Friday, October 31, 2008

Konvensyen DAP Pulau Pinang

Buat pertama kali setelah diberi mandat untuk menjadi kerajaan negeri, DAP Pulau Pinang akan mengadakan Konvensyen tahunannya pada 2hb November ini di Tanjung Bungah Beach Hotel pada jam 10.30 pagi.

Ketua Menteri dan Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng dijangka akan hadir untuk merasmikan konvensyen parti. Turut akan menghadiri konvensyen tersebut adalah beberapa tokoh parti terkemuka, seperti Penasihat Parti Lim Kit Siang, Pengerusi Karpal Singh, Naib Pengerusi Tunku Abdul Aziz Ibrahim, tokoh veteran parti Dr Chen Man Hin, Exco kerajaan negeri Selangor Teresa Kok, Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan Ketua Pemuda Sosialis DAP Ngah Kor Ming.

Dengan kehadiran beberapa pemimpin DAP pusat ini, ia dijangka menarik ramai perwakilan pemerhati ke konvensyen tersebut.

Mahkamah bebaskan Razak Baginda : Kes ini telah kehilangan punca sebenarnya

Abdul Razak Baginda bebas dari tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, kerajaan Mongolia pula melahirkan rasa tidak puashati mereka, begitu juga dengan keluarga Altantuya yang semamangnya berharap agar keadilan dapat diketengahkan.

Jadi, sekarang hanya tinggal dua orang anggota polis UTK Azilah dan Sirul yang terpaksa menanggung segala tuduhan tersebut. Hakikatnya adalah kedua-dua anggota polis UTK itu sememangnya telah menerima arahan untuk membunuh. Persoalannya adalah siapa?

Tetapi yang pasti, ramai di antara kita telah mengetahui siapakah dalang sebenarnya di dalam kes ini dan pelbagai usaha demi usaha telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa di Putrajaya sebelum ini agar penyiasatan dan pertuduhan kes tersebut tidak menyentuh beberapa orang "pemimpin" yang sering diperkatakan oleh kita.

Pelbagai bukti demi bukti yang cuba dipertunjukan, namun dielak dan ditutupi dengan sewenang-wenangnya demi mempertahankan si yang berkuasa itu. Kedua-dua anggota polis UTK itu yang kini terpaksa berdepan dengan tuduhan pembunuhan tersebut mungkin terpaksa menanggung segala kesalahan tersebut sebagai "pembunuh" yang sebenar, kononnya, sementara "pembunuh yang asal" itu masih bebas di luar sana dan kemungkinan akan memegang tampuk kuasa di masa yang akan datang.

Azilah dan Sirul akan dikorbankan dengan begitu sahaja, atau mungkin kedua-dua mereka ini telah merelakan diri mereka dikorbankan setelah keluarga masing-masing kemungkinan telah dijanjikan dengan pampasan yang lumayan yang mustahil ditolak.

Apakah episod yang seterusnya di dalam kes ini. Di manakah keadilan yang sebenarnya di dalam kes ini? Kita hanya akan dapat tunggu dan lihat.

Malaysiakini : Ketuanan Melayu gagal, kata Zaid

Model Ketuanan Melayu telah gagal dan mengakibatkan pembaziran sumber, tenaga dan masa, kata bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zahid Ibrahim.

Berucap di persidangan LawAsia 2008 di ibunegara hari ini, bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ia juga telah dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara.

Zaid turut mengkritik dasar yang berasaskan kaum walaupun beliau ahli parti pemeritah - Umno - parti terbesar orang Melayu.Beliau turut menyentuh cadangan naib presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang perlunya diadakan forum tertutup antara pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk mencapai pendirian bersama dan memperbaharui kesepakatan berasaskan kepada kontrak sosial.

"Ini merupakan satu langkah positif tetapi ia harus merangkumi semua pemimpin politik dan berpremiskan kontrak sosial yang menjadi asas kemerdekaan," kata beliau yang sebelum ini menyertai kabinet selepas pilihanraya umum 8 Mac, dengan tugas untuk membawa pembaharuan dalam bidang kehakiman.

Beliau bagaimanapun meletak jawatan bulan lalu sebagai membantah penahanan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara.Zaid turut menekankan pentingnya ditingkatkan perbincangan dan dialog supaya rakyat dapat bersuara dan mendengar antara satu sama lain.

Beliau juga turut menegaskan perlunya diwujudkan semula komunikasi dan rasa percaya-mempercayai antara rakyat negara ini.

Thursday, October 30, 2008

Kakitangan PKNS bantah Puan Loh sebagai pengurus besar

Adalah amat dukacita serta menyedihkan bahawa sehingga ke hari ini, walaupun Malaysia telah 51 tahun mencapai kemerdekaan dan perpaduan antara kaum telah mencapai suatu tahap yang membanggakan, namum masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang bencikan keamanan dan ingin melihat perpecahan kaum berlaku.

Setelah Mentri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan perlantikan Puan Loh Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), segelintir kakitangan perbadanan tersebut telah mengemukakan bantahan mereka terhadap perlantikan Puan Loh atas alasan beliau bukan berketurunan Melayu dan bukan Islam.

Apakah jenis alasan ini sebenarnya? Kenapa pula mereka membangkitkan soal perkauman dan agama sedangkan PKNS adalah merupakan sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan ekonomi dan sektor perindustrian di negeri itu. PKNS bukannya sebuah badan kerajaan yang mentadbir hal-ehwal keagamaan dan adat istiadat negeri.

Kakitangan PKNS yang membantah perlantikan Puan Loh harus menyedari bahawa kesalahan mereka adalah amat serius dan boleh dianggap memberontak terhadap kerajaan negeri. Apakah salahnya seseorang rakyat Malaysia yang berketurunan Cina diberi peluang untuk menjawat jawatan tinggi di dalam kerajaan? Malah Puan Loh adalah merupakan muka lama yang telah berpuluh tahun berkhidmat di dalam PKNS dan berdasarkan pengalamannya serta rekod prestasinya yang memberangsangkan, beliau harus diberi peluang untuk menerajui PKNS.

Kenapa pengalaman dan kepakaran Puan Loh harus dinafikan di dalam PKNS, hanya kerana beliau bukan berketurunan Melayu dan bukan Islam? Adakah kakitangan PKNS ini dihasut oleh pemimpin Umno di negeri itu untuk memporak-perandakan pentadbiran kerajaan negeri? Adakah Umno ingin melihat para kakitangan kerajaan negeri memberontak terhadap pemimpin kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat agar mereka dapat mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan keadaan tersebut?

Sikap Umno yang hanya ingin meneruskan promosi perkauman, keganasan dan kebencian ala Neo Nazi untuk kepentingan politik mereka sendiri, jika tidak dibendung boleh mengakibatkan keharmonian kaum di negara kita tergugat.

Di manakah kematangan Umno setelah 51 tahun menerajui negara? Kenapakah mereka masih dengan sifat mereka yang kuno dan tidak bertamadun. Kenapa Umno masih ingin meneruskan budaya benci membenci bagi mencapai tujuan politik mereka? Apakah faedah benci membenci dan mengganasi lawan politik akan meningkatkan keagungan dan ketuanan mereka serta menakutkan rakyat jelata agar tunduk kepada kepimpinan mutlak mereka.

Umno masih ingin terus berMaha Kuasa dengan menggunakan kebencian dan kekerasan. Kegiatan mereka harus dibendung dengan segera.

Saturday, October 25, 2008

Selamat Menyambut Hari Deepavali

Kami ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua ahli-ahli DAP berketurunan India dan masyarakat India seluruh negara dan semoga dengan perayaan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Adalah diharapkan juga agar seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan kepercayaan akan terus bersatu padu untuk memastikan perpaduan kita sentiasa erat dan harmoni. Marilah kita menegaskan bahawa, kita tidak memerlukan penyeliaan Akta Perhubungan Kaum kerana usaha perpaduan telah lama menjadi amalan dan sifat kita yang inginkan keamanan dan keharmonian sesama sendiri.

Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua.

Utusan Malaysia mempromosikan keganasan

Pakatan Rakyat mengecam tindakan akhbar harian Utusan Malaysia kerana menyiarkan sebuah cerpen yang mempromosikan keganasan dan mengapi-apikan sentimen perkauman baru-baru ini.

Dalam sebuah cerpen yang bertajuk "Politik Baru YBJ" tulisan Datuk Chamil Wariya yang terbit di Mingguan Malaysia minggu lepas mengisahkan mengenai perjalanan ahli parlimen Alam Maya, Josephine untuk menghadiri dialog dengan "generasi muda seketurunan dengannya yang pernah mempersendakan lagu Negaraku sewaktu menuntut di luar negara".

Cerpen tersebut mengambarkan Josephine sebagai pro-Cina dan tidak mewakili pelbagai kaum, terutamanya oleh Parti Orang Melayu (POM). Akhirnya beliau ditembak mati oleh orang yang tidak dikenali atas sebab beliau "adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini".Pakatan Rakyat melihat cerpen yang bersifat "character assassination" ini secara jelas ditujukan kepada Ahli Parlimen DAP, YB Teresa Kok yang ditahan dibawah ISA baru-baru ini.

Cerpen yang disiarkan di dalam akhbar milikan Umno tersebut adalah usaha berterusan Umno untuk menjadikan Exco Kerajaan Negeri Selangor itu sebagai sasaran untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat dan menimbulkan ketegangan di antara kaum.

Utusan Malaysia telah diboikot oleh Pakatan Rakyat sejak bulan Jun tahun ini atas sebab pelaporannya yang bias dan sering mempermainkan isu perkauman. Namun kini Utusan Malaysia bukan sahaja menyebarkan kebencian sesama kaum, tetapi sehingga ke tahap menggalakkan keganasan melalui karya cerpen. Ini merupakan perkembangan yang amat membimbangkan.

Pakatan Rakyat menegaskan bahawa kebebasan untuk berkarya harus selari dengan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama iaitu tanpa menggugat perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Friday, October 24, 2008

Utusan Malaysia & Datuk Chamil penggalak keganasan

Akhbar Utusan Malaysia dan Datuk Chamil Wariya yang mengarang cerpen yang menghina kaum wanita dan mengalak keganasan dan jenayah harus diboikot oleh rakyat jelata yang cintakan keamanan.

Cerpen oleh Datuk Chamil serta persetujuan Utusan untuk menerbit karya tersebut adalah disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan menghina. Selain daripada itu, cerpen tersebut juga didapati berunsurkan dendam seolah-olah sebagai amaran yang ditujukan terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok.

Oleh itu, kita harus sama-sama berganding bahu dalam menghalang tindakan tersebut yang tidak bertamadun dan mengalakkan keganasan,

Monday, October 20, 2008

Perhentian Bus Bangsawan

Kerajaan BN baru-baru ini telah memperuntukan 27 buah perhentian bas untuk dibina di kawasan parlimen Tasek Gelugor di mana kos sebuah perhentian bas dijangkakan bernilai RM20,000 sebuah.

Peruntukan pembinaan perhentian bas ini telah diumumkan oleh menteri kewangan kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang juga ahli parlimen di kawasan tersebut.

Kenapa memerlukan sehingga RM20,000 untuk membina sebuah perhentian bas? Perhentian bas jenis apakah ini? Kenapa kerajaan BN begitu boros sekali sehingga membelanjakan jutaan ringgit untuk sesuatu kemudahan asas yang hanya memerlukan beberapa ribu ringgit sahaja?

Mungkinkah terdapat unsur-unsur rasuah di dalam pemberian kontrak pembinaan perhentian bas ini? Mungkinkah beberapa pemimpin Umno peringkat bahagian tersebut telah mendapat kontrak dan faedah daripada projek tersebut?

Sunday, October 19, 2008

Kepimpinan Baru MCA

Malaysiakini hari ini melaporkan keputusan pemilihan jawatankuasa pusat MCA yang baru. Berdasarkan pemerhatian, pucuk pimpinan parti itu sekarang terdiri daripada sekumpulan yang berada di dalam kerajaan dan satu lagi kumpulan yang berada di luar kerajaan.

Memang jelas, bahawa kumpulan yang berada di luar kerajaan itu diketuai oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek selaku Timbalan Presiden yang baru, sementara barisan pemimpin yang menjawat jawatan kerajaan diketuai oleh Presidennya sendiri, Datuk Ong Tee Keat.

Mungkinkah para perwakilan MCA inginkan satu pemerhatian yang serius dengan memilih dua kumpulan tersebut untuk menerajui parti tersebut? Adakah para perwakilan mahukan supaya kumpulan yang diketuai oleh Dr Chua melakukan satu amalan "Check and Balance" di dalam parti dengan berperanan sebagai pembangkang dalaman atau "internal opposition"?

Bolehkah kumpulan "di luar kerajaan" ini memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan dan adakah Umno yang selama ini mendominasi BN akan mula mengambil perhatian terhadap segala kemahuan dan permintaan MCA yang kian menonjol?

Saturday, October 18, 2008

MCA persoal keperkasaan Umno

Setelah MCA kecundang di dalam pilihanraya yang lalu, para pemimpin kanannya mula mempersoalkan keperkasaan serta dominasi Umno di dalam Barisan Nasional yang selama ini tidak pernah dicabar oleh mana-mana parti komponen BN.

Malah MCA semakin lantang dan berani menuntut jawatan timbalan pengerusi BN secara terbuka. Kelantangan MCA dan Gerakan yang kian menonjol ini telah menyebabkan Umno semakin bimbang dengan kedudukannya yang tergugat.

Lantas daripada itu, para pemimpin Umno khususnya daripada kalangan peringkat akar umbi mula menggesa pucuk pimpinan pusat agar mengambil tindakan terhadap mereka-mereka yang mempersoalkan isu "ketuanan" mereka.

"Ketuanan" yang Umno perjuangkan selama ini sebenarnya adalah kepentingan diri para pemimpin mereka. Para pemimpin Umno ini apabila terasa kedudukan mereka tergugat akan segera melaungkan slogan "ketuanan" mereka bagi menarik sokongan masyarakat mereka yang kebanyakan tidak sedar yang mereka ini telah dipergunakan sewenang-wenangnya.

Rakyat dan masyarakat kita harus menyedari bahawa permainan isu-isu "ketuanan" ini haruslah ditamatkan dengan segera, oleh kerana perbuatan mereka ini sekiranya dibiarkan berterusan akan memudaratkan keselamatan negara kita, rakyat kita, anak-anak kita serta masa depan ekonomi negara kita pada keseluruhannya.

Jesteru itu, kita harus membuat keputusan ini dengan seberapa segera yang boleh bagi menamatkan ancaman ini dan memelihara nilai keharmonian masyarakat kita.

Saturday, October 11, 2008

Umno dengan keperkasaannya

Baru-baru ini daripada pertandingan untuk jawatan presiden hinggalah ke majlis tertinggi Umno, setiap calon yang ingin mengetengahkan diri mereka untuk bertanding, asyik dengan keluhan agenda mereka untuk “memperkasakan” perkara-perkara dan isu-isu yang berkaitan dengan hanya satu masyarakat atau kaum. Setelah agenda “ketuanan” tidak dapat diterima lagi, maka timbul pula agenda “memPerkasa”.

Kehairannya adalah kePerkasaan atau di dalam bahasa Inggeris “Greatness” tersebut yang sering dibangkitkan oleh para pemimpin Umno tersebut di dalam usaha mereka untuk merebut jawatan tertinggi di dalam pemilihan Umno yang dijangka akan berlangsung pada bulan Mac tahun hadapan. Persoalannya adalah apakah yang perlu diPerkasakan lagi? Adakah memPerkasakan itu bermaksud untuk meningkatkan kuasa mutlak mereka ke atas masyarakat kita supaya Umno dapat mengukuhkan kedudukan mereka bukannya untuk faedah rakyat tetapi pendapatan para pemimpin mereka secara umum?

Selepas pilihanraya umum ke-12 yang lalu telah menunjukkan tindakbalas rakyat terhadap keangkuhan Umno, kenapa para pemimpin parti tersebut masih dengan sifat-sifat lama mereka yang angkuh, agresif, perkauman, tidak bertolak ansur, dan asyik dengan agenda untuk memPerkasakan perkara yang ini atau memPerkasakan yang itu dan pelbagai lagi tajuk-tajuk yang menonjolkan sifat dan dasar mereka yang Perkasa tanpa mempedulikan hak-hak dan kesesamarataan masyarakat lain.

Apakah kaedah untuk memPerkasa hanya satu kumpulan itu boleh membawa kepada keharmonian hidup pada kumpulan atau masyarakat yang lain? Kenapa para pemimpin Umno hanya asyik ingin menjadi lebih Perkasa daripada orang lain? Adakah ia bertujuan menunjukkan kepada umum bahawa mereka tidak boleh dipersoal oleh umum walaupun sesetengah dasar yang mereka laksanakan adalah salah dan berat sebelah? Jadi, di manakah keadilan dan kesaksamaan yang sebenarnya untuk semua sekiranya hanya satu kumpulan yang Perkasa dan masyarakat lain berada di tangga kedua atau “second class”?

Jesteru itu, adakah Umno benar-benar ikhlas di dalam menyatupadukan masyarakat kita? Keikhlasan mereka akan terus dipersoal sekiranya Umno enggan memberikan gambaran diri mereka dengan jelas dan jujur.

Apakah perlu diperKasakan lagi selepas negara kita mencapai kemerdekaan selama 51 tahun dengan kemajuan dan pembangunan yang pesat serta keharmonian kaum (jika ianya tidak dipecahbelah oleh segelintir pemimpin Umno) yang telah kita kecapi pada hari ini.

Tuesday, October 7, 2008

Kebenaran dan kelemahan di sebalik Akta DNA

Seperti yang telah kita ketahui, cadangan Akta DNA yang dikemukakan oleh kerajaan BN ini telah menerima tentangan bukan sahaja daripada parti-parti pembangkang, malah dari kalangan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga menyuarakan kebimbangan mereka mengenai keberkesanan akta tersebut untuk berada di sudut yang adil dan saksama.

Namun, kerajaan BN tetap dengan pendirian mereka untuk meneruskan pembentangan akta tersebut di parlimen untuk bacaan ketiga walaupun terdapat banyak kelemahan dari segi pengawalan, pengurusan, simpanan, pemindahan dan sebagainya.

Berikut adalah beberapa pendapat atau fakta yang cukup terbukti kebenarannya mengenai ketidaktelusan akta tersebut terhadap hak asasi kemanusiaan dan masyarakat.

Tiadanya fakta, perangkaan, dan rujukan yang menyeluruh dan berkesan: fakta dan perangkaan yang perlu bagi menjustifikasikan keperluan dan kepentingan akta tersebut tidak dikemukakan oleh kerajaan BN apabila cadangan undang-undang tersebut dibentangkan. Selain dari itu, kerajaan BN juga gagal berunding atau memperoleh pendapat daripada pihak-pihak yang berkepentingan dan pertubuhan hak asasi kemanusiaan mengenai cadangan akta tersebut.

Bukti DNA perlu lebih bertindak sebagai sebahagian acara yang menyokong dan bukannya acara tunggal yang konkrit: akta tersebut yang menyatakan bukti DNA adalah bukti yang mengukuhkan suatu kes dakwaan adalah jelas sekali menafikan sepenuhnya hak yang tertuduh untuk mendapatkan nasihat pakar undang-undang untuk menyoal kesahihan bukti DNA tersebut.

Selain itu, pihak kehakiman juga tidak mempunyai sumber dan ruang yang mencukupi bagi mengimbangi keputusan pengahakimannya kerana pada hakikatnya pihak pendakwa dan polis telahpun menetapkan hukuman ke atas tertuduh, tanpa pembelaan yang saksama dengan hanya berfaktakan satu bukti yang terbukti boleh dipersoal mengenai kesahihannya.

Akta DNA tersebut juga menimbulkan kesangsian terhadap pihak polis: Pihak polis tidak sepatutnya diberikan peranan yang meluas untuk menyelia atau menguruskan tabung DNA kerana ini akan menimbulkan kesangsian dan boleh dilihat sebagai berat sebelah. Kesangsian tersebut timbul kerana pihak polis juga berperanan sebagai penyiasat dan pendakwa. Di dalam keadaan ini, pihak pendakta telah mengambil-alih tugas hakim pada keseluruhannya bagi memastikan kesalahan itu diletakkan ke atas tertuduh.

Status tabung DNA yang bebas daripada politik akan senantiasa dipersoal kesahihannya: status tabung DNA sebagai sebuah badan bebas akan sentiasa dipersoal kedudukannya kerana menteri dalam negeri selaku ahli jemaah menteri telah diberi kuasa sepenuhnya ke atas tabung tersebut. Pengurus tabung tersebut juga dikawal selia secara terus oleh menteri dalam negeri. Jadi di manakah ketelusannya?

Tiada perlindungan berkesan ke atas hak keperibadian (privacy) seseorang: setahu kami, negara kita tidak mempunyai Akta Perlindungan Data dan hak keperibadian seseorang tidak termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

Oleh yang demikian, kita semua tidak mempunyai hak keperibadian ke atas diri kita dalam negara ini. Dengan adanya tabung DNA tersebut, ia adalah bertentangan dengan prinsip kemanusiaan yang juga boleh mengakibatkan keperibadian kita dicabuli oleh pihak-pihak berkuasa pada bila-bila masa, jester menjurus kea rah sebuah negara polis.

Mekanisme dan teknologi yang digunakan untuk mengambil, menyimpan dan menguji contoh DNA tidak dikaji dengan teliti dan sepenuhnya mengenai keberkesanannya serta kesahihan yang dapat dijadikan bukti secara adil dan dapat diterima oleh semua pihak dari segi kemanusiaan.

Akta tersebut juga tidak mempunyai sebarang fasa yang menyebut pengawasan terhadap kemungkinan penyalahgunaan kuasa terhadap simpanan DNA, kegagalan atau kesilapan teknologi yang mungkin boleh berlaku.

Ketiadaan hokum tersebut di dalam Akta DNA itu juga boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa oleh orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan ke atas contoh-contoh DNA untuk tujuan yang menyalahi undang-undang, menganiayai pihak-pihak yang lemah, jesteru itu akan mengakibatkan seseorang tertuduh didapati bersalah tanpa menjalani perbicaraan yang adil dan saksama.

Klasifikasi contoh DNA adalah terlalu luas dan boleh menyebabkan seseorang tertuduh tidak dapat menjalankan kehidupan baru dan sempurna apabila selesai menjalani proses perbicaraan atau hukuman.

Setahu kami, contoh –contoh DNA boleh diambil daripada mana-mana bahagian badan seseorang dan sejauh mana keberkesanan jenis-jenis contoh DNA tidak dapat dibuktikan dengan jelas, contohnya darah, rambut, air liur, peluh atau air kencing dan sebagainya.

Tiada jaminan bahawa contoh-contoh dan data DNA akan dimusnahkan setelah suatu jangka masa yang tertentu kerana kuasa mutlak untuk berbuat demikian adalah bergantung kepada budibicara orang yang mengawal selia tabung DNA tersebut, iaitu menteri dalam negeri.

Oleh kerana itu, tiada jaminan yang berkesan yang boleh menunjukkan bahawa contoh-contoh DNA tersebut tidak akan dipendua (duplicate) atau diklonkan oleh pihak-pihak tertentu, kerana akta tersebut tidak menyebut kaedah atau sistem pengawasan yang boleh dipercayai sepenuhnya.

Tiadanya pengawasan dan mekanisme kerja bagi proses pemindahan contoh DNA: Akta tersebut langsung tidak menyebut mekanisme kaedah pengurusan, pemindahan dan penyimpanan contoh-contoh DNA. Tidak ada langkah-langkah pencegahan penyalahgunaan contoh-contoh untuk tujuan-tujuan yang tertentu yang boleh menganiayai seseorang yang tidak bersalah.

Apa yang kita dapati sekarang ialah kerajaan BN berkeras ingin menyegerakan pembentangan dan kelulusan Akta DNA tersebut bagi membolehkan mereka mengambil tindakan susulan terhadap Penasihat PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan yang terburu-buru ini jelas menunjukkan bahawa langkah yang diambil kerajaan BN tersebut adalah bermotifkan politik yang berat sebelah. Oleh yang demikian, Akta DNA ini tidak akan membawa sebarang kebaikan pada jangka masa yang panjang, melainkan jika terdapat akta-akta atau fasa-fasa susulan yang dapat melindungi hak asasi kemanusiaan seseorang yang dapat diterima oleh semua pihak, dengan ditambah pula dengan langkah-langkah pengawasan sumber tersebut secara bebas dan profesional.

Monday, October 6, 2008

Jamuan Makan Malam DAP Bagan

DAP Bagan akan mengadakan satu jamuan makan malam di Butterworth dengan maklumat lanjut seperti berikut :-

Tarikh: 16/10/2008
Tempat: Pasar Sri Uda (Di Belakang RHB Bank Raja Uda)
Waktu: 7.30 malam

Tetamu Undangan: YAB Lim Guan Eng (Ketua Menteri), YB Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang Parlimen), YB Karpal Singh (Pengerusi DAP), YB Teresa Kok (Exco Kerajaan Negeri Selangor), YB Lim Kit Siang (Penasihat DAP).

Untuk Maklumat lanjut, sila hubungi YB Phee Boon Poh (012-4711111) atau YB Lim Hock Seng (019-4491986).

Kepala Batas Kecundang Bersama Pak Lah

Nampaknya Pak Lah akan kecundang dalam masa yang terdekat lagi berikutan daripada tekanan daripada timbalannya dan ahli-ahli majlis tertinggi Umno baru-baru ini dan sekiranya ianya benar-benar berlaku, Pak Lah akan mencipta sejarah perdana menteri pertama yang hanya bertahan satu penggal penuh.

Berikutan dengan kejatuhan Pak Lah yang semakin tidak dapat dielakan lagi, projek metropolitan Kepala Batas di mana beliau adalah ahli parlimen kawasan tersebut dijangka akan turut sama kecundang. Para pelabur dan peniaga akan memindahkan kepentingan mereka keluar daripada kawasan tersebut ekoran nilai hartanah dan peluang pelaburan di kawasan tersebut menjadi semakin tidak menentu.

Akibat daripada itu, pembangunan di kawasan itu akan tinggal bagaikan gajah putih. Pembaziran wang rakyat (yang juga pembayar cukai) akan berlaku kerana keyakinan terhadap kepimpinan Pak Lah telah tiada lagi, dan pada masa yang sama ketiadaan perancangan yang teliti kerana projek-projek prasarana tersebut yang dilaksanakan tanpa usul periksa yang mendalam dengan hanya bergantung kepada kedudukan dan pengaruh politik Pak Lah sebagai perdana menteri semata-mata.

Daripada pemerhatian terhadap kawasan tersebut, dapat kita melihat kebanyakan rancangan pembangunan dan pembinaan bangunan-bangunan pejabat kerajaan yang mewah dilaksanakan hanya semata-mata untuk menaikkan imej kawasan tersebut bagi meraih sokongan dan bantuan daripada Pak Lah untuk meningkatkan keuntungan dan kepentingan beberapa pihak. Inilah sikap kronisme yang kian membebankan rakyat jelata.

Misalannya, ibupejabat polis daerah Seberang Perai Utara yang dahulunya terletak di tengah-tengah Bandar Butterworth di mana majoriti penduduk Seberang Perai Utara bertumpu telah dipindahkan ke kawasan Kepala Batas yang agak terpencil. Pemindahan ibupejabat polis tersebut ternyata telah membebankan penduduk yang ingin atau sering berurusan dengan pihak berkuasa tersebut.

Begitu juga dengan pejabat daerah dan tanah Seberang Perai Utara yang turut dialihkan ke Kepala Batas atas alasan pembangunan yang memerlukan pemantauan di kawasan tersebut.

Selain daripada itu, Hospital Kepala Batas yang pada mulanya dirancang untuk dijadikan sebuah pusat rawatan dan perubatan alternatif kepada Hospital Seberang Jaya yang semakin sesak kini telah menjadi hanya suatu mimpi atau impian kosong semata-mata, apabila Hospital Kepala Batas masih tidak dapat memberikan khidmatnya secara menyeluruh kepada penduduk Kepala Batas dan masih merujuk sebahagian besar pesakitnya ke Hospital Seberang Jaya yang senantiasa sesak pada setiap hari, atas alasan kekurangan pegawai dan pakar perubatan yang berpengalaman.

Bandar Butterworth yang mempunyai penduduk paling ramai di daerah Seberang Perai Utara telah dipencilkan daripada segala bentuk kemudahan bagi memberikan laluan kepada kawasan Kepala Batas oleh kerana ahli parlimen kawasan itu adalah seorang perdana menteri.

Selain ibupejabat polis daerah, pejabat daerah dan tanah, dan hospital Kepala Batas, terdapat juga projek-projek mewah yang lain yang telah atau sedang dibangunkan dijangka akan hanya membazirkan sahaja kerana kebanyakannya dilaksanakan tanpa perancangan yang teliti dan penilaian jangka panjang serta akibatnya tidak dibuat. Hampir kesemua projek di kawasan Kepala Batas tersebut adalah dikaitkan dengan politik Umno bahagian itu semata-mata bagi memberikan keuntungan berlipat-ganda kepada para pemimpin utama Umno bahagian tersebut. Segala projek prasarana yang ada akan berkurangan setelah Pak Lah meninggalkan Putrajaya kelak.

Tambah pula, kesungguhan Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim untuk melobi pembatalan beberapa projek utama di negeri ini juga ternyata telah memberikan kesan yang negatif dan menyebabkan para pelabur dan peniaga kurang yakin dengan keadaan di negeri ini.

Nampaknya Umno Pulau Pinang akan termakan dirinya sendiri oleh kerana perbuatan beberapa orang pemimpinnya. Tetapi hasilnya ialah rakyat terpaksa menanggung akibatnya.