Tuesday, December 16, 2008

Pegawai bank kerajaan bersikap perkauman

Persatuan Perniagaan India Malaysia (MIBA) yang telah menganjur satu seminar pinjaman perniagaan bersama dengan sebuah bank milik kerajaan baru-baru ini terkejut dengan kenyataan seorang pegawai bank yang berbau perkauman ketika menyampaikan taklimatnya kepada para hadirin seminar tersebut.

Pegawai bank kerajaan tersebut di dalam menyampaikan taklimatnya telah berkali-kali mengulangi kenyataan yang merujuk kepada masyarakat India, “orang asing kini juga boleh memohon pekerjaan di bank berkenaan”.

Kami amat hairan, apakah motif sebenarnya pegawai bank itu menyebut perkataan sedemikian? Adakah beliau ini terpaksa memberikan taklimatnya kepada seminar tersebut setelah diperintahkan oleh pegawai atasannya dan lantas, berbuat demikian dengan hati yang berat? Sejurus tu, apabila hadir di seminar tersebut beliau kemudiannya melepaskan kemarahannya di hadapan para peserta seminar dengan lafaznya yang berbau perkauman.

Kenyataan pegawai bank tersebut adalah amat memalukan dan menghina masyarakat India khususnya mereka dari kalangan golongan professional yang hadir bertujuan untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mengenai bantuan-bantuan yang dapat disalurkan kepada para peniaga dan usahawan keturunan India.

Jika pegawai bank tersebut kemudiannya mengatakan bahawa kenyataan “orang asing” tersebut sebenarnya merujuk kepada para pemohon dari luar negeri, adakah alasan itu munasabah? Seminar pinjaman perniagaan tersebut dianjurkan bersama oleh MIBA bagi memberikan peluang kepada para ahli-ahlinya untuk mengetahui kemudahan pinjaman bank tersebut. Oleh itu alasan yang bakal dikemukakan kemudian itu adalah juga tidak tepat sama sekali kerana para peserta seminar tersebut kesemuanya orang tempatan berketurunan India.

Jadi apakah maksud yang tersirat di dalam hati sanubari pegawai bank tersebut sewaktu beliau menyampaikan taklimatnya kepada para perserta seminar tersebut? Pegawai bank kerajaan tersebut perlu memohon maaf secara terbuka kerana kata-katanya telah menyinggung perasaan masyarakat India pada keseluruhannya.

No comments: