Wednesday, December 3, 2008

Mukhriz cadang penutupan sekolah Cina dan Tamil

Bagi meraih undi dan sokongan bagi pencalonannya untuk bertanding jawatan ketua pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir telah menyarankan agar sekolah-sekolah Cina dan Tamil ditutup sebagai langkah untuk menjayakan perpaduan antara kaum di negara ini.

Cadangan beliau itu telah mendapat tentangan yang meluas daripada parti-parti komponen daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, malah ada pihak yang menyeru agar beliau didakwa di bawah Akta Hasutan berikutan dengan kenyataan beliau itu.

Kenyataan Datuk Mukhriz adalah keterlaluan dan telah menunjukkan bahawa beliau tidak sensitif dengan agenda tersebut yang boleh membangkit kemarahan kaum-kaum yang tertentu, malah boleh memecah belahkan perpaduan masyarakat kita.

Sekiranya Mukhriz ingin membicarakan isu-isu perpaduan, beliau seharusnya melihat kembali sejarah bagaimana negara kita mula diperintah oleh Umno sejak 50 tahun yang lalu. Jika Umno tidak menggunakan kaedah pecah dan perintah pada zaman pra-kemerdekaan di waktu itu, sudah pasti kita akan mempunyai hanya satu bangsa sahaja pada hari ini, iaitu Bangsa Malaysia.

Oleh yang demikian, jikalau Mukhriz dan Umno benar-benar ikhlas mengenai perpaduan antara kaum pada hari ini, bubarkanlah Umno! Tidak kurang daripada itu, parti-parti perkauman yang lain juga perlu dibubarkan dengan sepenuhnya. Pelbagai undang-undang atau enakmen yang menekankan monopoli satu kaum juga perlu dimansuhkan bagi member laluan kepada satu konsep baru yang saksama dan adil.

Persoalannya ialah, bolehkah Mukhriz dan Umno dapat berbuat demikian? Jawapannya sudah tentu tidak, kerana sekiranya ianya dilaksanakan, para pemimpin Umno akan kehilangan hak-hak keistimewaan mereka sekaligus. Mereka akan kehilangan mata pencarian mereka kerana tender kontrak-kontrak akan diperluaskan kepada semua kaum.

Jadi, Mukhriz tidak sepatutnya memberikan kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini. Lihat pada cermin muka beliau sendiri terlebih dahulu.

No comments: