perak: NST fitnah Sivakumar

Oleh: Anna Yusof

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak V Sivakumar membidas laporan akhbar The New Straits Times (NST) semalam sebagai cubaan menjatuhkan maruah dan kredibiliti beliau dengan alasan dari sumber berita yang tidak sahih.

Beliau mendakwa telah difitnah berhubung arahan mengeluarkan notis persidangan dewan itu yang dijadual pada 7 Mei ini. “Kenapa hanya mengatakan (sumber berita itu) sebagai orang yang ada kena-mengena dengan Pejabat Menteri Besar,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh semalam.

“Saya terperanjat dengan laporan akhbar itu yang berbau fitnah dan hasutan berhubung kenyataan persidangan Dun itu sebelum notis mesyuarat dikeluarkan sedangkan sebelum ini, saya menyatakan bahawa notis itu dikeluarkan tanpa pengetahuannya,” jelas Sivakumar.

“Saya tidak akan membiarkan perkara ini. Ini merupakan satu lagi usaha untuk menjatuhkan maruah dan kredibiliti saya. Kalaulah tuduhan yang dibuat itu benar, kenapa pula orang yang mengeluarkan kenyataan itu tidak berani memberi identitinya dalam akhbar,” kata beliau.

Sivakumar berkata beliau tidak dimaklumkan terlebih dahulu sebelum notis memanggil persidangan Dun dikeluarkan oleh Setiausaha Dun Perak, Abdullah Antong Sabri, pada Jumaat lalu.

Katanya perjumpaan beliau dengan Abdullah seperti yang dilaporkan oleh akhbar itu adalah selepas notis itu dikeluarkan oleh Abdullah tanpa sebarang rundingan terlebih dahulu dengan beliau.

“Saya diberitahu bahawa satu notis telah dihantar ke pejabat saya lebih kurang pukul 10 pagi. Notis yang sama telah dihantar oleh Setiausaha Dun kepada semua Anggota Dun. Saya telah melihat notis itu lebih kurang jam 1 petang.

“Saya hanya berjumpa dengan Abdullah lebih kurang pukul 3 petang selepas beliau balik daripada sembahyang Jumaat,” katanya.

NST semalam melaporkan bahawa Sivakumar tahu mengenai notis mesyuarat itu sebelum ianya diedarkan kepada semua 59 Adun.

No comments: