Tuesday, December 30, 2008

Lebih 2,000 orang kehilangan kerja

Mengikut analisa yang dibuat oleh MTUC baru-baru ini, lebih 2,000 orang telah kehilangan kerja sejak tiga bulan yang lalu akibat daripada krisis ekonomi yang kini sedang melanda serata dunia.

Akan tetapi kerajaan BN melalui kementerian sumber manusianya masih enggan menerima kenyataan dan belum mengambil langkah-langkah yang berkesan tetapi sebaliknya terus menekankan bahawa krisis ekonomi tersebut tidak banyak memberikan impak terhadap negara ini dan struktur ekonomi di negara ini masih kukuh.

Sampai bilakah kerajaan BN masih ingin berbohong terhadap rakyat jelata yang semakin merasai akibat daripada krisis ekonomi teresebut? Kenapa kementerian sumber manusia langsung tidak mengambil langkah-langkah drastik bagi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat keseluruhannya?

Monday, December 29, 2008

Jangan main api, Gabungan Melayu NGO !

Kira-kira 1,500 orang - termasuk 400 kanak-kanak - dari sekumpulan 20 pertubuhan Melayu, yang diketuai oleh Gabungan Melayu NGO Malaysia menyertai perhimpunan selama dua jam pada hari ini yang bermula jam 9 pagi tadi di Polo Ground, di luar Sri Mutiara - kediaman rasmi Gabenor Pulau Pinang.

Kumpulan tersebut telah menggesa Raja-raja Melayu supaya membatalkan kerakyatan rakyat Malaysia yang mempertikaikan hak istimewa orang Melayu dan menuntut supaya dipertahankan kedudukan istimewa mereka.

Di akhir perhimpunan itu, para pemimpin gabungan tersebut yang diketuai presidennya, Md Radzi Daud, menyerahkan memorandum kepada Gabenor Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Persoalannya adalah siapakah yang telah mempertikaikan atau mempersoalkan hak keistimewaan orang-orang Melayu? Adakah mereka menyiasat dalang sebenarnya yang telah menggembar-gemburkan cerita-cerita ini daripada fakta-fakta yang sebenarnya? Kenapa mereka ini mudah terpengaruh dengan dakyah yang sering dipermain-mainkan oleh Umno ataupun gabungan tersebut sebenarnya dipimpin oleh kalangan pemimpin Umno itu sendiri?

Di dalam perhimpunan ini juga kami dapati kanak-kanak turut dipergunakan semata-mata bagi mencapai tujuan-tujuan dan idea-idea politik mereka yang sempit ini dan kenapa pula pihak berkuasa khususnya polis gagal mengambil tindakan terhadap mereka yang menggunakan kanak-kanak bawah umur untuk perhimpunan tersebut yang jelas sekali berbau politik?

Apakah tujuan mereka yang sebenar di dalam mengapi-apikan sentimen kebencian dan perkauman ini secara berterusan? Harap rakyat dan masyarakat kita jangan mudah terpengaruh dengan dakyah yang sedemikian bagi memelihara keharmonian di antara kaum di negara ini.

Wednesday, December 24, 2008

Tsunami politik bakal landa Terengganu

Selepas tersisih dari ledakan tsunami politik yang melanda negara ketika pilihanraya Umum 8 Mac lalu, Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang bakal di adakan pada 17 Januari tahun depan dijangka menjadi kayu pengukur kepada kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan politik berlaku di negara ini.

Walaupun ramai dikalangan pemerhati politik mencari-cari dimana silapnya sehingga Terengganu gagal mengusai negeri pantai timur itu ketika pilihanraya umum lalu. Walhal ketika pilihanraya umum ke-10, Pas menguasai pentadbiran kerajaan negeri tersebut.

Walau apapun senarionya pilihanraya di P36 kali ini bakal menjawab segala persoalan tersebut.

Datuk Abu Zahar sertai PAS hari ini

Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Abu Zahar Hashim yang telah mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter baru-baru ini mengesahkan yang beliau menyertai PAS hari ini.

Beliau telah menyerahkan keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis rasmi yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini. Datuk Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin tertinggi Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Abu Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan dari bahagian tersebut, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian yang same juga akan mengikut jejak langkahnya untuk keluar dari Umno dan menyertai PAS.

Nampaknya Umno dan para pemimpinnya telah menunjukkan kepada umum bahawa mereka ini tidak telus dan pantang menerima teguran daripada akar umbi. Sekiranya ada mana-mana ahli-ahli atau pemimpin Umno peringkat bawahan yang mengkritik para pemimpin tertinggi parti itu, penghujungnya adalah diberikan amaran, digantung ataupun dipecat.

Hakikatnya adalah di dalam Umno itu sendiri tidak ada demokrasi langsung di dalam kepimpinannya.

Tuesday, December 23, 2008

Mahfuz menang lawan Utusan di mahkamah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Utusan Melayu Bhd dan bekas ketua pengarangnya membayar RM120,000 kepada ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh pemimpin PAS tersebut.

Mahfuz, selaku plaintif, menfailkan saman itu pada 2001 dengan menamakan ketua pengarang kumpulan akhbar berpengaruh Utusan Malaysia (ketika itu) dan penerbitnya sebagai defendan-defendan.

Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi melampau dan mengarahkan defendan meminta maaf serta menarik balik tuduhan fitnah terhadapnya yang telah menyebabkan beliau terpaksa menanggung malu dan menjejaskan kredibilitinya di kalangan masyarakat.

Monday, December 22, 2008

Selamat Hari Krismas & Tahun Baru

DAP ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas dan Tahun Baru kepada semua ahli-ahli parti, para penyokong dan keseluruhan masyarakat.

Saturday, December 20, 2008

Angkara golongan fanatik yang bencikan keamanan dan perpaduan

Inilah angkara dan perbuatan mereka-mereka yang bencikan keamanan dan perpaduan sehingga sanggup meletakkan slogan-slogan sebegini bagi membangkitkan kemarahan kaum-kaum yang tertentu.

Hairannya ialah kenapa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menghuru-harakan negara kita ini? Mungkinkah kerana ianya didalangi oleh sebuah parti memerintah utama di dalam Barisan Nasional?

Kerajaan BN beri elaun kepada bekas ketua polis yang belasah Anwar

Kerajaan pusat BN baru-baru ini telah mengakui bahawa bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana membelasah bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah diberi elaum berdasarkan gaji terakhir beliau sewaktu masih berkhidmat di dalam pasukan polis.

Apakah ini suatu tindakan yang adil? Kenapa seseorang yang dianiayai dan dipenjarakan tidak mendapat satu sen pun sementara seorang yang benar-benar bersalah dan dijatuhi hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahannya masih boleh menikmati elaun daripada kerajaan? Bayaran pencen Tan Sri Rahim telah ditarik balik berikut disabit kesalahan oleh mahkamah kerana mencederakan seseorang dengan niat tetapi kemudiannya beliau diberikan saguhati berbentuk elaun bulanan.

Kenapa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang telah dianiayai dan dipenjarakan sebelum ini kerana membantu seorang budak perempuan yang dirogol oleh seorang tokoh politik Umno tidak diberikan elaun gantian apabila pencen bulanannya sebagai ahli parlimen ditarik balik berikutan disabitkan kesalahan di mahkamah? Ini adalah benar-benar tidak adil.

Jawapannya adalah jelas, Tan Sri Rahim Noor adalah seorang penyokong and ahli setia Umno dan itulah hakikatnya. Selain dari itu, setelah disabitkan kesalahan dan dipecat daripada perkhidmatan polis, Tan Sri Rahim telah ditawarkan beberapa jawatan pengarah di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) setelah beliau dibebaskan daripada hukuman penjara yang singkat.

Elaun dan jawatan-jawatan pengarah syarikat ini adalah sebagai ganjaran dan pengorbanan beliau di dalam usaha untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar pada masa yang lalu.

Wednesday, December 17, 2008

JKKKP adalah pertubuhan haram

Setelah pilihanraya umum yang lalu, Pakatan Rakyat telah berjaya menguasai lima kerajaan negeri di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan.

Oleh kerana Pakatan Rakyat berjaya menjadi kerajaan di lima negeri tersebut, kesemua jentera pentadbiran peringkat akar umbi seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Penghulu yang sebelum ini dipegang oleh ahli-ahli daripada Umno, MCA, MIC, Gerakan dan PPP kini telah diisi dan digantikan pula oleh ahli-ahli daripada DAP, PKR dan PAS.

Akibat tidak puashati dengan pelbagai perubahan tersebut, pihak BN melalui kerajaan pusat telah membentuk JKKK Pusat (JKKKP) dan melantik Penghulu Pusat di setiap pelusuk kawasan di dalam negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat bagi mencabar kewibawaan JKKK dan Penghulu yang dilantik oleh kerajaan negeri-negeri tersebut.

Untuk makluman, JKKK adalah sebuah entiti dan badan yang dibentuk di bawah enakmen kerajaan negeri yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan adalah merupakan badan peringkat akar umbi yang sah dan diiktiraf.

Namun demikian, JKKKP pula adalah merupakan badan yang tidak sah dan haram di sisi undang-undang kerana JKKKP bukanlah sebuah badan yang dibentuk di bawah mana-mana undang-undang ataupun akta parlimen.

Oleh itu, apakah asas yang membawa kepada pembentukan JKKKP sebenarnya? Dan di bawah akta manakah kerajaan BN pusat mendapat kuasa untuk berbuat demikian? Melainkan jika kerajaan BN pusat dapat membuktikan bahawa JKKKP adalah badan yang sah di bawah sesuatu akta atau undang-undang parlimen, JKKKP akan tetap dianggap sebagai pertubuhan haram kerana ia dibentuk secara tidak sah, dan hanya diwujudkan semata-mata untuk menentang kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat negeri-negeri tersebut.

Perlantikan JKKKP dan Penghulu Pusat oleh BN sebenarnya hanya bertujuan untuk mencabar dan memberontak terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat. Kerajaan BN pusat juga telah membazirkan jutaan Ringgit wang rakyat untuk dijadikan elaun bagi ahli-ahli JKKKP dan Penghulu Pusat yang dilantiknya.

Tuesday, December 16, 2008

Pegawai bank kerajaan bersikap perkauman

Persatuan Perniagaan India Malaysia (MIBA) yang telah menganjur satu seminar pinjaman perniagaan bersama dengan sebuah bank milik kerajaan baru-baru ini terkejut dengan kenyataan seorang pegawai bank yang berbau perkauman ketika menyampaikan taklimatnya kepada para hadirin seminar tersebut.

Pegawai bank kerajaan tersebut di dalam menyampaikan taklimatnya telah berkali-kali mengulangi kenyataan yang merujuk kepada masyarakat India, “orang asing kini juga boleh memohon pekerjaan di bank berkenaan”.

Kami amat hairan, apakah motif sebenarnya pegawai bank itu menyebut perkataan sedemikian? Adakah beliau ini terpaksa memberikan taklimatnya kepada seminar tersebut setelah diperintahkan oleh pegawai atasannya dan lantas, berbuat demikian dengan hati yang berat? Sejurus tu, apabila hadir di seminar tersebut beliau kemudiannya melepaskan kemarahannya di hadapan para peserta seminar dengan lafaznya yang berbau perkauman.

Kenyataan pegawai bank tersebut adalah amat memalukan dan menghina masyarakat India khususnya mereka dari kalangan golongan professional yang hadir bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai bantuan-bantuan yang dapat disalurkan kepada para peniaga dan usahawan keturunan India.

Jika pegawai bank tersebut kemudiannya mengatakan bahawa kenyataan “orang asing” tersebut sebenarnya merujuk kepada para pemohon dari luar negeri, adakah alasan itu munasabah? Seminar pinjaman perniagaan tersebut dianjurkan bersama oleh MIBA bagi memberikan peluang kepada para ahli-ahlinya untuk mengetahui kemudahan pinjaman bank tersebut. Oleh itu alasan yang bakal dikemukakan kemudian itu adalah juga tidak tepat sama sekali kerana para peserta seminar tersebut kesemuanya orang tempatan berketurunan India.

Jadi apakah maksud yang tersirat di dalam hati sanubari pegawai bank tersebut sewaktu beliau menyampaikan taklimatnya kepada para perserta seminar tersebut? Pegawai bank kerajaan tersebut perlu memohon maaf secara terbuka kerana kata-katanya telah menyinggung perasaan masyarakat India pada keseluruhannya.

Monday, December 15, 2008

Adakah kita perlukan Akta Perhubungan Kaum?

Kita telah mengetahui bahawa baru-baru ini kerajaan Barisan Nasional telah mencadangkan agar Akta Perhubungan Kaum diwujudkan bagi membantu memelihara kestabilan perhubungan antara kaum di negara ini.

Persoalannya adalah adakah kita memerlukan Akta Perhubungan Kaum dan apakah maksud sebenar yang tersirat di dalam cadangan akta tersebut. Jika kita melihat kembali beberapa kejadian-kejadian sebelum ini yang telah membangkitkan kemarahan kaum-kaum yang tertentu, kita akan dapat memperoleh jawapan tersebut dengan amat cepat.

Ya, jawapan yang amat tepat mengenai mengapa wujudnya ketegangan kaum pada hari ini adalah Umno. Kita semua telah mengetahui bahawa Umno adalah punca berlakunya keretakan hubungan kaum selama ini. Gara-gara untuk melindungi kedudukannya yang semakin pupus, Umno sanggup membangkitkan kemarahan kaum-kaum yang lain bagi menaikkan prestijnya sebagai penaung dan pelindung bangsa Melayu. Demi mencapai tujuannya untuk terus relevan di dunia Melayu, Umno juga sanggup mempermain-mainkan rakan-rakan kongsinya di dalam Barisan Nasional, khususnya MCA, Gerakan, MIC, SUPP, PPP dan sebagainya.

Di dalam kehidupan harian kita sehingga kini, sebenarnya tidak wujud keretakan hubungan antara kaum. Rakan-rakan kita serta sahabat handai, rakan setugas, rakan sejawat serta dari kalangan kawan karib kita yang berbangsa Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Dayak, dan lain-lain masih erat dan tidak berlaku apa-apa ketegangan langsung.

Jadi, apakah kita benar-benar memerlukan Akta Perhubungan Kaum untuk menjaga keharmonian kaum ? Apakah orang-orang Melayu pada hari ini masih memerlukan atau bergantung hidup kepada Umno untuk terus wujud dan maju di negara ini? Adalah kesemua masyarakat Melayu bergantung sepenuhnya kepada Umno seperti yang didakwanya? Adakah orang-orang Melayu hanya mempunyai Umno untuk terus hidup ?

Tanpa perlu untuk menjadi ahli Umno, orang-orang Melayu masih boleh menjadi maju setaraf dengan rakan-rakan mereka daripada kalangan kaum yang lain, tanpa perlu untuk menjadi ahli Umno, orang-orang Melayu juga telah lama mengetahui bertapa pentingnya untuk menjalin suatu hubungan antara kaum yang harmoni dan aman, tanpa perlu untuk menjadi ahli Umno, orang-orang Melayu juga telah berjaya menunjukkan kepada dunia bahawa mereka boleh dan mampu untuk bersaing dengan rakan-rakan mereka yang lain secara sihat dan adil demi untuk mencapai kejayaan yang setaraf.

Oleh itu, jawapan yang sebenarnya kita perlu pada hari ini adalah, sebagai rakyat Malaysia yang sejati dan matang dengan perkembangan semasa, kita tidak memerlukan kedua-duanya sekali, iaitu Umno dan Akta Perhubungan Kaum. Kita tidak memerlukan kedua-dua perkara ini kerana kita telah wujud selama lebih 50 tahun secara aman damai, harmoni dan bersatu. Jika Umno sudah tidak wujud lagi, Malaysia masih juga boleh wujud dan terus maju untuk berdaya saing dengan dunia luar.

Hakikat yang perlu kita terima adalah Umno adalah hanya sebuah parti politik yang telah lama uzur dan tidak relevan lagi di zaman sekarang. Di dalam zaman dan kedudukan Malaysia yang ada pada hari ini, kita memerlukan parti-parti politik yang berwawasan tinggi dan dapat menggerakkan jentera pentadbiran negara kita menuju ke suatu era yang baru tanpa perlu mempunyai kata putus mengenai kaum-kaum mana yang perlu diperdahului dan kaum mana yang perlu dibelakangi agar suatu kaum yang lain dapat sempat mengejar kemajuan untuk selari dengan kaum-kaum yang kian maju.

Oleh yang demikian, yang kita perlukan pada hari ini adalah Akta Anti Diskriminasi Kaum untuk memastikan agar kesemua kaum tidak akan dianaktirikan atau didiskriminasi oleh mana-mana kaum atau sesuatu kaum tidak boleh mengagung-agungkan diri mereka dan menganiayai kaum-kaum yang lain dengan agenda-agenda yang berbentuk ketuanan dan kehambaan.

Dengan adanya Akta Anti Diskriminasi Kaum, sistem-sistem pentadbiran, pendidikan, sosial dan kebajikan yang berunsurkan kuota di mana sesuatu kaum diberikan keutamaan perlu dihapuskan dan digantikan dengan satu sistem yang dapat memastikan agar merit atau usaha yang akan menjadi tunggak pencapaian segala-galanya. Penghapusan kuota-kuota berbentuk perkauman adalah juga perlu meliputi kesemua aspek kehidupan harian kita, bagi memastikan tidak ada kaum yang akan dipinggirkan atau dianaktirikan oleh mana-mana pihak. Selain daripada itu, parti-parti politik yang berteraskan sesuatu kaum seperti Umno, MCA, MIC, IPF, MUIP, UPKO, PBB dan sebagainya perlu juga dihapuskan bagi membolehkan intergrasi politik dilaksanakan dengan berkesan.

Dengan adanya Akta Anti Diskriminasi Kaum, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang penuh dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa juga perlu dimansuhkan dengan segera bagi memberi laluan kepada satu agenda ekonomi nasional yang dapat memberikan peluang kepada semua kaum untuk bersaing secara sihat dan adil di dalam arena perniagaan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. Pusat-pusat pengajian tinggi yang berteraskan hanya sesuatu kaum juga perlu dimansuhkan bagi membolehkan kemasukan pelajar-pelajar semua kaum secara adil dan saksama. Pengambilan pegawai-pegawai awam yang mengikut kuota kaum juga perlu dihapuskan sama sekali bagi membolehkan tenaga-tenaga professional dan mahir mengambil bahagian di dalam jentera pentadbiran kerajaan tanpa perlu bimbang dengan kedudukan yang tidak seimbang.

Setahu kita, jiran kita Indonesia telah maju setapak daripada negara kita apabila Majlis Perwakilan Rakyat mereka telah meluluskan rang undang-undang yang mengharamkan segala bentuk diskriminasi kaum di negara tersebut dan menjadi negara terbaru menganggotai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum Bangsa-Bangsa Bersatu. Sayangnya, Malaysia masih enggan menyertai konvensyen tersebut sehingga kini.

Persoalannya, adakah kerajaan BN-Umno yang ada sekarang berani menerima kenyataan dan mengorak langkah sebegini?

Saturday, December 13, 2008

Suruhanjaya Kehakiman masih di bawah cengkaman PM

Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC) yang mana undang-undang tubuhnya dibentangkan di parlimen baru-baru ini masih tidak menampakkan sebarang perubahan yang berkesan bagi membuktikan kepada umum yang bidang kehakiman di negara ini akan bebas daripada pengaruh dan campurtangan cabang eksekutif di negara ini.

Rang undang-undang tubuh JAC yang hangat diperkatakan sehingga pada hari ini, masih mengandungi ciri-ciri dan sistem perlantikan dan pengurusan cara lama di mana perdana menteri masih mempunyai kuasa mutlak di dalam menentukan perlantikan atau pencalonan hakim-hakim serta ahli-ahli yang akan menduduki suruhanjaya tersebut.

Undang undang tubuh JAC sekarang ini setakat ini hanya dapat memperlihatkan penaik taraf badan tersebut ke suruhanjaya dan gagal mempraktikkan kebebasan sepenuhnya daripada kekuasaan kabinet dan perdana menteri.

Jadi apakah dia ketelusan yang sebenarnya seperti yang didakwa oleh perdana menteri sebelum ini ?

Thursday, December 11, 2008

Kenapa polis tahan ahli JERIT?

Yang amat menghairankan adalah kenapa pihak polis baru-baru ini terlalu menumpukan perhatian mereka terhadap kegiatan politik dan ada kala cuba mempolitikkan beberapa isu yang padahal tidak mempunyai kaitan langsung dengan politik?

Kami amat berdukacita di atas penahanan beberapa orang ahli Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) yang telah melangsungkan acara berbasikal mereka bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada umum mengenai pentingnya kebebasan, hak asasi kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan.

Adakah kegiatan JERIT ini satu jenayah besar bagi mereka? Adakah ahli-ahli JERIT ini membawa senjata api dan cuba mengancam para penduduk setempat dengan kegiatan berbasikal mereka? Jawapannya adalah tidak, kerana kesemua kegiatan yang telah dan sedang mereka jalankan ini adalah bertujuan keamanan dan membangkit kesedaran umum terhadap beberapa isu yang berkaitan dengan kemanusiaan dan hak asasi.

Pihak polis patut menyedari bahawa kadar jenayah semakin meningkat dan kegiatan pencegahan jenayah patut dipertingkatkan dengan sepenuhnya dan bukannya menumpukan sepenuh perhatian mereka terhadap kegiatan-kegiatan keamanan serta mempolitikkan isu-isu awam yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan politik.

Jadi, pihak polis perlu menyedari bahawa kegiatan kepolisan mereka di dalam pencegahan jenayah dan memastikan keselamatan orang awam adalah lebih penting daripada hal-ehwal poltik yang cuba digembar-gemburkan dengan sewenang-wenangnya.

Berlakulah secara adil terhadap orang awam, usah terlalu mempolitikkan isu-isu semasa dan janganlah terlalu mengikut telunjuk Umno.

Wednesday, December 10, 2008

Rasuah punca utama tragedi Bukit Antarabangsa

Sepertimana yang telah kita ketahui, setelah berlalunya tragedi tanah runtuh di kawasan perumahan mewah Bukit Antarabangsa pihak-pihak yang berkenaan mula menuding jari di antara satu sama lain sambil menafikan tanggungjawab masing-masing terhadap permasalahan tersebut.

Akibat daripada itu, para penghuni kawasan perumahan tersebut mulai bosan dengan pelbagai karenah yang terpaksa dilalui mereka pada setiap hari. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menterinya langsung tidak memberi sebarang kenyataan ataupun menjanjikan apa-apa tindakan susulan, pihak berkuasa tempatan pula enggan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap terhadap kejadian tersebut.

Ikutilah kisah yang sebenarnya. Projek bungalow yang terbengkalai di atas bukit tersebut sebenarnya telah diluluskan oleh kerajaan negeri BN pimpinan Dr Mohd Khir Toyo beberapa tahun yang lalu dengan beberapa syarat pembinaan yang telah dilonggarkan bagi melancarkan perjalanan projek tersebut. Kenapa kelonggaran tersebut diberikan adalah tidak dapat dipastikan, tetapi apa yang jelas dapat diperlihat dari sudut mata umum adalah gejala rasuah adalah amat berleluasa pada zaman pemerintahan Umno dan Dr Mohd Khir Toyo yang lalu, di mana projek-projek pembangunan yang tidak terkawal kebanyakannya telah diberikan kepada beberapa syarikat pemaju yang mempunyai kaitan yang rapat dengan beberapa orang ketua-ketua bahagian Umno dan itu adalah hakikatnya.

Sebab itulah para pemimpin Umno Selangor dan Dr Mohd Khir Toyo tidak dapat memberikan ulasan mereka mengenai kejadian tersebut dan begitu juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang kini diterajui oleh seorang pemimpin dari MCA, sekutu rapat Umno di dalam Barisan Nasional. Menteri tersebut seolah-olah telah menghilangkan diri pada hari kejadian tersebut.

Malah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab terhadap kawasan tersebut juga enggan mengambil inisiatif atau bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut yang telah menyebabkan beberapa kematian dan kecederaan. Malah adalah disyaki juga masih terdapat ramai anasir-anasir Umno yang masih mempengaruhi urusan harian PBT tersebut.

Akibat daripada itu, para penghuni dan mangsa dari kawasan perumahan tersebut kini tersepit dan tidak mendapat bantuan yang sepenuhnya dan kini beberapa kumpulan penduduk telah mula berkumpul untuk mengambil tindakan seterusnya terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Kini Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pula terpaksa menanggung segala masalah tersebut akibat daripada perbuatan kerajaan negeri yang lalu yang dipimpin oleh Dr Mohd Khir Toyo. Oleh itu, Menteri Besar sekarang Tan Sri Khalid Ibrahim perlu bertindak dengan segera dengan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Jangan dilepaskan para pembunuh Umno ini yang telah sekian lama berlaku kejam terhadap rakyat di negeri Selangor.

Friday, December 5, 2008

Selamat Harijadi Guan Eng

Saya ingin mengucapkan Selamat Harijadi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha-Agung DAP, Lim Guan Eng dan semoga beliau senantiasa di dalam keadaan sihat, sejahtera dan terus berazam kuat untuk berjuang mengukuhkan parti dan kerajaan negeri Pulau Pinang serta menegakkan keadilan, keamanan, kebebasan, kesaksamaan dan mengembangkan demokrasi sosial di negara ini.

Selamat Harijadi Guan Eng !

Pemecatan Zaid Ibrahim

Berikutan pemecatan bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim oleh Majlis Tertinggi Umno yang dikuasai penuh oleh golongan konservatif di dalam parti itu, para pemimpin Pakatan Rakyat telah memulakan inisiatif untuk mendapatkan kemasukan beliau oleh kerana kedudukan beliau yang begitu penting di dalam menggerakkan usaha pembaharuan di negara ini.

Namun demikian, di dalam sidang akhbar baru-baru ini, Datuk Zaid telah mengambil keputusan tidak akan menyertai mana-mana parti pembangkang buat sementara waktu atas alasan ingin menumpukan perhatiannya terhadap pembentukan sebuah yayasan yang memperjuangkan kepentingan demokrasi. Walaubagaimanapun, menurutnya, beliau akan terus menghadiri forum-forum anjuran parti-parti pembangkang atau NGO sekiranya dijemput untuk berbuat demikian.

Wednesday, December 3, 2008

Harga petrol turun 10 sen, bagaimana dengan yang lain?

Kerajaan telah mengumumkan bahawa harga petrol telah turun lagi pada hari ini daripada RM2.00 ke RM1.90 kurang 10 sen lagi. Dan ini telah membantu meringankan beban kebanyakan daripada kita yang memiliki kenderaan untuk pergi balik bekerja dan berurusniaga pada setiap hari.

Akan tetapi, bagaimana pula dengan harga bahan bakar serta keperluan asas yang lain yang telah naik mendadak sejak kenaikan harga petrol yang lalu, khususnya gas masak dan makanan? Dengan penurunan harga petrol sekarang, kerajaan sepatutnya turut menetapkan penurunan harga gas masak bagi membantu meringankan bebanan para peniaga dan pengusaha gerai makanan.

Jadi, kenapa kerajaan tidak mengusahakan penurunan dan kawalan harga ke atas bahan-bahan bakar serta barangan yang lain? Kenapa harga-harga barangan keperluan asas dan harian masih tinggi dan rakyat masih merasai bebanan ketinggian harga tersebut walaupun harga petrol telah pun berkali-kali dikurangkan kadarnya?

Dengan keuntungan Petronas yang berlipat ganda pada setiap tahun, di manakah ianya telah disalurkan dan kenapa rakyat kita tidak dapat menikmati hasil keuntungan tersebut secara bersama? Kenapa kerajaan dan Petronas masih merahsiakan transaksi dan pemindahan keuntungan tersebut ke sektor-sektor lain khususnya syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang rugi teruk akibat daripada kelemahan pengurusan wakil-wakil kerajaan itu sendiri?

Rakyat kita masih tidak mendapat ketelusan mengenai bagaimana wang umum (public fund) tersebut dibelanjakan.

Mukhriz cadang penutupan sekolah Cina dan Tamil

Bagi meraih undi dan sokongan bagi pencalonannya untuk bertanding jawatan ketua pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir telah menyarankan agar sekolah-sekolah Cina dan Tamil ditutup sebagai langkah untuk menjayakan perpaduan antara kaum di negara ini.

Cadangan beliau itu telah mendapat tentangan yang meluas daripada parti-parti komponen daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, malah ada pihak yang menyeru agar beliau didakwa di bawah Akta Hasutan berikutan dengan kenyataan beliau itu.

Kenyataan Datuk Mukhriz adalah keterlaluan dan telah menunjukkan bahawa beliau tidak sensitif dengan agenda tersebut yang boleh membangkit kemarahan kaum-kaum yang tertentu, malah boleh memecah belahkan perpaduan masyarakat kita.

Sekiranya Mukhriz ingin membicarakan isu-isu perpaduan, beliau seharusnya melihat kembali sejarah bagaimana negara kita mula diperintah oleh Umno sejak 50 tahun yang lalu. Jika Umno tidak menggunakan kaedah pecah dan perintah pada zaman pra-kemerdekaan di waktu itu, sudah pasti kita akan mempunyai hanya satu bangsa sahaja pada hari ini, iaitu Bangsa Malaysia.

Oleh yang demikian, jikalau Mukhriz dan Umno benar-benar ikhlas mengenai perpaduan antara kaum pada hari ini, bubarkanlah Umno! Tidak kurang daripada itu, parti-parti perkauman yang lain juga perlu dibubarkan dengan sepenuhnya. Pelbagai undang-undang atau enakmen yang menekankan monopoli satu kaum juga perlu dimansuhkan bagi member laluan kepada satu konsep baru yang saksama dan adil.

Persoalannya ialah, bolehkah Mukhriz dan Umno dapat berbuat demikian? Jawapannya sudah tentu tidak, kerana sekiranya ianya dilaksanakan, para pemimpin Umno akan kehilangan hak-hak keistimewaan mereka sekaligus. Mereka akan kehilangan mata pencarian mereka kerana tender kontrak-kontrak akan diperluaskan kepada semua kaum.

Jadi, Mukhriz tidak sepatutnya memberikan kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini. Lihat pada cermin muka beliau sendiri terlebih dahulu.

Tuesday, November 25, 2008

Ini tak boleh, itu tak boleh, semua tak boleh, apa yang boleh sebenarnya?

Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataannya untuk mengharamkan aktiviti Yoga di kalangan masyarakat Islam atas alasan aktiviti tersebut mempunyai unsur-unsur keagamaan Hindu yang boleh melemahkan keimanan orang-orang Islam yang mengamalkan senaman tersebut.

Apa yang difahamkan adalah aktiviti senaman Yoga ini adalah berlandaskan cirri-ciri yang membantu tiap-tiap pengamal tersebut di dalam mempertingkatkan mutu kesihatan seseorang tanpa mewajibkan seseorang itu mengamalkan apa-apa upacara keagamaan Hindu sepertimana yang didakwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Yang sendang diamalkan oleh kebanyakan pusat-pusat senaman Yoga di seluruh Negara adalah hanya menekankan kepentingan penjagaan kesihatan badan melalui senaman berbentuk pernafasan yang terperinci dan terkawal tanpa perlu melalui sebarang upacara keagamaan Hindu. Senaman Yoga yang di praktikkan sekarang adalah amat sekular dan langsung tidak menyentuh pengaruh ugama Hindu. Para pengamal senaman Yoga ini juga tidak pernah diarah untuk melafazkan ayat-ayat suci agama Hindu ataupun mengamalkan amalan sembayang Hindu sewaktu menjalani senaman tersebut.

Jadi apakah tujuan sebenarnya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa tersebut? Adakah pernah terjadi mana-mana orang Islam yang telah memeluk agama Hindu setelah menjalani aktiviti senaman Yoga? Jika ada, bila ianya berlaku, sekiranya Majlis Fatwa Kebangsaan dapat membuktikannya.

Kami amat sedih dan berdukacita kerana rakan-rakan Islam yang sebaya dengan kami terpaksa melalui penderitaan sebegini dengan pelbagai sekatan atas nama agama dikenakan ke atas mereka. Ini adalah tidak wajar dan tidak adil jika dipandang dari segi kemanusiaan sejagat.

Salahkah sekiranya seseorang itu ingin menjalani senaman yang boleh menyihatkan badan mereka, membantu melepaskan tekanan mereka dan sebagainya? Satu lagi bentuk senaman Qi Qong yang berlatar belakangkan ugama Taoisme dan Buddhisme, tetapi amalanya juga adalah sekular di kebanyakan pusat-pusat tersebut. Adalah Majlis Fatwa Kebangsaan akan juga mengharamkan Qi Qong setelah lebih ramai orang Islam beralih ke jenis senaman tersebut selepas Yoga diharamkan?

Apa yang Majlis Fatwa Kebangsaan ketakutan? Baiklah jika Yoga tidak boleh diamalkan, jadi amalkan lah Yogi sebagai jalan alternatif.

Satu lagi kebimbangan, mungkinkan seni mempertahankan diri Karate, Judo, Wushu atau Silambam akan diharamkan pada suatu hari nanti dan hanya seni Silat dibenarkan? Kita tunggu dan lihat.

Sunday, November 23, 2008

Lagi ancaman perkauman Umno di Kedah

Lihat apa yang telah dan sedang berlaku di negeri Kedah baru-baru ini. Apakah tujuan sebenar Umno dan pergerakan pemudanya di dalam meneruskan agenda-agenda ala-Nazi perkauman mereka.

Perbuatan mereka yang sering menggalakkan kebencian dan perpecahan kaum adalah merbahaya dan perlu dibendung dengan segera.

Jika Umno dibenarkan untuk terus berada di bumi ini maka perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini tidak akan tercapai dengan sepenuhnya. Agenda-agenda politik Umno yang sering berlandaskan kebencian, kafir-mengkafir serta ketuanan ke atas kaum-kaum yang lain dan mempergunakan serta memutarbelitkan masyarakat Melayu untuk mencapai tujuan politik mereka ini adalah dianggap berbahaya dan boleh memudaratkan keselamatan negara kita.

Oleh yang demikian, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri itu tidak digugat oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, khususnya Umno dengan ideologi mereka yang kusut dan tidak bertamadun.

Di antara Melayu dan Umno

Apa yang kita ketahui pada hari ini, Umno sejak kebelakangan ini asyik mengaitkan rumpun dan bangsa Melayu dengan partinya dan sering menyatakan bahawa sekiranya tidak ada Umno, maka rumpun dan bangsa Melayu tidak akan berada di negara ini.

Tujuannya Umno mengatakan demikian adalah untuk memastikan agar Umno terus wujud dan relevan di negara ini dan hanya dengan adanya Umno maka rumpun dan bangsa Melayu akan terus wujud. Kewujudan kenyataan ini untuk menakut-nakutkan rumpun dan bangsa Melayu demi mencapai tujuan politik mereka sendiri ini adalah keterlaluan dan boleh memudaratkan keselamatan di dalam negara kita ini sekiranya ianya tidak dibendung dengan sewajarnya.

Sebenarnya rumpun dan bangsa Melayu, seperti juga rumpun dan banga yang lain telah pun wujud di dunia ini sejak berkurun abad yang lalu di mana pada masa itu Umno tidak pun wujud.

Oleh itu, Umno tidak berhak mengatakan bahawa rumpun dan bangsa Melayu itu adalah milik ataupun haknya. Umno tidak berhak langsung untuk memiliki rumpun dan bangsa Melayu kerana masyarakat Melayu itu, sepertimana masyarakat yang lain wujud dengan identitinya dan tradisinya yang tersendiri dan bukannya dicipta atau diwujudkan oleh Umno.

Umno sebenarnya adalah merupakan sebuah pertubuhan politik yang biasa, seperti mana-mana parti politik lain yang terdapat di negara ini dan serata dunia. Umno sebenarnya hanya sebuah pertubuhan yang ingin mewakili sesuatu masyarakat seperti MCA dan MIC yang cuba mewakili masyarakat Cina dan India.

Jadi, untuk mencapai tujuan tersebut, Umno perlu menunjukkan kepada masyarakat Melayu bahawa mereka masih relevan dan boleh membantu kaum tersebut untuk mara ke hadapan untuk menghadapi arus pembangunan di dunia ini. Adalah salah dari segi tamadun dan kemanusiaan untuk mengatakan bahawa masyarakat Melayu dimiliko oleh Umno dan jika tidak ada Umno, maka masyarakat Melayu pun tidak ada. Kenyataan sebegini adalah tidak betul sama sekali dan langsung tidak masuk akal.

Terdapat ramai orang-orang Melayu di negara ini dan di rantau-rantau yang lain yang tidak mengenali apa itu Umno dan langsung tidak menjadi ahli Umno. Yang ramai di antara orang-orang Melayu ketahui pada hari ini adalah hanya kewujudan keSultanan Melayu yang berkekalan berkurun lamanya dan simbol keSultanan Melayu yang mempertahankan rumpun dan bangsa Melayu adalah tidak dapat dinafikan.

Jadi, Umno juga tidak berhak mengantikan peranan Raja-Raja Melayu dengan politiknya sewenang-wenangnya. Jika Umno ingin berada di atas Raja-Raja Melayu, itulah disebut derhaka sebenarnya, kerana tujuan dan agenda politik ketuanan mereka yang telah melampaui batas dan cuba mengetepikan Raja-Raja Melayu.

Oleh yang demikian, masyarakat kita yang berbilang kaum, khususnya orang-orang Melayu perlu memahami dengan lebih mendalam dan perbezaan di antara rumpun Melayu dan parti Umno. Perlu diingatkan bahawa Orang-orang Melayu bukanlah Umno dan Umno bukanlah Melayu. Umno hanya sebuah pertubuhan politik yang biasa. Orang-orang Melayu semuanya adalah tuannya sendiri dan berhak untuk memilih dan memasuki mana-mana parti politik yang difikirkan bersesuaian dengan kehendak dan fahamannya.

Saturday, November 22, 2008

Ali Rustam gilakan Shah Rukh Khan

Kegilaan Ketua Menteri Melaka dan Naib-Presiden Umno Datuk Ali Rustam sehingga ingin menganugerahkan gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan ternyata telah memalukan dirinya dan kerajaan negeri Melaka sendiri.

Wakil Shah Rukh Khan telah memaklumkan kepada Ali Rustam bahawa beliau tidak dapat menerima gelaran tersebut kerana kesibukan beliau di dalam siri perfileman di Bollywood. Ternyata Ali Rustam dan kerajaan negeri Melaka sekali lagi merayu agar Shah Rukh Khan segera datang ke Melaka untuk menerima anugerah Datuk tersebut.

Akan tetapi, masih tidak ada maklum balas daripada Shah Rukh Khan mengenai permintaan Ali Rustam untuk menyegerakan penganugerahan tersebut. Mungkinkah Shah Rukh Khan sememangnya telah mengetahui bahawa Ali Rustam adalah Naib-Presiden Umno, parti yang mendominasi BN dan terkenal dengan ideologi ketuanannya terhadap kaum-kaum yang lain serta peminggiran masyarakat India di negara ini oleh Umno serta pengharaman Hindraf oleh Umno baru-baru ini?

Penangguhan tersebut jelas telah memalukan Ali Rustam. Keinginan beliau untuk bergambar dengan Shah Rukh Khan mungkin akan hanya menjadi khayalan semata-mata. Apakah aksinya yang seterus?

Monday, November 17, 2008

Hubungan erat mat rempit dengan Putera Umno

Sebagaimana yang telah kita ketahui, sejak dari dahulu lagi, kepimpinan Putera Umno sering mendampingi kumpulan-kumpulan mat rempit yang sering berlumba haram dan bermaharajalela di jalanraya di seluruh Negara dengan alasan ingin mengubah corak hidup mereka dan mengembalikan mereka ke pangkuan masyarakat.

Akan tetapi adalah amat mendukacita apabila mendapati kepimpinan Putera Umno ini sebenarnya telah mempergunakan kumpulan mat rempit tersebut bagi tujuan politik mereka, dengan menugaskan mereka untuk menjalani kegiatan-kegiatan gangguan dan ancaman ke atas ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti Pakatan Rakyat khususnya.

Sebagai balasan atau membalas budi, Putera Umno telah menaja dan membawa kumpulan-kumpulan mat rempit tersebut melancong dan bercuti ke luar negeri sebagai suatu aktiviti penggalak bagi “memulakan hidup baru”. Setelah mereka kembali ke tanahair, adakah kumpulan-kumpulan mat rempit ini telah benar-benar bertaubat dan meninggalkan kegiatan-kegiatan mereka yang melanggari undang-undang? Adalah budak-budak bermotosikal ini telah benar-benar insaf dan ingin kembali ke pangkuan keluarga mereka dan masyarakat?

Yang kita fahami, sekembalinya kumpulan-kumpulan mat rempit ini daripada “kursus pemulihan” di luar Negara, mereka ini telah menjadi semakin berani, ganas dan ghairah di dalam memastikan kewujudan mereka akan bekekalan di jalanraya. Pelbagai kejadian jenayah serius seperti kes ragut, rompak, samun dan tidak kurang pula bunuh dilapor telah dilakukan oleh golongan mat rempit ini.

Malah di dalam pilihan raya umum yang lalu, golongan tersebut sering digunakan oleh parti memerintah untuk mengasari ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat yang sedang menjalankan kempen mereka dengan bersungguh-sungguh.

Tidak kurang daripada itu, golongan mat rempit ini juga telah diupah dan diarah untuk membuat kacau dan menghuru-harakan keadaan sewaktu pilihanraya kecil di kawasan Parlimen Permatang Pauh. Mereka dibayar dengan begitu lumayan sehingga ada di antara mat rempit tersebut sanggup bertindak kejam dan membahayakan keselamatan penduduk di kawasan tersebut. Apabila mereka mereka ditahan dan disoal siasat oleh polis, mereka ini akan menunjukkan kad keahlian Putera Umno mereka agar dibebaskan.

Kumpulan-kumpulan mat rempit ini yang sering digunakan sebagai “pasukan pengempur” oleh Putera Umno dan kepimpinan parti tersebut telah menjadi semakin liar dan bertindak diluar kawalan dengan kegiatan jenayah seperti mencuri, meragut, merompak adakala yang telah menyebabkan kematian mangsa.

Cara yang digunakan untuk menakut-nakutkan atau memberikan satu keadaan yang menakutkan kepada masyarakat dan akar-umbi yang telah mengundi Pakatan Rakyat jelas menunjukkan bahawa Umno beriktiar untuk membalas dendam terhadap kekalahan mereka di dalam pilihanraya umum yang lalu. Umno masih enggan insaf dengan segala bentuk kesalahan mereka. Umno masih dengan sifat dan gaya kepimpinan mereka yang lebih menonjolkan sifat-sifat yang ekstremis, ganas dan mengagung-agungkan konsep ketuanan mereka meninggikan darjat dan kedudukan mereka daripada masyarakat lain.

Dan Umno yang ada pada hari ini akan musnah dijilat apinya sendiri di suatu hari nanti, kerana ketuanan mereka yang keterlaluan secara sendirinya telah menolak semangat perpaduan yang sangat dititik-beratkan oleh Pakatan Rakyat.

Gaya dan kepimpinan ala Nazi sebegini yang ditonjol oleh Umno adalah merbahaya dan harus ditolak sekaligus bagi menjamin perpaduan antara kaum di negara ini berkekalan.

Friday, November 14, 2008

Kerjasama Umno-PDRM erat

Sebagaimana yant telah kita tahu, parti dominan di dalam Barisan Nasional (BN) iaitu Umno telah berjaya mengeratkan hubungan mereka dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di dalam usaha menyekat pengaruh politik Pakatan Rakyat yang semakin popular di masa kini.

Ini terbukti dengan penahanan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok yang lalu berhubung dengan tuduhan oleh Ketua Perhubungan Umno Selangor Dr Mohd Khir Toyo mengenai isu laungan azan di mana Teresa langsung tidak mengetahui apa yang telah berlaku sebelum ini dan kini penahanan seorang lagi Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu berhubung dengan kes serbuan oleh pegawai majlis perbandaran di negeri itu pada tahun 2007 yang lalu.

Awal daripada itu, pihak Umno juga dipercayai terlibat di dalam konspirasi yang membabitkan penahanan beberapa orang Exco Kerajaan Negeri Perak yang mengaitkan mereka dengan satu projek perumahan negeri Perak yang belum pernah wujud, tetapi entah di manakah asas pihak polis dan BPR di dalam membuat keputusan di dalam penahanan tersebut. Menurut sumber tertentu pihak polis dipercayai telah memberikan beberapa maklumat yang kurang tepat kepada BPR untuk bertindak terhadap beberapa orang Exco Kerajaan Negeri Perak tersebut.

Ada pula sumber lain yang mengatakan bahawa pihak polis di Perak telah memperolehi maklumat tersebut daripada Umno sebelum iainya diserahkan kepada BPR untuk diambil tindakan.

Sedangkan pihak polis sibuk dengan kerjasama erat mereka dengan Umno, mereka telah lupa tanggungjawab penuh mereka kepada masyarakat, sebaliknya telah lebih bertumpu kepada kerja-kerja politik mereka di dalam membantu Umno mengatasi pengaruh parti-parti Pakatan Rakyat.

Malah demi Umno, PDRM sanggup menggunakan kekerasan terhadap orang awam dan tokoh-tokoh politik yang tidak seiring dengan BN-Umno. Ahli Parlimen PJ Utara Tony Pua dan ADUN Kampung Tunku Lau Weng Sang turut dibelasah oleh polis sewaktu mengetuai aktiviti keamanan mereka di sebuah pusat sivik. Beberapa orang yang menyertai aktiviti keamanan tersebut juga telah dibelasah dengan teruk sehingga menyebabkan kecederaan di badan.

Apakah PDRM kini sedang dipengaruhi oleh Umno dan akan dipelopori oleh Umno sepenuhnya pada masa yang akan datang? Adakah kredibiliti PDRM masih boleh dipercayai? Sudahlah dengan penghapusan cadangan IPCMC oleh Umno dan sekarang PDRM bolehlah bertindak sesuka hati mereka ...

Polis Umno kononnya !

Wednesday, November 12, 2008

Umno Bahagian Seremban medan tinju ! Sifat diri terbocor

Baru-baru ini, mesyuarat agung perwakilan Umno Bahagian Seremban telah menjadi medan tinju dengan pelbagai aksi membaling kerusi meja, tumbuk-menumbuk serta caci-mencaci di antara satu sama lain yang menyebabkan mesyuarat agung bahagian tersebut terpaksa ditunda ke tarikh yang bakal diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti tersebut kelak.

Wah, ganasnya ahli-ahli Umno ini. Sekiranya ahli-ahli Umno yang gemar bertindak ganas sesame umat manusia, apatah lagi dengan para pemimpin Umno yang berada di atas. Apakah mereka yang berada di atas ini bersifat lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan. Hakikatnya, kesemua bentuk tingkahlaku dan sifat mereka yang bongkak, sombong, angkuh telahpun dipertonjolkan oleh mereka sendiri secara sukarela dan bukannya daripada hasil percakapan orang-orang luar.

Kita lihat daripada sedutan menjulang keris, mengancam pertumpahan darah sewaktu perhimpunan agung mereka, ancaman untuk membakar dewan perhimpunan sebuah masyarakat sehingga lah kepada sifat-sifat mereka yang gemar membangkitkan kemarahan kaum-kaum yang lain dengan adegan-adegan ganas benci-membenci dan ekstermisme mereka yang keterlaluan yang jelas telah menakutkan bakal-bakal pelabur asing ke negara ini serta menggugat keharmonian hidup kita.

Nampaknya, sejak pilihanraya umum yang lalu, Umno didapati semakin menuju ke arah jalan yang lebih ekstremis, konservatif dan ganas. Umno telah semakin menuju ke arah yang tidak bertamadun dengan lebih menonjolkan diri mereka sebagai satu kumpulan yang senantiasa bersedia untuk menyerang sesiapa sahaja yang cuba membangkitkan isu-isu pembaharuan atau cubaan untuk mengeratkan semangat Bangsa Malaysia. Bagi Umno, Bangsa Malaysia akan menghapuskan hak keistimewaan mereka untuk menjadi lebih kaya, menjadi monopoli di dalam semua jenis perniagaan, kontrak, tender tertutup dan sebagainya. Para pemimpin Umno ini langsung tidak berminat untuk melihat kaum bumiputra maju seiring dengan kaum-kaum yang lain.

Jika sekiranya Umno benar-benar ikhlas untuk memajukan masyarakat bumiputra di negara ini, sudah lama kadar kemiskinan masyarakat tersebut menurun, tetapi ianya semakin naik mendadak dan kadar pemilikan ekuiti bumiputra di dalam sektor perniagaan masih gagal dicapai dengan sepenuhnya. Ini terbukti bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dipelopori Umno sebelum ini telah gagal sejak daripada peringkat permulaan lagi, kerana agenda-agenda utama DEB telah disalahgunakan oleh golongan elit di dalam Umno ini bagi mempertingkatkan kekayaan mereka secara mendadak, sementara rakyat bumiputra di bawahnya dibiarkan hidup melarat dengan bantuan yant terhad.

Jadi, adakah Umno ini benar-benar berjuang membela nasib bangsa dan keturunan mereka? Dengan mencipta beberapa jutawan bumiputra hasil daripada projek pengswastaan beberapa badan-badan berkanun kerajaan? Bagaimana pula dengan nasib mereka-mereka yang bukan daripada kalangan bangsawan Umno? Adakah nasib mereka dibela dengan sewajarnya?

Monday, November 10, 2008

Pengundi Hantu

Ketika pilihanraya umum yang lalu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) beserta dengan Umno dan Barisan Nasional seringkali menafikan kewujudan pengundi hantu yang diwujudkan oleh mereka bagi memperolehi menambah undi di sesuatu kawasan yang tertentu.

Tetapi pada hari ini, ketika mesyuarat agung pemilihan di dalam Umno pada peringkat cawangan dan bahagian, kewujudan pengundi hantu di dalam parti mereka memang tidak dapat dinafikan. Ini adalah kerana para pemimpin Umno peringkat cawangan dan bahagian sendiri telah mengakui bahawa pengundi hantu sememangnya wujud di cawangan dan bahagian mereka setiap kali mesyuarat agung pemilihan parti bermula.

Kewujudan pengundi hantu di dalam Umno ini adalah bertujuan untuk membantu para pemimpin tertinggi Umno yang tertentu dalam menguasai bahagian-bahagian bagi menghasilkan pencalonan yang mencukupi untuk melayakkan mereka bertanding kerusi di dalam majlis tertinggi parti.

Dengan kewujudan pengundi hantu di dalam Umno ini yang semakin berleluasa, para pemimpin Umno tempatan dan peringkat akar-umbi yang semakin merasa bahangnya atau tidak tahan dianiayai dengan kekalahan demi kekalahan telah secara terbuka mengakui bahawa gejala tidak sihat ini sememangnya tidak dapat dinafikan kewujudannya.

Malah sesetengah pemimpin bahagian atau cawangan yang kalah di dalam pemilihan mereka telah membawa perkara atau mengadu kepada jawatankuasa disiplin Umno peringkat kebangsaan untuk diadili. Setakat ini jawatankuasa disiplin Umno telah menerima lebih daripada 600 aduan sedemikian dan hanya sebilangan kecil sahaja aduan atau dakwaan tersebut dapat diadili. Yang selebihnya tidak dapat dilaksanakan tindakan oleh kerana untuk member laluan kepada para pemimpin tertinggi yang tertentu.

Jadi, aduan demi aduan oleh ahli-ahli Umno yang tidak berpuashati dengan gejala tersebut berterusan sehinggalah pada perhimpunan agung parti yang akan datang pada bulan Mac tahun hadapan.

Apabila pilihanraya umum diadakan Umno dan Barisan Nasional (BN) membawa pengundi hantu dari kawasan ke kawasan tertentu bagi tujuan menambah jumlah undi, pihak SPR menafikan sekeras-kerasnya dengan mengatakan “hantu” tidak boleh mengundi pada hakikatnya. Akan tetapi, apabila mesyuarat agung pemilihan Umno diadakan dan para pemimpin Umno membawa pengundi hantu dari negeri lain masuk ke negeri yang lagi satu bagi membantu mereka menguasai bahagian-bahagian Umno yang tertentu, ahli-ahli Umno mengakui secara terbuka bahawa pengundi-pengundi hantu memang wujud di dalam parti mereka.

Maknanya, “hantu” memang wujud di dalam Umno secara beramai-ramai untuk mengundi bagi pihak pemimpin-pemimpin tertinggi Umno yang tertentu. “Hantu” yang wujud di dalam Umno ini adalah kerana kegiatan politik wang yang berleluasa yang telah tidak dapat dikawal lagi.

Pada definasi politik yang sebenarnya, pengundi hantu memang wujud di dalam Umno oleh kerana politik wang berleluasa di dalam parti tersebut. Oleh itu, Umno tidak boleh menafikan bahawa “barah” yang terdapat di dalam parti mereka ini telah hilang kawalan dan tidak dapat diubati lagi.

Jadi kenapa SPR berkali-kali menafikan definasi ini sedangkan Umno sendiri telah mengakuinya?

Thursday, November 6, 2008

Pak Lah : Sesiapa pun boleh jadi PM

Mengulas mengenai kemenangan Barrack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang pertama daripada kalangan minoriti kulit hitam, Pak Lah mengatakan bahawa Malaysia pun boleh mengikut jejak sedemikian dengan mengatakan sesiapa pun daripada kalangan minoriti kita boleh menjadi perdana menteri.

Betul kah? Atau Pak Lah hanya mengulas semata-mata ingin mengatakan sesuatu? Beberapa bulan lagi Pak Lah akan meninggalkan Putrajaya dan Datuk Seri Najib pula akan menduduki kerusi PM. Maka selepas itu, apa kata Najib pula?

Mungkin kah Najib akan mengunci kerusi PM itu dalam tangan Umno dengan meminda perlembagaan ataupun merangka satu rang undang-undang yang akan menetapkan PM akan hanya boleh dijawat oleh orang-orang Umno atau kaum Melayu sahaja? Kenyataan ini kemudian mungkin akan menjadi "sesiapa pun di dalam Umno boleh menjadi PM" dengan satu putaran.

Kita lihat IPCMC yang menjadi impian Pak Lah hanya tinggal impian selama-lamanya. Nak menghapuskan rasuah, gejala ini tetap berleluasa di seluruh pelusuk jentera kerajaan dan parti ketuanan iaitu Umno.

Jadi apakah impian Pak Lah seterusnya. Boleh kah kenyataan beliau dan Umno dipercayai lagi?

Saturday, November 1, 2008

Zaid letak jawatan Ahli Dewan Negara

Bekas menteri di jabatan perdana menteri Datuk Zaid Ibrahim telah mengumumkan perletakan jawatannya sebagai ahli Dewan Negara (Senator) berkuatkuasa serta merta.

Menurut beliau, perletakan jawatannya adalah kerana beliau tidak lagi menjadi anggota kabinet persekutuan dan adalah wajar beliau berbuat demikian.

Datuk Zaid yang lantang mengkritik kerajaan dan partinya, Umno setelah meletakan jawatannya kerana cadangan pembaharuan kehakiman dan perhubungan kaumnya tidak direstui oleh kebanyakan pemimpin konservatif di dalam Umno.

Friday, October 31, 2008

Konvensyen DAP Pulau Pinang

Buat pertama kali setelah diberi mandat untuk menjadi kerajaan negeri, DAP Pulau Pinang akan mengadakan Konvensyen tahunannya pada 2hb November ini di Tanjung Bungah Beach Hotel pada jam 10.30 pagi.

Ketua Menteri dan Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng dijangka akan hadir untuk merasmikan konvensyen parti. Turut akan menghadiri konvensyen tersebut adalah beberapa tokoh parti terkemuka, seperti Penasihat Parti Lim Kit Siang, Pengerusi Karpal Singh, Naib Pengerusi Tunku Abdul Aziz Ibrahim, tokoh veteran parti Dr Chen Man Hin, Exco kerajaan negeri Selangor Teresa Kok, Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan Ketua Pemuda Sosialis DAP Ngah Kor Ming.

Dengan kehadiran beberapa pemimpin DAP pusat ini, ia dijangka menarik ramai perwakilan pemerhati ke konvensyen tersebut.

Mahkamah bebaskan Razak Baginda : Kes ini telah kehilangan punca sebenarnya

Abdul Razak Baginda bebas dari tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, kerajaan Mongolia pula melahirkan rasa tidak puashati mereka, begitu juga dengan keluarga Altantuya yang semamangnya berharap agar keadilan dapat diketengahkan.

Jadi, sekarang hanya tinggal dua orang anggota polis UTK Azilah dan Sirul yang terpaksa menanggung segala tuduhan tersebut. Hakikatnya adalah kedua-dua anggota polis UTK itu sememangnya telah menerima arahan untuk membunuh. Persoalannya adalah siapa?

Tetapi yang pasti, ramai di antara kita telah mengetahui siapakah dalang sebenarnya di dalam kes ini dan pelbagai usaha demi usaha telah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa di Putrajaya sebelum ini agar penyiasatan dan pertuduhan kes tersebut tidak menyentuh beberapa orang "pemimpin" yang sering diperkatakan oleh kita.

Pelbagai bukti demi bukti yang cuba dipertunjukan, namun dielak dan ditutupi dengan sewenang-wenangnya demi mempertahankan si yang berkuasa itu. Kedua-dua anggota polis UTK itu yang kini terpaksa berdepan dengan tuduhan pembunuhan tersebut mungkin terpaksa menanggung segala kesalahan tersebut sebagai "pembunuh" yang sebenar, kononnya, sementara "pembunuh yang asal" itu masih bebas di luar sana dan kemungkinan akan memegang tampuk kuasa di masa yang akan datang.

Azilah dan Sirul akan dikorbankan dengan begitu sahaja, atau mungkin kedua-dua mereka ini telah merelakan diri mereka dikorbankan setelah keluarga masing-masing kemungkinan telah dijanjikan dengan pampasan yang lumayan yang mustahil ditolak.

Apakah episod yang seterusnya di dalam kes ini. Di manakah keadilan yang sebenarnya di dalam kes ini? Kita hanya akan dapat tunggu dan lihat.

Malaysiakini : Ketuanan Melayu gagal, kata Zaid

Model Ketuanan Melayu telah gagal dan mengakibatkan pembaziran sumber, tenaga dan masa, kata bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zahid Ibrahim.

Berucap di persidangan LawAsia 2008 di ibunegara hari ini, bekas ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ia juga telah dipesongkan daripada isu sebenar yang dihadapi negara.

Zaid turut mengkritik dasar yang berasaskan kaum walaupun beliau ahli parti pemeritah - Umno - parti terbesar orang Melayu.Beliau turut menyentuh cadangan naib presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang perlunya diadakan forum tertutup antara pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk mencapai pendirian bersama dan memperbaharui kesepakatan berasaskan kepada kontrak sosial.

"Ini merupakan satu langkah positif tetapi ia harus merangkumi semua pemimpin politik dan berpremiskan kontrak sosial yang menjadi asas kemerdekaan," kata beliau yang sebelum ini menyertai kabinet selepas pilihanraya umum 8 Mac, dengan tugas untuk membawa pembaharuan dalam bidang kehakiman.

Beliau bagaimanapun meletak jawatan bulan lalu sebagai membantah penahanan tiga individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara.Zaid turut menekankan pentingnya ditingkatkan perbincangan dan dialog supaya rakyat dapat bersuara dan mendengar antara satu sama lain.

Beliau juga turut menegaskan perlunya diwujudkan semula komunikasi dan rasa percaya-mempercayai antara rakyat negara ini.

Thursday, October 30, 2008

Kakitangan PKNS bantah Puan Loh sebagai pengurus besar

Adalah amat dukacita serta menyedihkan bahawa sehingga ke hari ini, walaupun Malaysia telah 51 tahun mencapai kemerdekaan dan perpaduan antara kaum telah mencapai suatu tahap yang membanggakan, namum masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang bencikan keamanan dan ingin melihat perpecahan kaum berlaku.

Setelah Mentri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan perlantikan Puan Loh Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), segelintir kakitangan perbadanan tersebut telah mengemukakan bantahan mereka terhadap perlantikan Puan Loh atas alasan beliau bukan berketurunan Melayu dan bukan Islam.

Apakah jenis alasan ini sebenarnya? Kenapa pula mereka membangkitkan soal perkauman dan agama sedangkan PKNS adalah merupakan sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan ekonomi dan sektor perindustrian di negeri itu. PKNS bukannya sebuah badan kerajaan yang mentadbir hal-ehwal keagamaan dan adat istiadat negeri.

Kakitangan PKNS yang membantah perlantikan Puan Loh harus menyedari bahawa kesalahan mereka adalah amat serius dan boleh dianggap memberontak terhadap kerajaan negeri. Apakah salahnya seseorang rakyat Malaysia yang berketurunan Cina diberi peluang untuk menjawat jawatan tinggi di dalam kerajaan? Malah Puan Loh adalah merupakan muka lama yang telah berpuluh tahun berkhidmat di dalam PKNS dan berdasarkan pengalamannya serta rekod prestasinya yang memberangsangkan, beliau harus diberi peluang untuk menerajui PKNS.

Kenapa pengalaman dan kepakaran Puan Loh harus dinafikan di dalam PKNS, hanya kerana beliau bukan berketurunan Melayu dan bukan Islam? Adakah kakitangan PKNS ini dihasut oleh pemimpin Umno di negeri itu untuk memporak-perandakan pentadbiran kerajaan negeri? Adakah Umno ingin melihat para kakitangan kerajaan negeri memberontak terhadap pemimpin kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat agar mereka dapat mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan keadaan tersebut?

Sikap Umno yang hanya ingin meneruskan promosi perkauman, keganasan dan kebencian ala Neo Nazi untuk kepentingan politik mereka sendiri, jika tidak dibendung boleh mengakibatkan keharmonian kaum di negara kita tergugat.

Di manakah kematangan Umno setelah 51 tahun menerajui negara? Kenapakah mereka masih dengan sifat mereka yang kuno dan tidak bertamadun. Kenapa Umno masih ingin meneruskan budaya benci membenci bagi mencapai tujuan politik mereka? Apakah faedah benci membenci dan mengganasi lawan politik akan meningkatkan keagungan dan ketuanan mereka serta menakutkan rakyat jelata agar tunduk kepada kepimpinan mutlak mereka.

Umno masih ingin terus berMaha Kuasa dengan menggunakan kebencian dan kekerasan. Kegiatan mereka harus dibendung dengan segera.

Saturday, October 25, 2008

Selamat Menyambut Hari Deepavali

Kami ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua ahli-ahli DAP berketurunan India dan masyarakat India seluruh negara dan semoga dengan perayaan ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Adalah diharapkan juga agar seluruh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan kepercayaan akan terus bersatu padu untuk memastikan perpaduan kita sentiasa erat dan harmoni. Marilah kita menegaskan bahawa, kita tidak memerlukan penyeliaan Akta Perhubungan Kaum kerana usaha perpaduan telah lama menjadi amalan dan sifat kita yang inginkan keamanan dan keharmonian sesama sendiri.

Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua.

Utusan Malaysia mempromosikan keganasan

Pakatan Rakyat mengecam tindakan akhbar harian Utusan Malaysia kerana menyiarkan sebuah cerpen yang mempromosikan keganasan dan mengapi-apikan sentimen perkauman baru-baru ini.

Dalam sebuah cerpen yang bertajuk "Politik Baru YBJ" tulisan Datuk Chamil Wariya yang terbit di Mingguan Malaysia minggu lepas mengisahkan mengenai perjalanan ahli parlimen Alam Maya, Josephine untuk menghadiri dialog dengan "generasi muda seketurunan dengannya yang pernah mempersendakan lagu Negaraku sewaktu menuntut di luar negara".

Cerpen tersebut mengambarkan Josephine sebagai pro-Cina dan tidak mewakili pelbagai kaum, terutamanya oleh Parti Orang Melayu (POM). Akhirnya beliau ditembak mati oleh orang yang tidak dikenali atas sebab beliau "adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini".Pakatan Rakyat melihat cerpen yang bersifat "character assassination" ini secara jelas ditujukan kepada Ahli Parlimen DAP, YB Teresa Kok yang ditahan dibawah ISA baru-baru ini.

Cerpen yang disiarkan di dalam akhbar milikan Umno tersebut adalah usaha berterusan Umno untuk menjadikan Exco Kerajaan Negeri Selangor itu sebagai sasaran untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat dan menimbulkan ketegangan di antara kaum.

Utusan Malaysia telah diboikot oleh Pakatan Rakyat sejak bulan Jun tahun ini atas sebab pelaporannya yang bias dan sering mempermainkan isu perkauman. Namun kini Utusan Malaysia bukan sahaja menyebarkan kebencian sesama kaum, tetapi sehingga ke tahap menggalakkan keganasan melalui karya cerpen. Ini merupakan perkembangan yang amat membimbangkan.

Pakatan Rakyat menegaskan bahawa kebebasan untuk berkarya harus selari dengan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama iaitu tanpa menggugat perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Friday, October 24, 2008

Utusan Malaysia & Datuk Chamil penggalak keganasan

Akhbar Utusan Malaysia dan Datuk Chamil Wariya yang mengarang cerpen yang menghina kaum wanita dan mengalak keganasan dan jenayah harus diboikot oleh rakyat jelata yang cintakan keamanan.

Cerpen oleh Datuk Chamil serta persetujuan Utusan untuk menerbit karya tersebut adalah disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan menghina. Selain daripada itu, cerpen tersebut juga didapati berunsurkan dendam seolah-olah sebagai amaran yang ditujukan terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok.

Oleh itu, kita harus sama-sama berganding bahu dalam menghalang tindakan tersebut yang tidak bertamadun dan mengalakkan keganasan,

Monday, October 20, 2008

Perhentian Bus Bangsawan

Kerajaan BN baru-baru ini telah memperuntukan 27 buah perhentian bas untuk dibina di kawasan parlimen Tasek Gelugor di mana kos sebuah perhentian bas dijangkakan bernilai RM20,000 sebuah.

Peruntukan pembinaan perhentian bas ini telah diumumkan oleh menteri kewangan kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang juga ahli parlimen di kawasan tersebut.

Kenapa memerlukan sehingga RM20,000 untuk membina sebuah perhentian bas? Perhentian bas jenis apakah ini? Kenapa kerajaan BN begitu boros sekali sehingga membelanjakan jutaan ringgit untuk sesuatu kemudahan asas yang hanya memerlukan beberapa ribu ringgit sahaja?

Mungkinkah terdapat unsur-unsur rasuah di dalam pemberian kontrak pembinaan perhentian bas ini? Mungkinkah beberapa pemimpin Umno peringkat bahagian tersebut telah mendapat kontrak dan faedah daripada projek tersebut?

Sunday, October 19, 2008

Kepimpinan Baru MCA

Malaysiakini hari ini melaporkan keputusan pemilihan jawatankuasa pusat MCA yang baru. Berdasarkan pemerhatian, pucuk pimpinan parti itu sekarang terdiri daripada sekumpulan yang berada di dalam kerajaan dan satu lagi kumpulan yang berada di luar kerajaan.

Memang jelas, bahawa kumpulan yang berada di luar kerajaan itu diketuai oleh Datuk Seri Dr Chua Soi Lek selaku Timbalan Presiden yang baru, sementara barisan pemimpin yang menjawat jawatan kerajaan diketuai oleh Presidennya sendiri, Datuk Ong Tee Keat.

Mungkinkah para perwakilan MCA inginkan satu pemerhatian yang serius dengan memilih dua kumpulan tersebut untuk menerajui parti tersebut? Adakah para perwakilan mahukan supaya kumpulan yang diketuai oleh Dr Chua melakukan satu amalan "Check and Balance" di dalam parti dengan berperanan sebagai pembangkang dalaman atau "internal opposition"?

Bolehkah kumpulan "di luar kerajaan" ini memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan dan adakah Umno yang selama ini mendominasi BN akan mula mengambil perhatian terhadap segala kemahuan dan permintaan MCA yang kian menonjol?

Saturday, October 18, 2008

MCA persoal keperkasaan Umno

Setelah MCA kecundang di dalam pilihanraya yang lalu, para pemimpin kanannya mula mempersoalkan keperkasaan serta dominasi Umno di dalam Barisan Nasional yang selama ini tidak pernah dicabar oleh mana-mana parti komponen BN.

Malah MCA semakin lantang dan berani menuntut jawatan timbalan pengerusi BN secara terbuka. Kelantangan MCA dan Gerakan yang kian menonjol ini telah menyebabkan Umno semakin bimbang dengan kedudukannya yang tergugat.

Lantas daripada itu, para pemimpin Umno khususnya daripada kalangan peringkat akar umbi mula menggesa pucuk pimpinan pusat agar mengambil tindakan terhadap mereka-mereka yang mempersoalkan isu "ketuanan" mereka.

"Ketuanan" yang Umno perjuangkan selama ini sebenarnya adalah kepentingan diri para pemimpin mereka. Para pemimpin Umno ini apabila terasa kedudukan mereka tergugat akan segera melaungkan slogan "ketuanan" mereka bagi menarik sokongan masyarakat mereka yang kebanyakan tidak sedar yang mereka ini telah dipergunakan sewenang-wenangnya.

Rakyat dan masyarakat kita harus menyedari bahawa permainan isu-isu "ketuanan" ini haruslah ditamatkan dengan segera, oleh kerana perbuatan mereka ini sekiranya dibiarkan berterusan akan memudaratkan keselamatan negara kita, rakyat kita, anak-anak kita serta masa depan ekonomi negara kita pada keseluruhannya.

Jesteru itu, kita harus membuat keputusan ini dengan seberapa segera yang boleh bagi menamatkan ancaman ini dan memelihara nilai keharmonian masyarakat kita.

Saturday, October 11, 2008

Umno dengan keperkasaannya

Baru-baru ini daripada pertandingan untuk jawatan presiden hinggalah ke majlis tertinggi Umno, setiap calon yang ingin mengetengahkan diri mereka untuk bertanding, asyik dengan keluhan agenda mereka untuk “memperkasakan” perkara-perkara dan isu-isu yang berkaitan dengan hanya satu masyarakat atau kaum. Setelah agenda “ketuanan” tidak dapat diterima lagi, maka timbul pula agenda “memPerkasa”.

Kehairannya adalah kePerkasaan atau di dalam bahasa Inggeris “Greatness” tersebut yang sering dibangkitkan oleh para pemimpin Umno tersebut di dalam usaha mereka untuk merebut jawatan tertinggi di dalam pemilihan Umno yang dijangka akan berlangsung pada bulan Mac tahun hadapan. Persoalannya adalah apakah yang perlu diPerkasakan lagi? Adakah memPerkasakan itu bermaksud untuk meningkatkan kuasa mutlak mereka ke atas masyarakat kita supaya Umno dapat mengukuhkan kedudukan mereka bukannya untuk faedah rakyat tetapi pendapatan para pemimpin mereka secara umum?

Selepas pilihanraya umum ke-12 yang lalu telah menunjukkan tindakbalas rakyat terhadap keangkuhan Umno, kenapa para pemimpin parti tersebut masih dengan sifat-sifat lama mereka yang angkuh, agresif, perkauman, tidak bertolak ansur, dan asyik dengan agenda untuk memPerkasakan perkara yang ini atau memPerkasakan yang itu dan pelbagai lagi tajuk-tajuk yang menonjolkan sifat dan dasar mereka yang Perkasa tanpa mempedulikan hak-hak dan kesesamarataan masyarakat lain.

Apakah kaedah untuk memPerkasa hanya satu kumpulan itu boleh membawa kepada keharmonian hidup pada kumpulan atau masyarakat yang lain? Kenapa para pemimpin Umno hanya asyik ingin menjadi lebih Perkasa daripada orang lain? Adakah ia bertujuan menunjukkan kepada umum bahawa mereka tidak boleh dipersoal oleh umum walaupun sesetengah dasar yang mereka laksanakan adalah salah dan berat sebelah? Jadi, di manakah keadilan dan kesaksamaan yang sebenarnya untuk semua sekiranya hanya satu kumpulan yang Perkasa dan masyarakat lain berada di tangga kedua atau “second class”?

Jesteru itu, adakah Umno benar-benar ikhlas di dalam menyatupadukan masyarakat kita? Keikhlasan mereka akan terus dipersoal sekiranya Umno enggan memberikan gambaran diri mereka dengan jelas dan jujur.

Apakah perlu diperKasakan lagi selepas negara kita mencapai kemerdekaan selama 51 tahun dengan kemajuan dan pembangunan yang pesat serta keharmonian kaum (jika ianya tidak dipecahbelah oleh segelintir pemimpin Umno) yang telah kita kecapi pada hari ini.

Tuesday, October 7, 2008

Kebenaran dan kelemahan di sebalik Akta DNA

Seperti yang telah kita ketahui, cadangan Akta DNA yang dikemukakan oleh kerajaan BN ini telah menerima tentangan bukan sahaja daripada parti-parti pembangkang, malah dari kalangan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga menyuarakan kebimbangan mereka mengenai keberkesanan akta tersebut untuk berada di sudut yang adil dan saksama.

Namun, kerajaan BN tetap dengan pendirian mereka untuk meneruskan pembentangan akta tersebut di parlimen untuk bacaan ketiga walaupun terdapat banyak kelemahan dari segi pengawalan, pengurusan, simpanan, pemindahan dan sebagainya.

Berikut adalah beberapa pendapat atau fakta yang cukup terbukti kebenarannya mengenai ketidaktelusan akta tersebut terhadap hak asasi kemanusiaan dan masyarakat.

Tiadanya fakta, perangkaan, dan rujukan yang menyeluruh dan berkesan: fakta dan perangkaan yang perlu bagi menjustifikasikan keperluan dan kepentingan akta tersebut tidak dikemukakan oleh kerajaan BN apabila cadangan undang-undang tersebut dibentangkan. Selain dari itu, kerajaan BN juga gagal berunding atau memperoleh pendapat daripada pihak-pihak yang berkepentingan dan pertubuhan hak asasi kemanusiaan mengenai cadangan akta tersebut.

Bukti DNA perlu lebih bertindak sebagai sebahagian acara yang menyokong dan bukannya acara tunggal yang konkrit: akta tersebut yang menyatakan bukti DNA adalah bukti yang mengukuhkan suatu kes dakwaan adalah jelas sekali menafikan sepenuhnya hak yang tertuduh untuk mendapatkan nasihat pakar undang-undang untuk menyoal kesahihan bukti DNA tersebut.

Selain itu, pihak kehakiman juga tidak mempunyai sumber dan ruang yang mencukupi bagi mengimbangi keputusan pengahakimannya kerana pada hakikatnya pihak pendakwa dan polis telahpun menetapkan hukuman ke atas tertuduh, tanpa pembelaan yang saksama dengan hanya berfaktakan satu bukti yang terbukti boleh dipersoal mengenai kesahihannya.

Akta DNA tersebut juga menimbulkan kesangsian terhadap pihak polis: Pihak polis tidak sepatutnya diberikan peranan yang meluas untuk menyelia atau menguruskan tabung DNA kerana ini akan menimbulkan kesangsian dan boleh dilihat sebagai berat sebelah. Kesangsian tersebut timbul kerana pihak polis juga berperanan sebagai penyiasat dan pendakwa. Di dalam keadaan ini, pihak pendakta telah mengambil-alih tugas hakim pada keseluruhannya bagi memastikan kesalahan itu diletakkan ke atas tertuduh.

Status tabung DNA yang bebas daripada politik akan senantiasa dipersoal kesahihannya: status tabung DNA sebagai sebuah badan bebas akan sentiasa dipersoal kedudukannya kerana menteri dalam negeri selaku ahli jemaah menteri telah diberi kuasa sepenuhnya ke atas tabung tersebut. Pengurus tabung tersebut juga dikawal selia secara terus oleh menteri dalam negeri. Jadi di manakah ketelusannya?

Tiada perlindungan berkesan ke atas hak keperibadian (privacy) seseorang: setahu kami, negara kita tidak mempunyai Akta Perlindungan Data dan hak keperibadian seseorang tidak termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

Oleh yang demikian, kita semua tidak mempunyai hak keperibadian ke atas diri kita dalam negara ini. Dengan adanya tabung DNA tersebut, ia adalah bertentangan dengan prinsip kemanusiaan yang juga boleh mengakibatkan keperibadian kita dicabuli oleh pihak-pihak berkuasa pada bila-bila masa, jester menjurus kea rah sebuah negara polis.

Mekanisme dan teknologi yang digunakan untuk mengambil, menyimpan dan menguji contoh DNA tidak dikaji dengan teliti dan sepenuhnya mengenai keberkesanannya serta kesahihan yang dapat dijadikan bukti secara adil dan dapat diterima oleh semua pihak dari segi kemanusiaan.

Akta tersebut juga tidak mempunyai sebarang fasa yang menyebut pengawasan terhadap kemungkinan penyalahgunaan kuasa terhadap simpanan DNA, kegagalan atau kesilapan teknologi yang mungkin boleh berlaku.

Ketiadaan hokum tersebut di dalam Akta DNA itu juga boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa oleh orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan ke atas contoh-contoh DNA untuk tujuan yang menyalahi undang-undang, menganiayai pihak-pihak yang lemah, jesteru itu akan mengakibatkan seseorang tertuduh didapati bersalah tanpa menjalani perbicaraan yang adil dan saksama.

Klasifikasi contoh DNA adalah terlalu luas dan boleh menyebabkan seseorang tertuduh tidak dapat menjalankan kehidupan baru dan sempurna apabila selesai menjalani proses perbicaraan atau hukuman.

Setahu kami, contoh –contoh DNA boleh diambil daripada mana-mana bahagian badan seseorang dan sejauh mana keberkesanan jenis-jenis contoh DNA tidak dapat dibuktikan dengan jelas, contohnya darah, rambut, air liur, peluh atau air kencing dan sebagainya.

Tiada jaminan bahawa contoh-contoh dan data DNA akan dimusnahkan setelah suatu jangka masa yang tertentu kerana kuasa mutlak untuk berbuat demikian adalah bergantung kepada budibicara orang yang mengawal selia tabung DNA tersebut, iaitu menteri dalam negeri.

Oleh kerana itu, tiada jaminan yang berkesan yang boleh menunjukkan bahawa contoh-contoh DNA tersebut tidak akan dipendua (duplicate) atau diklonkan oleh pihak-pihak tertentu, kerana akta tersebut tidak menyebut kaedah atau sistem pengawasan yang boleh dipercayai sepenuhnya.

Tiadanya pengawasan dan mekanisme kerja bagi proses pemindahan contoh DNA: Akta tersebut langsung tidak menyebut mekanisme kaedah pengurusan, pemindahan dan penyimpanan contoh-contoh DNA. Tidak ada langkah-langkah pencegahan penyalahgunaan contoh-contoh untuk tujuan-tujuan yang tertentu yang boleh menganiayai seseorang yang tidak bersalah.

Apa yang kita dapati sekarang ialah kerajaan BN berkeras ingin menyegerakan pembentangan dan kelulusan Akta DNA tersebut bagi membolehkan mereka mengambil tindakan susulan terhadap Penasihat PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan yang terburu-buru ini jelas menunjukkan bahawa langkah yang diambil kerajaan BN tersebut adalah bermotifkan politik yang berat sebelah. Oleh yang demikian, Akta DNA ini tidak akan membawa sebarang kebaikan pada jangka masa yang panjang, melainkan jika terdapat akta-akta atau fasa-fasa susulan yang dapat melindungi hak asasi kemanusiaan seseorang yang dapat diterima oleh semua pihak, dengan ditambah pula dengan langkah-langkah pengawasan sumber tersebut secara bebas dan profesional.

Monday, October 6, 2008

Jamuan Makan Malam DAP Bagan

DAP Bagan akan mengadakan satu jamuan makan malam di Butterworth dengan maklumat lanjut seperti berikut :-

Tarikh: 16/10/2008
Tempat: Pasar Sri Uda (Di Belakang RHB Bank Raja Uda)
Waktu: 7.30 malam

Tetamu Undangan: YAB Lim Guan Eng (Ketua Menteri), YB Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang Parlimen), YB Karpal Singh (Pengerusi DAP), YB Teresa Kok (Exco Kerajaan Negeri Selangor), YB Lim Kit Siang (Penasihat DAP).

Untuk Maklumat lanjut, sila hubungi YB Phee Boon Poh (012-4711111) atau YB Lim Hock Seng (019-4491986).

Kepala Batas Kecundang Bersama Pak Lah

Nampaknya Pak Lah akan kecundang dalam masa yang terdekat lagi berikutan daripada tekanan daripada timbalannya dan ahli-ahli majlis tertinggi Umno baru-baru ini dan sekiranya ianya benar-benar berlaku, Pak Lah akan mencipta sejarah perdana menteri pertama yang hanya bertahan satu penggal penuh.

Berikutan dengan kejatuhan Pak Lah yang semakin tidak dapat dielakan lagi, projek metropolitan Kepala Batas di mana beliau adalah ahli parlimen kawasan tersebut dijangka akan turut sama kecundang. Para pelabur dan peniaga akan memindahkan kepentingan mereka keluar daripada kawasan tersebut ekoran nilai hartanah dan peluang pelaburan di kawasan tersebut menjadi semakin tidak menentu.

Akibat daripada itu, pembangunan di kawasan itu akan tinggal bagaikan gajah putih. Pembaziran wang rakyat (yang juga pembayar cukai) akan berlaku kerana keyakinan terhadap kepimpinan Pak Lah telah tiada lagi, dan pada masa yang sama ketiadaan perancangan yang teliti kerana projek-projek prasarana tersebut yang dilaksanakan tanpa usul periksa yang mendalam dengan hanya bergantung kepada kedudukan dan pengaruh politik Pak Lah sebagai perdana menteri semata-mata.

Daripada pemerhatian terhadap kawasan tersebut, dapat kita melihat kebanyakan rancangan pembangunan dan pembinaan bangunan-bangunan pejabat kerajaan yang mewah dilaksanakan hanya semata-mata untuk menaikkan imej kawasan tersebut bagi meraih sokongan dan bantuan daripada Pak Lah untuk meningkatkan keuntungan dan kepentingan beberapa pihak. Inilah sikap kronisme yang kian membebankan rakyat jelata.

Misalannya, ibupejabat polis daerah Seberang Perai Utara yang dahulunya terletak di tengah-tengah Bandar Butterworth di mana majoriti penduduk Seberang Perai Utara bertumpu telah dipindahkan ke kawasan Kepala Batas yang agak terpencil. Pemindahan ibupejabat polis tersebut ternyata telah membebankan penduduk yang ingin atau sering berurusan dengan pihak berkuasa tersebut.

Begitu juga dengan pejabat daerah dan tanah Seberang Perai Utara yang turut dialihkan ke Kepala Batas atas alasan pembangunan yang memerlukan pemantauan di kawasan tersebut.

Selain daripada itu, Hospital Kepala Batas yang pada mulanya dirancang untuk dijadikan sebuah pusat rawatan dan perubatan alternatif kepada Hospital Seberang Jaya yang semakin sesak kini telah menjadi hanya suatu mimpi atau impian kosong semata-mata, apabila Hospital Kepala Batas masih tidak dapat memberikan khidmatnya secara menyeluruh kepada penduduk Kepala Batas dan masih merujuk sebahagian besar pesakitnya ke Hospital Seberang Jaya yang senantiasa sesak pada setiap hari, atas alasan kekurangan pegawai dan pakar perubatan yang berpengalaman.

Bandar Butterworth yang mempunyai penduduk paling ramai di daerah Seberang Perai Utara telah dipencilkan daripada segala bentuk kemudahan bagi memberikan laluan kepada kawasan Kepala Batas oleh kerana ahli parlimen kawasan itu adalah seorang perdana menteri.

Selain ibupejabat polis daerah, pejabat daerah dan tanah, dan hospital Kepala Batas, terdapat juga projek-projek mewah yang lain yang telah atau sedang dibangunkan dijangka akan hanya membazirkan sahaja kerana kebanyakannya dilaksanakan tanpa perancangan yang teliti dan penilaian jangka panjang serta akibatnya tidak dibuat. Hampir kesemua projek di kawasan Kepala Batas tersebut adalah dikaitkan dengan politik Umno bahagian itu semata-mata bagi memberikan keuntungan berlipat-ganda kepada para pemimpin utama Umno bahagian tersebut. Segala projek prasarana yang ada akan berkurangan setelah Pak Lah meninggalkan Putrajaya kelak.

Tambah pula, kesungguhan Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim untuk melobi pembatalan beberapa projek utama di negeri ini juga ternyata telah memberikan kesan yang negatif dan menyebabkan para pelabur dan peniaga kurang yakin dengan keadaan di negeri ini.

Nampaknya Umno Pulau Pinang akan termakan dirinya sendiri oleh kerana perbuatan beberapa orang pemimpinnya. Tetapi hasilnya ialah rakyat terpaksa menanggung akibatnya.

Tuesday, September 30, 2008

BN guna undang-undang untuk tumpas lawan

Sudah jelas diperlihat pada hari ini dan sekarang bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sering tergugat sejak gagal mendapatkan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya umum yang lalu sering beralih kepada polis dan undang-undang untuk memperkasakan kedudukannya dan kuasanya terhadap rakyat dan para pemimpin Pakatan Rakyat khususnya.

Akibat daripada kelemahan sendiri, para pemimpin BN tidak lagi mampu melawan arus perubahan politik yang kini sedang membara di kalangan rakyat. Jesteru itu, kerajaan BN telah mengambil langkah mudah dengan sering berselindung disebalik polis dan undang-undang dengan mereka cipta skandal secara konspirasi bagi membolehkannya bertindak terhadap seseorang atau pihak yang dianggap boleh menggugat kepentingan BN dan para kroninya.

Contoh yang paling ketara, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering disebut-sebut bakal menerajui kerajaan pusat yang baru apabila pengaruhnya di kalangan rakyat dan peringkat antarabangsa semakin meningkat.

Akibat rasa tergugat oleh Datuk Seri Anwar, kerajaan BN mula menggunakan taktik ala-1998 dengan mereka satu lagi tuduhan meliwat terhadap Datuk Seri Anwar dengan menggunakan khidmat bekas kakitangannya, Saiful Bukhari Azlan untuk berbuat demikian. Malah ramai di antara kita telah mengetahui bahawa sebelum kejadian Datuk Seri Anwar dituduh meliwat, Saiful telah berjumpa dengan timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak beserta dengan seorang pegawai khasnya, Kharil Anas Jusoh, berkemungkinan merancang komplot tersebut bagi menjatuhkan Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat.

Datuk Seri Najib yang juga tidak mahu terlepas peluang untuk menjadi perdana menteri dipercayai telah awal merancang konspirasi tersebut seawal Februari 2008 bagi mengelakkan Datuk Seri Anwar daripada menjadi perdana menteri, sekiranya Pakatan Rakyat Berjaya membentuk kerajaan pusat yang baru.

Demi mempertahan kedudukannya tersebut, timbalan perdana menteri itu juga telah menggunakan kuasanya untuk menutup penglibatan beliau di dalam kes pembunuhan gadis Mongolia yang bernama, Altantuya Shaaribuu dan mengarahkan polis dan peguam Negara mendakwa pengarang Malaysia-today.net Raja Petra Kamaruddin atas pelbagai kesalahan yang boleh memenjarakannya sekiranya didapati bersalah dan terbaru mengheret beliau ke dalam tahanan ISA selama dua tahun.

Malah, kerajaan BN juga telah berselindung disebalik undang-undang dengan menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menakut-nakutkan rakyat jelata yang kini dahagakan kebenaran, keadilan dan pembaharuan politik.

Kerajaan BN juga kini sedang mengorak langkah secara senyap menuju ke arah pemerintahan kuku besi bagi mempertahankan kedudukan dan kepentingannya. Undang-undang sekarang bukan lagi undang-undang yang sebenarnya. Undang-undang pada masa kini digunakan untuk tujuan perselindungan politik dan untuk kepentingan mereka-mereka yang berkuasa.

Dilema Parti Gerakan

Setelah Umno dengan masalah ekstremisnya, kemudian SAPP keluar daripada BN dan sekarang pula Parti Gerakan atau lebih dikenali Gerakan merasa serba salah sama ada patut keluar daripada himpunan Barisan Nasional atau sebaliknya.

Setelah menjelajah ke hampir seluruh negeri untuk merasmikan persidangan perwakilan tahunan negeri-negeri Gerakan, pemangku presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon telah menerima usul-usul yang hampir 61 peratus menyeru pucuk pimpinan pusat Gerakan agar mengambil tindakan yang lebih drastik dengan keluar daripada Barisan Nasional yang diterajui oleh Umno yang sering menonjolkan dasar perkaumannya yang ekstremis serta mengancam perpaduan.

Namun Dr Koh Tsu Koon masih serba salah dan berat hati untuk meninggalkan sahabat-handainya di BN dengan memberikan pelbagai alasan yang berlainan agar dapat menenangkan kemarahan ahli-ahli partinya terhadap sikap bongkak dan angkuh para pemimpin Umno selama ini.

Malah bekas presiden Gerakan, Dr Lim Keng Yaik juga pernah mengatakan bahawa Gerakan, MCA dan MIC sering bersikap "mengemis" apabila berhadapan dengan Umno di dalam mesyuarat dewan tertinggi BN.

Tambah pula, ramai ahli-ahli Gerakan yang hilang sabar dengan Dr Koh yang dikatakan tidak tegas terhadap Umno, telah mengambil langkah drastik dengan keluar parti dan menyertai PKR dan DAP.

Sehubungan dari itu, dilema yang terus menghantui Gerakan selagi Dr Koh menerajui parti tersebut dan selagi itu, parti tersebut tidak akan dapat menghasilkan suatu keputusan yang dapat memuaskan hati para ahlinya.

Salam Aidil Fitri

Blog "Berubah Untuk Malaysia" ingin mengucapkan seluruh warga dan para pembaca Muslim dan Muslimat Selamat Hari Raya Aidil Fitri & Maaf Zahir Batin.

Semoga semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan keturunan sama-sama tampil ke hadapan untuk menunjukkan kesungguhan kita bersatu padu menentang sebarang bentuk ancaman perkauman dan ekstremis yang sering mengambil kesempatan ke atas keadaan negara kita yang aman damai.

Marilah kita bersama membantu sesama kita membendung segala bentuk ancaman perkauman yang sering diapi-apikan oleh pihak-pihak tertentu yang berkebanyakan kepentingan politik seseorang individu, demi memperkuatkan lagi semangat perpaduan di kalangan masyarakat kita.

Kenapa Biro Tata Negara menentang perpaduan?

Baru-baru ini kami mendapati bahawa sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bernama Biro Tata Negara (BTN) telah membangkit kemarahan masyarakat seluruh Negara dengan sebuah lagi adegan perkauman di dalam programnya.

Kejadian tersebut berlaku semasa BTN menganjurkan program orientasinya untuk para pelajar yang berjaya memperoleh biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum mereka dihantar ke luar negara untuk menlanjutkan pelajaran mereka.

Apa yang mengejutkan adalah para jurulatih program BTN tersebut telah memisahkan para pelajar Melayu dan Bukan Melayu kepada beberapa sessi yang berasingan dengan alasan beberapa siri orientasi ada menyentuh sensitiviti beberapa kaum.

Di dalam sessi yang hanya terdiri daripada pelajar-pelajar Bukan Melayu, jurulatih tersebut telah memberikan taklimat mereka mengenai sejarah Malaysia, kedudukan orang Cina dan India sebagai pendatang pada masa itu, sehingga lah berjaya memperoleh kewarganegaraan. Jurulatih tersebut juga menegaskan kepada para pelajar Bukan Melayu bahawa mereka patut berterimakasih kerana mereka telah menjadi warganegara di tanah Melayu ini dan mempunyai tempat bermastautin dengan selamat, dan tidak boleh mempersoalkan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Di dalam sessi yang hanya terdiri daripada pelajar-pelajar Melayu pula, jurulatih program tersebut telah menegaskan bahawa mereka tidak digalakan malah sekiranya boleh mengelak daripada bercampur-gaul dengan masyarakat Bukan-Melayu kerana ini akan merugikan mereka.

Kenyataan-kenyataan yang disebarkan oleh para jurulatih program BTN ini adalah amat menyedih serta menjijikkan, kerana di dalam agensi-agensi kerajaan yang mengatur atau menganjurkan sesuatu kursus dan latihan perpaduan kaum adalah sering digalak serta diketengahkan tetapi apa yang berlaku di BTN ini adalah sebaliknya.

Apakah yang sedang berlaku pada Negara Malaysia kita ini yang diterajui oleh Kerajaan BN-Umno? Selama 51 tahun BN-Umno menerajui Malaysia, nampaknya negara kita ini semakin menuju ke arah perpecahan dan syak-wasangka di kalangan masyarakat kita mula timbul hasil daripada kenyataan serta beberapa dasar-dasar BN-Umno yang tidak mengalakkan perpaduan sebaliknya lebih berpaling kearah perpecahan dan suka membangkitkan isu-isu perkauman.
Adakah doktrin fahaman Nazi yang bertopengkan ketuanan ini yang dipelopori oleh beberapa pemimpin kanan Umno telah mula bertapak di Malaysia bagi memperkuatkan kepentingan dan kedudukan ratusan kroni-kroni yang dibiayai oleh mereka?

Adakah Malaysia akan dapat mencapai status KeMalaysiaannya dengan berkesan dengan BN-Umno masih dengan dasar-dasarnya yang kuno dan tidak bertimbang rasa.

Suatu kenyataan yang dibuat oleh seorang pemerhati politik dan ugama bernama Dr B.Suseelan patut diperhatian sewajarnya, mengenai kemungkinan kejadian ini sedang berlaku di Malaysia:

“The Muslim hatred of democracy, pluralism, religious tolerance, coexistence and freedom of expression still continues unabated. The battle between the rigid, closed and dogmatic ideology of religion and unfettered thinking is by no means decided but its outcome will determine whether Muslims will embrace freedom, democracy, pluralism, coexistence, progress and tolerance or succumb to non-compromising fundamentalism, conflict and relentless war against the civilized world. The incessant rage, hostility and violence of the dejected Muslims will further destabilize the entire world”.

Adakah apa yang diketengahkan oleh para pemimpin kanan Umno selama ini menonjolkan keadaan seperti di atas ini? Adakah mereka ini ketakutan bahawa mereka akan hilang segala-galanya serta enggan mengaku kelemahan mereka dan sebab itu lah mereka menakut-nakutkan masyarakat kita dengan perlakuan mereka, ketuanan mereka, idea-idea perkauman mereka, menghadkan kebebasan kita untuk bersuara, bertukar pendapat, memecah-belahkan perpaduan kita agar mereka dapat terus berkuasa?

Jawapannya adalah kejadian tersebut di atas telah berjaya menghampiri kehidupan harian kita tanpa disedari oleh kebanyakan daripada kita ini.

Kesimpulannya adalah kita perlu bersama-sama berganding-bahu menguatkan lagi semangat perpaduan kita dan menolak sama sekali sebarang bentuk ancaman serta perbuatan yang boleh mengakibatkan perpecahan, kebencian, perselisihan, syak-wasangka dan pergaduhan.
Perlu juga diberi perhatian bahawa ratusan lagi makluk-makluk jenis Ahmad Ismail, Azhar Ibrahim, Azimi Daim, Hasnoor Hussein, Hashim Suboh dan Razak Idris yang mungkin masih berada di luar sana menunggu peluang untuk mengapi-apikan semula dakyah jahat mereka dengan sewenang-wenangnya.

Kita juga perlu menolak sama sekali kegiatan-kegiatan ekstremis perkauman ini yang sering mengalakkan perpecahan ummah dan masyarakat dengan kata-kata serta dasar mereka kononnya untuk mempertahankan hak-hak sesuatu kumpulan tetapi sebaliknya hanya mempertahankan kepentingan dan kekayaan mereka serta kroni-kroni mereka semata-mata.

Kepada mereka yang sayangkan keamanan dan kesejahteraan, mari lah kita bersama-sama dalam terus memelihara perpaduan dan toleransi yang telah kita kecapi sekian lama demi masa depan anak-anak kita, cucu-cucu kita dan seluruh generasi kita yang akan datang.

Selamatkan Malaysia !

Polis masih belum dakwa Azhar “Tembak” Ibrahim

Setelah laporan polis dibuat terhadap Setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Azhar “Tembak” Ibrahim, pihak polis masih belum bertindak terhadap beliau.

Tindakan Datuk Azhar yang mengancam untuk membunuh wartawan akhbar Sin Chew kerana liputan yang melaporkan kenyataan perkauman Datuk Ahmad “Gantung” Ismail pada 5 September yang lalu harus diberi perhatian dengan serius kerana ianya melibatkan ancaman terhadap nyawa seseorang.

Malah, pihak polis juga digesa supaya menyegerakan tindakan terhadap Datuk Azhar dengan mendakwa beliau atas kesalahan cubaan membunuh.

Pihak polis juga hendaklah memastikan agar keselamatan dan nyawa wartawan akhbar Sin Chew tersebut terjamin dan perlu bertindak serta-merta sekiranya ada ahli-ahli atau penyokong Umno yang cuba mendekati atau mengancam wartawan tersebut.

Umno dan Budaya Benci Caci Ganasnya

Kenapa lah ketua Umno Bukit Bendera yang bernama Datuk Ahmad “Nazi” Ismail itu masih enggan mengaku bersalah atas perbuatannya yang telah menimbulkan kemarahan kaum Cina di negara ini. Apakah susahnya untuk memohon maaf daripada masyarakat umum?

Kenapa Si Ahmad itu masih ingin menyemarakkan para ahli dan pemimpin Umno di Pulau Pinang dengan semangat benci-membenci, caci-mencaci dan cubaan mengganasi pihak-pihak lain yang hidup secara aman di sini?

Tambah pula dengan sidang akhbar buat kali kedua dengan lagi laungan anti Cina dan slogan nak pergi berperang pulak. Dahlah dengan kata-kata Si Ahmad itu yang sungguh memberangsangkan , masuk lagi seorang pemimpin Umno yang bernama Datuk Azhar “Tembak” Ibrahim yang menyeru agar wartawan yang membuat liputan pada hari Si Ahmad berceramah itu ditembak mati kerana telah “mencetus” suasana yang tegang sekarang.

Masalahnya adalah pada Umno dan wartawan yang membuat liputan itu hanya menjalankan tugasnya secara professional tanpa was-was. Masalahnya adalah pada Umno di mana Si Ahmad itu yang berkeras enggan meminta maaf. Oleh kerana tindakan Si Ahmad itu, maka timbul lah kemarahan masyarakat Cina di negara ini dengan MCA, PPP, Gerakan, SUPP, LDP, DAP, PKR, PAS mengecam sikap angkuh Si Ahmad yang berdegil dengan pendiriannya.

Kemudian datang pula seorang lagi yang bernama Datuk Azhar “Tembak” Ibrahim (setiausaha Umno Pulau Pinang) yang mengeruh serta memburukkan lagi keadaan dengan istilah tembak-menembaknya kerana dendam beliau terhadap wartawan yang membuat liputan tersebut secara sah dan benar.

Apakah faedah Umno Pulau Pinang ini dalam menyemarakkan semangat benci-membenci, caci-mencaci serta keganasan di kalangan masyarakat kita ini yang hidup secara harmoni dan aman damai?

Adakah sekiranya keganasan dan pergaduhan benar-benar berlaku, Umno, Datuk Ahmad dan Datuk Azhar akan menyalahkan Sin Chew Press, Gerakan, Dr Koh Tsu Koon, MCA, PPP, SUPP, LDP, DAP, PKR dan PAS kerana perkara ini di bawa ke meja pucuk pimpinan negara dan pihak berkuasa untuk diadili?

Jawapannya ialah tidak ada pihak yang akan berpeluang untuk mengaut sebarang faedah hasil daripada perbuatan Si Ahmad dan Si Azhar ini, termasuk Umno sendiri.
Fikirkan dengan sebaik-baiknya.

Datuk Azhar berjaya halang pelaburan asing ke Pulau Pinang

Sekali lagi Umno Pulau Pinang bersama dengan setiausaha perhubungannya Datuk Azhar Ibrahim berjaya menggagalkan satu lagi projek pelaburan asing yang bakal bertapak di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan Datuk Azhar Ibrahim di satu akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini, beliau telah menyeru kerajaan pusat agar membatalkan projek jambatan Pulau Pinang yang kedua kerana Barisan Nasional dan Umno tidak lagi memerintah Pulau Pinang di mana ia akan menyebabkan kos projek tersebut meningkat.

Atas daya usaha Datuk Azhar Ibrahim untuk pembatalan projek jambatan kedua tersebut, sebuah syarikat Korea Selatan yang pada mulanya merancang untuk bertapak di Batu Kawan di Seberang Perai di mana jambatan baru itu akan menghubungkan, telah menarik balik hasrat pelaburannya atas alasan keadaan yang tidak stabil berikutan kenyataan Datuk Azhar tersebut.
Oleh kerana inisiatif berterusan Datuk Azhar untuk mensabotaj peluang pelaburan di Pulau Pinang, keadaan ekonomi di negeri ini dijangka berada di paras lembap dan pada masa yang sama peluang pekerjaan untuk rakyat akan menjadi lebih tipis berikutan kurangnya kemasukan pelaburan asing yang baru.

Ingin kami tahu, sampai bilakah Umno Pulau Pinang beserta dengan Datuk Azhar Ibrahim akan mendendami dan menyalahkan rakyat Pulau Pinang atas kekalahan BN pada pilihanraya umum yang lalu.

Apakah Umno Pulau Pinang dan Datuk Azhar Ibrahim masih degil dan enggan menerima hakikat serta mengakui bahawa mereka kalah akibat sikap bongkak, sombong, angkuh dan identiti perkauman mereka yang kuat?

Apakah rancangan Umno Pulau Pinang dan Datuk Azhar Ibrahim seterusnya untuk melihat ekonomi Pulau Pinang runtuh dan seterusnya menjadi mundur bagi dijadikan modal politik mereka di dalam pilihanraya yang akan datang? Mengorbankan rakyat dan bangsa mereka sendiri bagi mencapai tujuan politik mereka yang jijik ini?

Di manakah Pengerusi BN Pulau Pinang dan bekas ketua menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon semasa Umno Pulau Pinang dan Datuk Azhar Ibrahim mengorak langkah untuk mensabotaj ekonomi Pulau Pinang? Adakah Tan Sri Dr Koh takut dan tidak berani membantah tindakan mereka itu yang bakal menghuru-harakan negeri ini dengan tindakan jahat mereka?
Setelah cubaan rampasan kuasa di Perak gagal, apakah Datuk Azhar akan merancang cubaan seumpama ini di Pulau Pinang pula? Apakah keselamatan di Pulau Pinang akan terjamin selagi Umno Pulau Pinang masih wujud di negeri ini?

Adakah Umno Pulau Pinang akan menggunakan isu perkaumannya untuk melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan negeri di masa yang terdekat?