Sunday, January 2, 2011

Isu SUK Selangor: Khalid perlu berhati-hati

Di dalam kemelut perlantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru, Menteri Besar Tan Sri Khalid perlulah berhati-hati di dalam menangani masalah tersebut kerana Umno dan BN berkemungkinan besar akan mengapi-apikan isu ini dengan mengatakan Pakatan Rakyat menderhaka dan memberontak terhadap Sultan Selangor.

Jika sekiranya pihak istana di Selangor membiarkan diri mereka terus dipengaruhi Umno, seperti apa yang telah berlaku di negeri Perak setahun yang lalu (di mana rampasan kuasa yang dilancarkan oleh Umno mendapat perkenan Sultan Perak yang telah mengesahkan kerajaan pemberontak negeri Perak sebagai pentadbiran baru negeri tersebut), maka akan berlaku satu lagi krisis perlembagaan yang serius.

Pihak istana juga perlu sedar bahawa, mereka tidak sepatutnya membiarkan diri mereka terus dipergunakan oleh Umno dan BN bagi tujuan politik yang keji mereka. Raja-raja perlu sedar bahawa kedudukan mereka ini adalah berada di atas saluran politik dan mereka patut bertindak secara khusus dan tidak berpihak kepada Umno semata-mata.

Lantas daripada itu, Menteri Besar Selangor juga perlu berhati-hati di dalam menguruskan masalah tersebut dan beliau hendaklah mendapatkan khidmat nasihat beberapa pakar undang-undang sebelum melaksanakan tindakan yang selanjutnya.

Ampun tuanku, beribu-ribu ampun, harap patik diampun. Patik ingin memohon tuanku agar janganlah dijadikan diri tuanku sebagai alat atau hamba kepada Umno dan BN untuk diperkasa politik jijik mereka itu.

Tuanku kenalah beringat bahawa kedudukan tuanku sebenarnya adalah di atas kedudukan politik di mana tuanku perlulah bertindak mengikut budibicara dan nasihat kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat dan bukannya bersekongkol dengan Umno dan BN untuk menentang sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Pohon patik harap diampun.

Isu SUK: Khalid dakwa KSN tak hormati fungsi MB, sabotaj Selangor

Oleh G.Manimaran

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau kesal kerana Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang didakwanya sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Pemilihan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mengikut pengumuman Sidek Isnin lalu, pelantikan Khusrin berkuat kuasa hari ini dan akan mengangkat sumpah 6 Januari.

“Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada Sultan Selangor untuk diperkenan.

“Selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat untuk proses dokumentasi pelantikan,” kata Khalid lagi.

Sehubungan itu tegas Khalid, kerajaan negeri Selangor telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim untuk menemu duga kesemua lapan calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

Hasilnya menurut Khalid, jawatankuasa tersebut telah memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam kerajaan negeri Selangor.

“Ketika mengumumkan pelantikan Datuk Khusrin, Ketua Setiausaha Negara bukan saja membelakangkan Menteri Besar, malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman,” kata Menteri Besar.

Menurut Khalid lagi, tindakan Sidek bukan sahaja melanggar Perlembagaan, malah tidak bertanggungjawab dan tidak profesional.

“Malah boleh dianggap bermotifkan politik, sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” kata Khalid (gambar).

“Lebih merungsingkan saya, tindakan Tan Sri Mohd Sidek tersebut telah menghantar mesej yang tidak sihat iaitu kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam mempromosikan kenaikan pangkat pegawai kerajaan.

“Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acap kali dikritik sebagai tidak efisyen,” kata beliau lagi.

Khalid memberikan kenyataan rasmi bertulis kedua dalam seminggu ini ketika pakar perundangan dan perlembagaan berpendapat bahawa pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Pakar-pakar perlembagaan berhujah upacara Khamis depan itu sebagai “tidak sah” memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar bukannya Sultan Selangor.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Peguam veteran Karpal Singh berkata, perkembangan itu boleh membawa kepada krisis perlembagaan kerana ia tidak selari dengan perlembagaan negeri.

“Sultan perlu mendapatkan nasihat perundangan daripada penasihat undang-undang negeri sebelum majlis angkat sumpah diteruskan.

“Dalam perkara-perkara macam ini, Sultan bertindak atas nasihat Eksekutif, Tuanku tidak boleh bertindak sendirian. “Perkara yang dikhuatiri ialah jika majlis itu diadakan, ia boleh diisytihar sebagai tidak sah oleh mahkamah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider semalam.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari juga menyifatkan majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai “amalan baru” yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Pada pengetahuan dan pengalaman saya ini kali pertama majlis angkat seumpama diadakan, walaupun saya berpendapat ia hanya satu majlis rasmi semata-mata dan tidak diperlukan,” kata beliau.

Menurut beliau, tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri Selangor yang memerlukan pegawai-pegawai kanan negeri mengangkat sumpah di hadapan sultan.

Dalam kenyataan pertama, Khalid berkata pelantikan Khusrin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Isu SUK: Nizar ramal Pakatan mungkin hilang sokongan Melayu

Oleh Adib Zalkapli

Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengingatkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kemungkinan berhadapan dengan risiko kehilangan populariti di kalangan orang Melayu dan akan didakwa menderhaka raja ekoran pendirian dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Nizar yang kehilangan jawatan menteri besar Perak dua tahun lalu berkata, Umno akan mendakwa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menghormati peranan Sultan ekoran pendirian enggan menerima pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai ketua pegawai perkhidmatan awam negeri, yang dilaporkan telah mendapat perkenan istana.

“Disebabkan mereka mengawal media, mereka akan menggunakan isu ini untuk mendakwa Khalid menderhaka terhadap Sultan seperti yang berlaku ke atas saya di Perak. Bagi orang Melayu ini perkara serius,” kata Nizar kepada The Malaysian Insider.

“Sebab itu, mereka terus-menerus mengatakan Sultan sudah memberi perkenan kepada pelantikan,” katanya.

Nizar kehilangan jawatan menteri besar awal 2009 selepas Sultan Perak enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri ekoran tindakan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar parti.

Beliau kemudian didakwa menderhaka Sultan selepas meminta agar DUN dibubarkan bagi mengadakan pilihan raya negeri yang baru.

Nizar yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat berkata, di sebalik usaha sepatutnya untuk memperkukuhkan sokongn tradisi Pakatan Rakyat, kehadiran Khusrin akan menjejaskan lagi usaha-usaha pentadbiran kerajaan negeri.

“Ini akan menjadi sesuatu yang sukar bagi Khalid,” katanya.

“Khusrin dilihat sebagai calon terbaik untuk mencabar Menteri Besar,” kata beliau sambil menambah, Umno-BN akan menggunakan isu itu untuk melancarkan kempen terhadap Pakatan Rakyat Selangor kononnya menentang institusi diraja negeri itu.

Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Nizar juga berkata, pelantikan Khusrin juga sebahagian daripada usaha BN yang menguasai Putrajaya boleh memulakan usaha rampasan kuasa terhadap Selangor sebagaimana berlaku di Selangor.

Justeru, Nizar menasihatkan kerajaan negeri Selangor agar bersedia untuk menghadapi kemungkinan krisis berterusan di negeri itu dan memberi penjelasan pendiriannya menolak pelantikan Khusrin kepada rakyat.

“Sebagai menteri besar, beliau ada kuasa untuk menolak Khusrin daripada memasuki pejabatnya, Langkah terbaik ialah membuatkan beliau masyghul,” katanya.

“Akan ada banyak lagi kemelut (selepas ini), krisis akan berterusan tetapi sekurang-kurangnya rakyat boleh disedarkan (tentang keadaan sebenar peruntukan) dalam perlembagaan,” katanya.

Oleh itu kata beliau, pentadbiran Khalid akan memperoleh kemenangan jika menguruskan isu semasa ini dengan baik.

“Pada masa lalu tidak siapa yang tahu tentang perlembagaan Perak, tetapi sekarang setiap orang mengingatinya,” kata beliau.

Malah Nizar juga menjangkakan isu tersebut tidak akan berakhir dengan memihak kepada Khalid sebagaimana berlaku di Perak apabila beliau cuba untuk menggantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

“Saya telah cuba dua kali,” kata beliau merujuk kepada usahanya merujuk Sultan Perak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan untuk menggantikan Rahman tetapi tidak berhasil.

Semalam The Malaysia Insider melaporkan pakar perlembagaan Prof A. Aziz Bari berpendapat peluang terbaik yang ada pada Khalid bagi menyelesaikan kemelut pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri baru ialah dengan membawa pertikaian itu ke mahkamah.

“Undang-undang, sebagaimana termaktub, memihak Menteri Besar Khalid dan pentadbiran Pakatan Selangor,” kata beliau.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa ini memberitahu, peruntukan berkaitan sangat jelas dalam perlembagaan kerajaan negeri.

“Di bawah perlembagaan, kuasa untuk melantik anggota ‘ex-officio’ Exco termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri terletak pada Sultan,” kata Aziz.

“Tetapi baginda (Sultan) perlu mempertimbangkan nama-nama yang dipersembahkan oleh suruhanjaya perkhidmatan yang berkaitan, dan sebelum baginda melakukannya, Sultan mesti mempertimbangkan nasihat Menteri Besar,” kata beliau lagi.

Dalam kenyataan dikeluarkan pagi semalam, Khalid berkata, beliau kesal kerana Sidek yang didakwanya sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Pemilihan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Mengikut pengumuman Sidek Isnin lalu, pelantikan Khusrin berkuat kuasa semalam.