Wednesday, December 17, 2008

JKKKP adalah pertubuhan haram

Setelah pilihanraya umum yang lalu, Pakatan Rakyat telah berjaya menguasai lima kerajaan negeri di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan.

Oleh kerana Pakatan Rakyat berjaya menjadi kerajaan di lima negeri tersebut, kesemua jentera pentadbiran peringkat akar umbi seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Penghulu yang sebelum ini dipegang oleh ahli-ahli daripada Umno, MCA, MIC, Gerakan dan PPP kini telah diisi dan digantikan pula oleh ahli-ahli daripada DAP, PKR dan PAS.

Akibat tidak puashati dengan pelbagai perubahan tersebut, pihak BN melalui kerajaan pusat telah membentuk JKKK Pusat (JKKKP) dan melantik Penghulu Pusat di setiap pelusuk kawasan di dalam negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat bagi mencabar kewibawaan JKKK dan Penghulu yang dilantik oleh kerajaan negeri-negeri tersebut.

Untuk makluman, JKKK adalah sebuah entiti dan badan yang dibentuk di bawah enakmen kerajaan negeri yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan adalah merupakan badan peringkat akar umbi yang sah dan diiktiraf.

Namun demikian, JKKKP pula adalah merupakan badan yang tidak sah dan haram di sisi undang-undang kerana JKKKP bukanlah sebuah badan yang dibentuk di bawah mana-mana undang-undang ataupun akta parlimen.

Oleh itu, apakah asas yang membawa kepada pembentukan JKKKP sebenarnya? Dan di bawah akta manakah kerajaan BN pusat mendapat kuasa untuk berbuat demikian? Melainkan jika kerajaan BN pusat dapat membuktikan bahawa JKKKP adalah badan yang sah di bawah sesuatu akta atau undang-undang parlimen, JKKKP akan tetap dianggap sebagai pertubuhan haram kerana ia dibentuk secara tidak sah, dan hanya diwujudkan semata-mata untuk menentang kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat negeri-negeri tersebut.

Perlantikan JKKKP dan Penghulu Pusat oleh BN sebenarnya hanya bertujuan untuk mencabar dan memberontak terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih oleh rakyat. Kerajaan BN pusat juga telah membazirkan jutaan Ringgit wang rakyat untuk dijadikan elaun bagi ahli-ahli JKKKP dan Penghulu Pusat yang dilantiknya.

No comments: