Adalah amat dukacita serta menyedihkan bahawa sehingga ke hari ini, walaupun Malaysia telah 51 tahun mencapai kemerdekaan dan perpaduan antara kaum telah mencapai suatu tahap yang membanggakan, namum masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang bencikan keamanan dan ingin melihat perpecahan kaum berlaku.
Setelah Mentri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan perlantikan Puan Loh Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), segelintir kakitangan perbadanan tersebut telah mengemukakan bantahan mereka terhadap perlantikan Puan Loh atas alasan beliau bukan berketurunan Melayu dan bukan Islam.
Apakah jenis alasan ini sebenarnya? Kenapa pula mereka membangkitkan soal perkauman dan agama sedangkan PKNS adalah merupakan sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan ekonomi dan sektor perindustrian di negeri itu. PKNS bukannya sebuah badan kerajaan yang mentadbir hal-ehwal keagamaan dan adat istiadat negeri.
Kakitangan PKNS yang membantah perlantikan Puan Loh harus menyedari bahawa kesalahan mereka adalah amat serius dan boleh dianggap memberontak terhadap kerajaan negeri. Apakah salahnya seseorang rakyat Malaysia yang berketurunan Cina diberi peluang untuk menjawat jawatan tinggi di dalam kerajaan? Malah Puan Loh adalah merupakan muka lama yang telah berpuluh tahun berkhidmat di dalam PKNS dan berdasarkan pengalamannya serta rekod prestasinya yang memberangsangkan, beliau harus diberi peluang untuk menerajui PKNS.
Kenapa pengalaman dan kepakaran Puan Loh harus dinafikan di dalam PKNS, hanya kerana beliau bukan berketurunan Melayu dan bukan Islam? Adakah kakitangan PKNS ini dihasut oleh pemimpin Umno di negeri itu untuk memporak-perandakan pentadbiran kerajaan negeri? Adakah Umno ingin melihat para kakitangan kerajaan negeri memberontak terhadap pemimpin kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat agar mereka dapat mengambil kesempatan daripada ketidakstabilan keadaan tersebut?
Sikap Umno yang hanya ingin meneruskan promosi perkauman, keganasan dan kebencian ala Neo Nazi untuk kepentingan politik mereka sendiri, jika tidak dibendung boleh mengakibatkan keharmonian kaum di negara kita tergugat.
Di manakah kematangan Umno setelah 51 tahun menerajui negara? Kenapakah mereka masih dengan sifat mereka yang kuno dan tidak bertamadun. Kenapa Umno masih ingin meneruskan budaya benci membenci bagi mencapai tujuan politik mereka? Apakah faedah benci membenci dan mengganasi lawan politik akan meningkatkan keagungan dan ketuanan mereka serta menakutkan rakyat jelata agar tunduk kepada kepimpinan mutlak mereka.
Umno masih ingin terus berMaha Kuasa dengan menggunakan kebencian dan kekerasan. Kegiatan mereka harus dibendung dengan segera.
No comments:
Post a Comment