Kita telah mengetahui bahawa baru-baru ini kerajaan Barisan Nasional telah mencadangkan agar Akta Perhubungan Kaum diwujudkan bagi membantu memelihara kestabilan perhubungan antara kaum di negara ini.
Persoalannya adalah adakah kita memerlukan Akta Perhubungan Kaum dan apakah maksud sebenar yang tersirat di dalam cadangan akta tersebut. Jika kita melihat kembali beberapa kejadian-kejadian sebelum ini yang telah membangkitkan kemarahan kaum-kaum yang tertentu, kita akan dapat memperoleh jawapan tersebut dengan amat cepat.
Ya, jawapan yang amat tepat mengenai mengapa wujudnya ketegangan kaum pada hari ini adalah Umno. Kita semua telah mengetahui bahawa Umno adalah punca berlakunya keretakan hubungan kaum selama ini. Gara-gara untuk melindungi kedudukannya yang semakin pupus, Umno sanggup membangkitkan kemarahan kaum-kaum yang lain bagi menaikkan prestijnya sebagai penaung dan pelindung bangsa Melayu. Demi mencapai tujuannya untuk terus relevan di dunia Melayu, Umno juga sanggup mempermain-mainkan rakan-rakan kongsinya di dalam Barisan Nasional, khususnya MCA, Gerakan, MIC, SUPP, PPP dan sebagainya.
Di dalam kehidupan harian kita sehingga kini, sebenarnya tidak wujud keretakan hubungan antara kaum. Rakan-rakan kita serta sahabat handai, rakan setugas, rakan sejawat serta dari kalangan kawan karib kita yang berbangsa Melayu, Cina, India, Serani, Kadazan, Dayak, dan lain-lain masih erat dan tidak berlaku apa-apa ketegangan langsung.
Jadi, apakah kita benar-benar memerlukan Akta Perhubungan Kaum untuk menjaga keharmonian kaum ? Apakah orang-orang Melayu pada hari ini masih memerlukan atau bergantung hidup kepada Umno untuk terus wujud dan maju di negara ini? Adalah kesemua masyarakat Melayu bergantung sepenuhnya kepada Umno seperti yang didakwanya? Adakah orang-orang Melayu hanya mempunyai Umno untuk terus hidup ?
Tanpa perlu untuk menjadi ahli Umno, orang-orang Melayu masih boleh menjadi maju setaraf dengan rakan-rakan mereka daripada kalangan kaum yang lain, tanpa perlu untuk menjadi ahli Umno, orang-orang Melayu juga telah lama mengetahui bertapa pentingnya untuk menjalin suatu hubungan antara kaum yang harmoni dan aman, tanpa perlu untuk menjadi ahli Umno, orang-orang Melayu juga telah berjaya menunjukkan kepada dunia bahawa mereka boleh dan mampu untuk bersaing dengan rakan-rakan mereka yang lain secara sihat dan adil demi untuk mencapai kejayaan yang setaraf.
Oleh itu, jawapan yang sebenarnya kita perlu pada hari ini adalah, sebagai rakyat Malaysia yang sejati dan matang dengan perkembangan semasa, kita tidak memerlukan kedua-duanya sekali, iaitu Umno dan Akta Perhubungan Kaum. Kita tidak memerlukan kedua-dua perkara ini kerana kita telah wujud selama lebih 50 tahun secara aman damai, harmoni dan bersatu. Jika Umno sudah tidak wujud lagi, Malaysia masih juga boleh wujud dan terus maju untuk berdaya saing dengan dunia luar.
Hakikat yang perlu kita terima adalah Umno adalah hanya sebuah parti politik yang telah lama uzur dan tidak relevan lagi di zaman sekarang. Di dalam zaman dan kedudukan Malaysia yang ada pada hari ini, kita memerlukan parti-parti politik yang berwawasan tinggi dan dapat menggerakkan jentera pentadbiran negara kita menuju ke suatu era yang baru tanpa perlu mempunyai kata putus mengenai kaum-kaum mana yang perlu diperdahului dan kaum mana yang perlu dibelakangi agar suatu kaum yang lain dapat sempat mengejar kemajuan untuk selari dengan kaum-kaum yang kian maju.
Oleh yang demikian, yang kita perlukan pada hari ini adalah Akta Anti Diskriminasi Kaum untuk memastikan agar kesemua kaum tidak akan dianaktirikan atau didiskriminasi oleh mana-mana kaum atau sesuatu kaum tidak boleh mengagung-agungkan diri mereka dan menganiayai kaum-kaum yang lain dengan agenda-agenda yang berbentuk ketuanan dan kehambaan.
Dengan adanya Akta Anti Diskriminasi Kaum, sistem-sistem pentadbiran, pendidikan, sosial dan kebajikan yang berunsurkan kuota di mana sesuatu kaum diberikan keutamaan perlu dihapuskan dan digantikan dengan satu sistem yang dapat memastikan agar merit atau usaha yang akan menjadi tunggak pencapaian segala-galanya. Penghapusan kuota-kuota berbentuk perkauman adalah juga perlu meliputi kesemua aspek kehidupan harian kita, bagi memastikan tidak ada kaum yang akan dipinggirkan atau dianaktirikan oleh mana-mana pihak. Selain daripada itu, parti-parti politik yang berteraskan sesuatu kaum seperti Umno, MCA, MIC, IPF, MUIP, UPKO, PBB dan sebagainya perlu juga dihapuskan bagi membolehkan intergrasi politik dilaksanakan dengan berkesan.
Dengan adanya Akta Anti Diskriminasi Kaum, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang penuh dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa juga perlu dimansuhkan dengan segera bagi memberi laluan kepada satu agenda ekonomi nasional yang dapat memberikan peluang kepada semua kaum untuk bersaing secara sihat dan adil di dalam arena perniagaan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. Pusat-pusat pengajian tinggi yang berteraskan hanya sesuatu kaum juga perlu dimansuhkan bagi membolehkan kemasukan pelajar-pelajar semua kaum secara adil dan saksama. Pengambilan pegawai-pegawai awam yang mengikut kuota kaum juga perlu dihapuskan sama sekali bagi membolehkan tenaga-tenaga professional dan mahir mengambil bahagian di dalam jentera pentadbiran kerajaan tanpa perlu bimbang dengan kedudukan yang tidak seimbang.
Setahu kita, jiran kita Indonesia telah maju setapak daripada negara kita apabila Majlis Perwakilan Rakyat mereka telah meluluskan rang undang-undang yang mengharamkan segala bentuk diskriminasi kaum di negara tersebut dan menjadi negara terbaru menganggotai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum Bangsa-Bangsa Bersatu. Sayangnya, Malaysia masih enggan menyertai konvensyen tersebut sehingga kini.
Persoalannya, adakah kerajaan BN-Umno yang ada sekarang berani menerima kenyataan dan mengorak langkah sebegini?
No comments:
Post a Comment