Wednesday, January 27, 2010

Taat kepada negara perlu diutamakan

Ketaatan kepada negara oleh rakyat adalah suatu yang perlu dipraktikkan dengan penjelasan yang boleh difahami oleh segenap lapisan masyarakat. Ketaatan kepada pemerintah secara membuta tuli boleh menumbangkan sesebuah negara, jika sekiranya erti ketaatan itu disalahtafsirkan oleh rakyat ataupun golongan yang sedang mempergunakan nama pemerintah untuk kepentingan politik mereka.

Perlu kita faham dari sudut penubuhan, dengan hanya mempuyai sebuah negara, maka barulah pemerintah wujud bagi memerintah dan mentadbir negara tersebut. Dan jika sekiranya pemerintah itu menyalahgunakan kuasanya dan berlaku kejam terhadap rakyat dengan penindasan serta meletakkan kepentingan dirinya di atas maruah negara, maka pemerintah tersebut harus disingkir ataupun digulingkan bagi memulihkan negara tersebut. Inilah yang disebut taat kepada negara perlu diutamakan dengan sewajarnya.

Banyak contoh daripada sejarah yang boleh kita pelajari, misalannya pada zaman pemerintahan dinasti Qing di China, Maharaja Qing telah banyak menggadaikan negaranya kepada beberapa buah kuasa-kuasa asing dan para pegawai dirajanya menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa serta menindas rakyat jelata, sehinggalah pada tahun 1911, golongan nasionalis di bawah pimpinan Dr Sun Yat Sen melancarkan revolusi menggulingkan dinasti Qing dan seterusnya menubuhkan sebuah Republik China yang baru. Perbuatan ini tidak dianggap derhaka tetapi ianya lebih kepada taat setia kepada negara.

Contoh yang seterusnya, Raja Romania Victor Emanuel digulingkan oleh rakyat Romania pada tahun 1945 kerana baginda sanggup menggadai negaranya kepada Nazi Jerman sewaktu perang dunia kedua. Pemerintah Perancis Raja Louis digulingkan oleh rakyatnya dan seterusnya digantung sampai mati kerana kekejaman baginda dan golongan bangsawannya yang telah banyak menindas rakyat jelata.

Oleh yang demikian ketaatan kita kepada negara perlulah diutamakan dan tidak disalah ertikan sebagai tidak taat kepada pemerintah. Perlu kita ingatkan, jika tidak ada negara, maka pemerintah tidak akan wujud.

Apa gunanya kita taat kepada pemerintah jika sekiranya negara itu diambang kejatuhan akibat perbuatan pemerintah itu sendiri?

Usah persendakan Almarhum lagi, biarkanlah

Sudahlah, jangan dipersendakan Almarhum Sultan yang telah mangkat baru-baru ini. Biarkanlah Almarhum baginda disemadikan dengan aman di permakaman diraja.

Perlu difahamkan bahawa jika sekiranya Almarhum telah melakukan banyak kesalahan terhadap rakyatnya, marilah kita sama-sama memaafkan baginda yang telah mangkat baru-baru ini. Oleh kerana kesalahan-kesalahan Almarhum yang lalu, biarlah takdir yang menentukan bentuk balasan yang setimpal dengan tindakannya pada hayat yang akan datang.

Bagi mereka yang masih kurang faham dengan apa itu takdir, kekuasaan dan kekebalan yang Almarhum miliki pada hayat ini mungkin oleh kerana baginda telah berbuat baik terhadap orang, memberi sedekah dan sebab itulah pada hayat ini Almarhum telah ditakdirkan untuk menjadi seorang raja di sebuah negeri bagi membolehkan Almarhum menikmati balasan baiknya yang lalu.

Oleh yang demikian, janganlah kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan soratan takdir kerana kuasa takdir itu adalah paling adil di dunia ini dan akhirat. Tidak ada gunanya kita marah dan mempersendakan Almarhum kerana baginda sudah sememangnya tidak berada di bumi ini lagi untuk berhadapan dengan rakyatnya.

Biarkanlah, biarkanlah takdir yang menguruskannya.

Saturday, January 16, 2010

Isu Allah: Pemuda Umno kata keganasan tidak dapat dielak

Exco Pemuda Umno Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi telah menulis di dalam blognya baru-baru ini berkata " I am saying that Malay violence is inevitable" yang bermaksud, keganasan orang-orang Melayu (Umno) memang tidak dapat dielakkan lagi.

Nampaknya sudah tidak dapat dielakkan lagi, menurut Akhramsyah. Pemuda Umno akan mengerakkan siri keganasan yang terbaru bagi memburukkan lagi keadaan berikutan kemungkinan kerajaan pusat membenarkan perkataan Allah itu digunakan oleh penganut agama Kristian di Malaysia Timur yang merangkumi Sabah dan Sarawak.

Yang lebih malang lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut menyemarakkan lagi kebencian mereka dengan turut membantah cadangan menteri di jabatan perdana menteri Datuk Nazri Aziz agar para penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan perkataan Allah di dalam kitab mereka.

Kenapa mereka-mereka ini asyik melaung-laungkan api kebencian terhadap agama orang lain? Mengapa mereka ini suka sangat perpaduan antara kaum di negara kita ini dipecah-belahkan dengan sewenang-wenangnya? Apakah mereka sukakan keadaan ini supaya mereka boleh mengambil kesempatan daripada huru-hara yang bakal ditimbulkan oleh mereka itu dengan menawarkan diri mereka untuk menjadi "orang tengah" dan seterusnya menjadi "wira" memperjuangkan Islam?

Ini bukannya Islam yang sebenar, kerana Islam yang sebenarnya tidak mengajar umatnya untuk mengapi-apikan kebencian terhadap kaum dan agama yang lain, Islam yang sebenarnya tidak mengajar umatnya untuk melakukan keganasan terhadap orang lain. Mereka-mereka yang asyik melaung-laungkan slogan menentang agama lain, slogan-slogan ketuanan yang memperhambakan agama-agama dan kaum lain, benci-membenci terhadap agama dan kaum lain sebenarnya bukan Islam yang sebenarnya, kerana mereka ini telah lama murtad dan sesat dengan amat ketara sekali.

Ini adalah derhaka yang sebenarnya oleh mereka.

Thursday, January 14, 2010

Polis Selangor ancam serang Guan Eng

Polis Selangor semalam mengancam untuk menghantar sepasukan polis ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menyerbu pusat pentadbiran kerajaan negeri tersebut bagi menahan Ketua Menteri dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Guan Eng sebelum ini enggan memberikan kenyataan beliau kepada polis berhubung dengan ucapan beliau di dalam Konvensyen Pakatan Rakyat pada tahun lalu yang mengatakan bahawa Teoh Beng Hock telah mati dibunuh kerana pihak polis telah sehingga kini gagal membuktikan bahawa ada laporan polis dibuat terhadap Guan Eng berhubung dengan ucapan beliau itu.

Menurut ketua polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar, mereka tidak akan mengalah dan akan mengusahakan penangkapan Guan Eng dengan seberapa segera yang boleh. Satu pasukan polis dijangka akan digerakkan ke Pulau Pinang tidak lama lagi bagi menyerbu pusat pentadbiran kerajaan negeri tersebut yang terletak di Komtar.

Kita cabar Datuk Khalid, kalau beliau berani mengerakkan pasukan bersenjatanya untuk menyerang Pulau Pinang, kita akan serang balas!

Tak cukup pegawai polis untuk memerangi serangan pengganas terhadap gereja-gereja di seluruh negara, tetapi mereka ada pasukan-pasukan yang mencukupi untuk menyerang dan menangkap Penasihat PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kini sedang bersedia untuk menyerang Pulau Pinang bagi menangkap Guan Eng.

Polis Umno yang Cukup Keji dan Kejam!

Wednesday, January 13, 2010

Rumah ibadat Sikh pun jadi sasaran

Setelah beberapa siri pengeboman ke atas gereja-gereja di seluruh negara oleh beberapa kumpulan pengganas, kini giliran rumah ibadat Sikh pula cuba dibinasakan.

Sehubungan daripada itu, para NGO Islam perlu mengotakan janji mereka sepenuhnya dengan meluaskan rondaan sukarela mereka ke atas rumah-rumah ibadat pelbagai agama sekiranya mereka benar-benar ikhlas di dalam memastikan keharmonian antara kaum dan agama di negara kita ini.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah memberi amaran kepada umum bahawa mereka tidak boleh menjamin keselamatan gereja-gereja yang diserang sebelum ini kerana "kekurangan pegawai" untuk melaksanakan tugas-tugas keselamatan tersebut.

Jika sekiranya PDRM tidak dapat menjamin keselamatan awam kerana "kekurangan pegawai" untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut, adakah itu bermakna, mereka juga tidak dapat menjamin keselamatan negara kita daripada ancaman anasir-anasir perkauman , penjenayah dan pengganas-pengganas?

Kekurangan pegawai atau sibuk menjamin keselamatan para pemimpin Umno?

Friday, January 8, 2010

Gereja hangus dibaling bom petrol, 3 lagi diserang

Sebuah gereja dibaling dengan bom petrol oleh sekumpulan pengganas di mana ianya telah mengakibatkannya hangus terbakar, kata sumber gereja.

Insiden tersebut berlaku sewaktu memuncak kontroversi berhubung penggunaan perkataan Allah oleh satu penerbitan Katholik. Dua lagi gereja di Lembah Kelang turut jadi sasaran dalam tempoh 12 jam lalu, termasuk Gereja Assumption di Petaling Jaya.

Seorang pegawai jabatan bomba berkata semua balai diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi memantau kebakaran di rumah-rumah ibadat, menjelang bantahan besar-besaran tengah hari ini anjuran beberapa NGO Islam.

Sementara itu, sumber terbaru turut melaporkan bahawa gereja keempat turut diserang namum demikian, bom petrol yang dibaling oleh kumpulan pengganas tersebut gagal meletup.

Umno yang mendalangi kumpulan pengganas Islam ini perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan yang dilakukan oleh para penyokongnya ke atas bangunan-bangunan ibadat agama lain.

Kenapa kita berkata demikian? Ini adalah kerana presiden Umno Datuk Najib Razak pada 7 Januari telah mengatakan bahawa Umno dan kerajaan pusat tidak akan menghalang "protes" yang akan berlaku pada hari ini dan kata-kata beliau ini jelas menunjukkan bahawa Umno menyokong kegiatan keganasan ke atas agama lain.

Kenapa beralih kepada kempen keganasan semata-mata untuk berebut untuk memiliki dan mentadbir perkataan Allah? Dalam erti dan konteks Islam yang sebenarnya, ia tidak menggalakkan keganasan bagi menyelesaikan sebarang masalah.

Ini bermakna, mereka-mereka yang melakukan keganasan dengan menyerang gereja-gereja dengan bahan letupan dan menunjuk perasaan dengan menonjolkan kebencian mereka terhadap kaum dan agama yang lain telah murtad dan mereka bukan lagi beragama Islam, kerana Islam yang sebenarnya tidak melakukan perbuatan-perbuatan yant terkutuk ini.

Pihak berkuasa juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana kegagalan mereka mencegah keganasan ini daripada menular di kebanyakan kawasan.

Kenapa pula apabila ada protes secara aman yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat, polis begitu cepat memeranginya sedangkan apa yang dibuat oleh para penyokong Umno walaupun ianya bebentuk ganas dan membahayakan umum, polis bertindak sambil lewa sahaja.

Ini jelas tidak adil dan berat sebelah.

Monday, January 4, 2010

Akta Perhubungan Kaum

Di dalam mengharungi pelbagai halangan dan rintangan politik di negara kita ini, tajuk perkauman masih menjadi bahan kempen dan bualan semasa oleh beberapa pemimpin parti politik yang memerintah khususnya BN dan Umno walaupun mereka giat mengia-iakan perlunya dan pentingnya perpaduan kaum dijalin dengan lebih erat.

Apakah tujuan dan matlamat mereka sebenarnya? Sekejap menekankan perpaduan kaum dan sekejap lagi menekankan perlunya memelihara kepentingan satu kaum dan memperkasakan dasar Ketuanan mereka ke atas kaum lain. Adakah mereka ini benar-benar jujur di dalam lafaz perpaduan mereka?

Dan apabila cadangan untuk merangka dan membentangkan Akta Perhubungan Kaum diketengahkan tahun lalu, para pemimpin parti pemerintah khususnya Umno mula membisu dan seterusnya secara perlahan-lahan memansuhkan usaha tersebut tanpa disedari oleh kebanyakan kita.

Para pemimpin Umno sedar bahawa sekiranya Akta Perhubungan Kaum tersebut dikuatkuasakan, ianya akan memakan diri mereka yang kebanyakan masih berpegang kuat kepada idea-idea serta fahaman perkauman dan ketuanan yang kolot dan ketinggalan zaman. Ya, memang betul, sekiranya Akta tersebut benar-benar dikuatkuasa pada masa itu, sudah ramai pemimpin Umno telah merengkok di dalam penjara sekarang oleh kerana pemikiran dan tindakan perkauman mereka yang mengancam ini.

Untuk memastikan perpaduan kaum di negara kita ini benar-benar terjalin dan diperlihara, akta tersebut perlulah diketengahkan dengan segera. Dan di dalam mengetengahkan Akta tersebut, kesemua aspek yang menyentuh perkauman seperti parti-parti politik yang berasaskan satu kaum, dasar-dasar pendidikan serta pembangunan yang berasaskan keistimewaan satu kaum, program-program kerajaan yang hanya mengutamakan satu kaum perlu dihapuskan dengan segera tanpa perlu memikirkannya atau mengkajinya semula. Ianya perlu dilaksanakan tanpa was-was.

Dan jika sekiranya kesemua lapisan masyarakat di negara kita ini benar-benar “sporting” dan percaya kepada perpatah “kejayaan atas keusahaan sendiri” daripada suka bergantung kepada bantuan atau subsidi, sudah tentunya tidak menjadi masalah untuk Akta tersebut dikuatkuasakan melainkan ada parti-parti politik yang akan bertindak menentang pengubalan Akta tersebut kerana takut kehilangan kuasa dan monopoli politik dan perniagaan mereka kepada pihak lain, kerana selama ini mereka berselindung dan bersembunyi di bawah paying dasar perkauman mereka sendiri.

Oleh itu, selagi ada Umno atau BN, selagi itulah perpaduan antara kaum akan hanya tinggal perbualan sahaja. Jika sekiranya Umno atau BN masih asyik membuka pekung dada mereka dengan melafazkan perpaduan mereka, kita akan hanya bergelak ketawa dan memusing kepala kita.

Janganlah kita membuang masa mendengar usaha-usaha mereka untuk “menyatupadukan” rakyat, kerana perpaduan di dalam Umno dan BN itu sendiri pun tidak dapat dikecapi dengan sepenuhnya.

Percepatkan pengharaman BTN

Biro Tata Negara (BTN) yang dikelolakan oleh Jabatan Perdana Menteri perlu diharamkan segera kerana ia telah terbukti mengancam keselamatan dan kestabilan negara. Daripada pengalaman puluhan peserta yang didedahkan baru-baru ini, jelas menunjukkan bahawa kesemua bentuk program BTN adalah berbau perkauman, menghasut, mengalakkan keganasan politik serta permusuhan di kalangan kaum.

Menurut seorang timbalan menteri di jabatan perdana menteri, BTN perlu disusun semula, manakala seorang menteri di jabatan perdana menteri pula mengakui bahawa BTN benar-benar perkauman.

Tetapi setelah tibanya tahun 2010, kami tidak nampak sebarang tindakan terhadap BTN oleh pihak-pihak di dalam kerajaan pusat BN yang menekankan perlunya BTN perlu dirombak dan diubah.

Malah adalah difahamkan bahawa, berikutan kelembapan BN untuk menyelesaikan masalah tersebut, pihak-pihak di dalam BTN telah menjadi semakin berani dan bongkak dengan meneruskan program perkauman mereka, malah mempergiatkan usaha mereka untuk melepaskan dendam mereka terhadap rakyat dan memecahbelahkan perpaduan di negara kita ini.

Nampaknya, sudah tidak ada lagi jalan penyelesaian bagi menghapuskan sifat-sifat perkauman yang diamalkan oleh BTN. Sudah dikatakan terlewat dan tidak ada apa yang boleh kita buat sekarang. Jadi, jalan penyelesaian yang paling berkesan sekarang adalah mengharamkan sama sekali BTN dan keseluruhan organisasinya, serta program-program. Selain daripada pengharaman itu, para pegawai dan tenaga pengajarnya perlu diberi kaunseling dan dihantar ke sebuah pusat pemulihan akhlak khas bagi memperbetulkan segmen dan pemikiran mereka dengan sewajarnya.