Tuesday, September 30, 2008

BN guna undang-undang untuk tumpas lawan

Sudah jelas diperlihat pada hari ini dan sekarang bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sering tergugat sejak gagal mendapatkan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum yang lalu sering beralih kepada polis dan undang-undang untuk memperkasakan kedudukannya dan kuasanya terhadap rakyat dan para pemimpin Pakatan Rakyat khususnya.

Akibat daripada kelemahan sendiri, para pemimpin BN tidak lagi mampu melawan arus perubahan politik yang kini sedang membara di kalangan rakyat. Jesteru itu, kerajaan BN telah mengambil langkah mudah dengan sering berselindung disebalik polis dan undang-undang dengan mereka cipta skandal secara konspirasi bagi membolehkannya bertindak terhadap seseorang atau pihak yang dianggap boleh menggugat kepentingan BN dan para kroninya.

Contoh yang paling ketara, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering disebut-sebut bakal menerajui kerajaan pusat yang baru apabila pengaruhnya di kalangan rakyat dan peringkat antarabangsa semakin meningkat.

Akibat rasa tergugat oleh Datuk Seri Anwar, kerajaan BN mula menggunakan taktik ala-1998 dengan mereka satu lagi tuduhan meliwat terhadap Datuk Seri Anwar dengan menggunakan khidmat bekas kakitangannya, Saiful Bukhari Azlan untuk berbuat demikian. Malah ramai di antara kita telah mengetahui bahawa sebelum kejadian Datuk Seri Anwar dituduh meliwat, Saiful telah berjumpa dengan timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak beserta dengan seorang pegawai khasnya, Kharil Anas Jusoh, berkemungkinan merancang komplot tersebut bagi menjatuhkan Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat.

Datuk Seri Najib yang juga tidak mahu terlepas peluang untuk menjadi perdana menteri dipercayai telah awal merancang konspirasi tersebut seawal Februari 2008 bagi mengelakkan Datuk Seri Anwar daripada menjadi perdana menteri, sekiranya Pakatan Rakyat Berjaya membentuk kerajaan pusat yang baru.

Demi mempertahan kedudukannya tersebut, timbalan perdana menteri itu juga telah menggunakan kuasanya untuk menutup penglibatan beliau di dalam kes pembunuhan gadis Mongolia yang bernama, Altantuya Shaaribuu dan mengarahkan polis dan peguam Negara mendakwa pengarang Malaysia-today.net Raja Petra Kamaruddin atas pelbagai kesalahan yang boleh memenjarakannya sekiranya didapati bersalah dan terbaru mengheret beliau ke dalam tahanan ISA selama dua tahun.

Malah, kerajaan BN juga telah berselindung disebalik undang-undang dengan menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menakut-nakutkan rakyat jelata yang kini dahagakan kebenaran, keadilan dan pembaharuan politik.

Kerajaan BN juga kini sedang mengorak langkah secara senyap menuju ke arah pemerintahan kuku besi bagi mempertahankan kedudukan dan kepentingannya. Undang-undang sekarang bukan lagi undang-undang yang sebenarnya. Undang-undang pada masa kini digunakan untuk tujuan perselindungan politik dan untuk kepentingan mereka-mereka yang berkuasa.

Dilema Parti Gerakan

Setelah Umno dengan masalah ekstremisnya, kemudian SAPP keluar daripada BN dan sekarang pula Parti Gerakan atau lebih dikenali Gerakan merasa serba salah sama ada patut keluar daripada himpunan Barisan Nasional atau sebaliknya.

Setelah menjelajah ke hampir seluruh negeri untuk merasmikan persidangan perwakilan tahunan negeri-negeri Gerakan, pemangku presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon telah menerima usul-usul yang hampir 61 peratus menyeru pucuk pimpinan pusat Gerakan agar mengambil tindakan yang lebih drastik dengan keluar daripada Barisan Nasional yang diterajui oleh Umno yang sering menonjolkan dasar perkaumannya yang ekstremis serta mengancam perpaduan.

Namun Dr Koh Tsu Koon masih serba salah dan berat hati untuk meninggalkan sahabat-handainya di BN dengan memberikan pelbagai alasan yang berlainan agar dapat menenangkan kemarahan ahli-ahli partinya terhadap sikap bongkak dan angkuh para pemimpin Umno selama ini.

Malah bekas presiden Gerakan, Dr Lim Keng Yaik juga pernah mengatakan bahawa Gerakan, MCA dan MIC sering bersikap "mengemis" apabila berhadapan dengan Umno di dalam mesyuarat dewan tertinggi BN.

Tambah pula, ramai ahli-ahli Gerakan yang hilang sabar dengan Dr Koh yang dikatakan tidak tegas terhadap Umno, telah mengambil langkah drastik dengan keluar parti dan menyertai PKR dan DAP.

Sehubungan dari itu, dilema yang terus menghantui Gerakan selagi Dr Koh menerajui parti tersebut dan selagi itu, parti tersebut tidak akan dapat menghasilkan suatu keputusan yang dapat memuaskan hati para ahlinya.

Salam Aidil Fitri

Blog "Berubah Untuk Malaysia" ingin mengucapkan seluruh warga dan para pembaca Muslim dan Muslimat Selamat Hari Raya Aidil Fitri & Maaf Zahir Batin.

Semoga semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan keturunan sama-sama tampil ke hadapan untuk menunjukkan kesungguhan kita bersatu padu menentang sebarang bentuk ancaman perkauman dan ekstremis yang sering mengambil kesempatan ke atas keadaan negara kita yang aman damai.

Marilah kita bersama membantu sesama kita membendung segala bentuk ancaman perkauman yang sering diapi-apikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkebanyakan kepentingan politik seseorang individu, demi memperkuatkan lagi semangat perpaduan di kalangan masyarakat kita.

Kenapa Biro Tata Negara menentang perpaduan?

Baru-baru ini kami mendapati bahawa sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bernama Biro Tata Negara (BTN) telah membangkit kemarahan masyarakat seluruh Negara dengan sebuah lagi adegan perkauman di dalam programnya.

Kejadian tersebut berlaku semasa BTN menganjurkan program orientasinya untuk para pelajar yang berjaya memperoleh biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum mereka dihantar ke luar negara untuk menlanjutkan pelajaran mereka.

Apa yang mengejutkan adalah para jurulatih program BTN tersebut telah memisahkan para pelajar Melayu dan Bukan Melayu kepada beberapa sessi yang berasingan dengan alasan beberapa siri orientasi ada menyentuh sensitiviti beberapa kaum.

Di dalam sessi yang hanya terdiri daripada pelajar-pelajar Bukan Melayu, jurulatih tersebut telah memberikan taklimat mereka mengenai sejarah Malaysia, kedudukan orang Cina dan India sebagai pendatang pada masa itu, sehingga lah berjaya memperoleh kewarganegaraan. Jurulatih tersebut juga menegaskan kepada para pelajar Bukan Melayu bahawa mereka patut berterimakasih kerana mereka telah menjadi warganegara di tanah Melayu ini dan mempunyai tempat bermastautin dengan selamat, dan tidak boleh mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Di dalam sessi yang hanya terdiri daripada pelajar-pelajar Melayu pula, jurulatih program tersebut telah menegaskan bahawa mereka tidak digalakan malah sekiranya boleh mengelak daripada bercampur-gaul dengan masyarakat Bukan-Melayu kerana ini akan merugikan mereka.

Kenyataan-kenyataan yang disebarkan oleh para jurulatih program BTN ini adalah amat menyedih serta menjijikkan, kerana di dalam agensi-agensi kerajaan yang mengatur atau menganjurkan sesuatu kursus dan latihan perpaduan kaum adalah sering digalak serta diketengahkan tetapi apa yang berlaku di BTN ini adalah sebaliknya.

Apakah yang sedang berlaku pada Negara Malaysia kita ini yang diterajui oleh Kerajaan BN-Umno? Selama 51 tahun BN-Umno menerajui Malaysia, nampaknya negara kita ini semakin menuju ke arah perpecahan dan syak-wasangka di kalangan masyarakat kita mula timbul hasil daripada kenyataan serta beberapa dasar-dasar BN-Umno yang tidak mengalakkan perpaduan sebaliknya lebih berpaling kearah perpecahan dan suka membangkitkan isu-isu perkauman.
Adakah doktrin fahaman Nazi yang bertopengkan ketuanan ini yang dipelopori oleh beberapa pemimpin kanan Umno telah mula bertapak di Malaysia bagi memperkuatkan kepentingan dan kedudukan ratusan kroni-kroni yang dibiayai oleh mereka?

Adakah Malaysia akan dapat mencapai status KeMalaysiaannya dengan berkesan dengan BN-Umno masih dengan dasar-dasarnya yang kuno dan tidak bertimbang rasa.

Suatu kenyataan yang dibuat oleh seorang pemerhati politik dan ugama bernama Dr B.Suseelan patut diperhatian sewajarnya, mengenai kemungkinan kejadian ini sedang berlaku di Malaysia:

“The Muslim hatred of democracy, pluralism, religious tolerance, coexistence and freedom of expression still continues unabated. The battle between the rigid, closed and dogmatic ideology of religion and unfettered thinking is by no means decided but its outcome will determine whether Muslims will embrace freedom, democracy, pluralism, coexistence, progress and tolerance or succumb to non-compromising fundamentalism, conflict and relentless war against the civilized world. The incessant rage, hostility and violence of the dejected Muslims will further destabilize the entire world”.

Adakah apa yang diketengahkan oleh para pemimpin kanan Umno selama ini menonjolkan keadaan seperti di atas ini? Adakah mereka ini ketakutan bahawa mereka akan hilang segala-galanya serta enggan mengaku kelemahan mereka dan sebab itu lah mereka menakut-nakutkan masyarakat kita dengan perlakuan mereka, ketuanan mereka, idea-idea perkauman mereka, menghadkan kebebasan kita untuk bersuara, bertukar pendapat, memecah-belahkan perpaduan kita agar mereka dapat terus berkuasa?

Jawapannya adalah kejadian tersebut di atas telah berjaya menghampiri kehidupan harian kita tanpa disedari oleh kebanyakan daripada kita ini.

Kesimpulannya adalah kita perlu bersama-sama berganding-bahu menguatkan lagi semangat perpaduan kita dan menolak sama sekali sebarang bentuk ancaman serta perbuatan yang boleh mengakibatkan perpecahan, kebencian, perselisihan, syak-wasangka dan pergaduhan.
Perlu juga diberi perhatian bahawa ratusan lagi makluk-makluk jenis Ahmad Ismail, Azhar Ibrahim, Azimi Daim, Hasnoor Hussein, Hashim Suboh dan Razak Idris yang mungkin masih berada di luar sana menunggu peluang untuk mengapi-apikan semula dakyah jahat mereka dengan sewenang-wenangnya.

Kita juga perlu menolak sama sekali kegiatan-kegiatan ekstremis perkauman ini yang sering mengalakkan perpecahan ummah dan masyarakat dengan kata-kata serta dasar mereka kononnya untuk mempertahankan hak-hak sesuatu kumpulan tetapi sebaliknya hanya mempertahankan kepentingan dan kekayaan mereka serta kroni-kroni mereka semata-mata.

Kepada mereka yang sayangkan keamanan dan kesejahteraan, mari lah kita bersama-sama dalam terus memelihara perpaduan dan toleransi yang telah kita kecapi sekian lama demi masa depan anak-anak kita, cucu-cucu kita dan seluruh generasi kita yang akan datang.

Selamatkan Malaysia !

Polis masih belum dakwa Azhar “Tembak” Ibrahim

Setelah laporan polis dibuat terhadap Setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Azhar “Tembak” Ibrahim, pihak polis masih belum bertindak terhadap beliau.

Tindakan Datuk Azhar yang mengancam untuk membunuh wartawan akhbar Sin Chew kerana liputan yang melaporkan kenyataan perkauman Datuk Ahmad “Gantung” Ismail pada 5 September yang lalu harus diberi perhatian dengan serius kerana ianya melibatkan ancaman terhadap nyawa seseorang.

Malah, pihak polis juga digesa supaya menyegerakan tindakan terhadap Datuk Azhar dengan mendakwa beliau atas kesalahan cubaan membunuh.

Pihak polis juga hendaklah memastikan agar keselamatan dan nyawa wartawan akhbar Sin Chew tersebut terjamin dan perlu bertindak serta-merta sekiranya ada ahli-ahli atau penyokong Umno yang cuba mendekati atau mengancam wartawan tersebut.

Umno dan Budaya Benci Caci Ganasnya

Kenapa lah ketua Umno Bukit Bendera yang bernama Datuk Ahmad “Nazi” Ismail itu masih enggan mengaku bersalah atas perbuatannya yang telah menimbulkan kemarahan kaum Cina di negara ini. Apakah susahnya untuk memohon maaf daripada masyarakat umum?

Kenapa Si Ahmad itu masih ingin menyemarakkan para ahli dan pemimpin Umno di Pulau Pinang dengan semangat benci-membenci, caci-mencaci dan cubaan mengganasi pihak-pihak lain yang hidup secara aman di sini?

Tambah pula dengan sidang akhbar buat kali kedua dengan lagi laungan anti Cina dan slogan nak pergi berperang pulak. Dahlah dengan kata-kata Si Ahmad itu yang sungguh memberangsangkan , masuk lagi seorang pemimpin Umno yang bernama Datuk Azhar “Tembak” Ibrahim yang menyeru agar wartawan yang membuat liputan pada hari Si Ahmad berceramah itu ditembak mati kerana telah “mencetus” suasana yang tegang sekarang.

Masalahnya adalah pada Umno dan wartawan yang membuat liputan itu hanya menjalankan tugasnya secara professional tanpa was-was. Masalahnya adalah pada Umno di mana Si Ahmad itu yang berkeras enggan meminta maaf. Oleh kerana tindakan Si Ahmad itu, maka timbul lah kemarahan masyarakat Cina di negara ini dengan MCA, PPP, Gerakan, SUPP, LDP, DAP, PKR, PAS mengecam sikap angkuh Si Ahmad yang berdegil dengan pendiriannya.

Kemudian datang pula seorang lagi yang bernama Datuk Azhar “Tembak” Ibrahim (setiausaha Umno Pulau Pinang) yang mengeruh serta memburukkan lagi keadaan dengan istilah tembak-menembaknya kerana dendam beliau terhadap wartawan yang membuat liputan tersebut secara sah dan benar.

Apakah faedah Umno Pulau Pinang ini dalam menyemarakkan semangat benci-membenci, caci-mencaci serta keganasan di kalangan masyarakat kita ini yang hidup secara harmoni dan aman damai?

Adakah sekiranya keganasan dan pergaduhan benar-benar berlaku, Umno, Datuk Ahmad dan Datuk Azhar akan menyalahkan Sin Chew Press, Gerakan, Dr Koh Tsu Koon, MCA, PPP, SUPP, LDP, DAP, PKR dan PAS kerana perkara ini di bawa ke meja pucuk pimpinan negara dan pihak berkuasa untuk diadili?

Jawapannya ialah tidak ada pihak yang akan berpeluang untuk mengaut sebarang faedah hasil daripada perbuatan Si Ahmad dan Si Azhar ini, termasuk Umno sendiri.
Fikirkan dengan sebaik-baiknya.

Datuk Azhar berjaya halang pelaburan asing ke Pulau Pinang

Sekali lagi Umno Pulau Pinang bersama dengan setiausaha perhubungannya Datuk Azhar Ibrahim berjaya menggagalkan satu lagi projek pelaburan asing yang bakal bertapak di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan Datuk Azhar Ibrahim di satu akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini, beliau telah menyeru kerajaan pusat agar membatalkan projek jambatan Pulau Pinang yang kedua kerana Barisan Nasional dan Umno tidak lagi memerintah Pulau Pinang di mana ia akan menyebabkan kos projek tersebut meningkat.

Atas daya usaha Datuk Azhar Ibrahim untuk pembatalan projek jambatan kedua tersebut, sebuah syarikat Korea Selatan yang pada mulanya merancang untuk bertapak di Batu Kawan di Seberang Perai di mana jambatan baru itu akan menghubungkan, telah menarik balik hasrat pelaburannya atas alasan keadaan yang tidak stabil berikutan kenyataan Datuk Azhar tersebut.
Oleh kerana inisiatif berterusan Datuk Azhar untuk mensabotaj peluang pelaburan di Pulau Pinang, keadaan ekonomi di negeri ini dijangka berada di paras lembap dan pada masa yang sama peluang pekerjaan untuk rakyat akan menjadi lebih tipis berikutan kurangnya kemasukan pelaburan asing yang baru.

Ingin kami tahu, sampai bilakah Umno Pulau Pinang beserta dengan Datuk Azhar Ibrahim akan mendendami dan menyalahkan rakyat Pulau Pinang atas kekalahan BN pada pilihanraya umum yang lalu.

Apakah Umno Pulau Pinang dan Datuk Azhar Ibrahim masih degil dan enggan menerima hakikat serta mengakui bahawa mereka kalah akibat sikap bongkak, sombong, angkuh dan identiti perkauman mereka yang kuat?

Apakah rancangan Umno Pulau Pinang dan Datuk Azhar Ibrahim seterusnya untuk melihat ekonomi Pulau Pinang runtuh dan seterusnya menjadi mundur bagi dijadikan modal politik mereka di dalam pilihanraya yang akan datang? Mengorbankan rakyat dan bangsa mereka sendiri bagi mencapai tujuan politik mereka yang jijik ini?

Di manakah Pengerusi BN Pulau Pinang dan bekas ketua menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semasa Umno Pulau Pinang dan Datuk Azhar Ibrahim mengorak langkah untuk mensabotaj ekonomi Pulau Pinang? Adakah Tan Sri Dr Koh takut dan tidak berani membantah tindakan mereka itu yang bakal menghuru-harakan negeri ini dengan tindakan jahat mereka?
Setelah cubaan rampasan kuasa di Perak gagal, apakah Datuk Azhar akan merancang cubaan seumpama ini di Pulau Pinang pula? Apakah keselamatan di Pulau Pinang akan terjamin selagi Umno Pulau Pinang masih wujud di negeri ini?

Adakah Umno Pulau Pinang akan menggunakan isu perkaumannya untuk melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan negeri di masa yang terdekat?

Ekonomi Malaysia akan parah jika BN terus memerintah

Ramai pakar ekonomi telah meramalkan keadaan ekonomi Malaysia kini sedang menuju ke arah keadaan yang paling buruk dalam tempoh tiga bulan yang akan datang.

Malah, keadaan tersebut dijangka akan lebih buruk daripada krisis ekonomi 1997-1998 yang terdahulu. Gabenor Bank Negara Datuk Zetty Aziz dalam satu kenyataan telah berkata inflasi dijangka melebihi kadar enam peratus. Namun, Persatuan Bank-Bank Asia pula telah mengeluarkan angka yang melebihi lapan peratus.

Dalam satu kenyataan terbaru oleh menteri kewangan kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yaakob sendiri telah mengatakan bahawa inflasi di Malaysia dijangka mencecah lebih daripada lapan peratus.

Peningkatan inflasi yang mendadak ini adalah disebabkan oleh kenaikan harga petrol dan diesel yang telah dipersetujui dan disokong oleh para pemimpin BN-Umno sebelum ini.
Kesan sampingan selain daripada inflasi yang tinggi ialah peningkatan jumlah pengangguran daripada 500 ribu orang sekarang dan dijangka akan mencecah 1 juta orang pada tahun hadapan.

Malah, negeri-negeri yang ekonominya banyak bergantung kepada perindustrian pembuatan seperti Selangor, Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Johor juga dijangka akan mengalami kesan yang lebih buruk dengan peluang pekerjaan akan menjadi semakin tipis, sementara di negeri-negeri lain akan menjadi semakin mundur akibat daripada kemelesetan ekonomi yang kian parah.