Seperti yang telah kita ketahui, cadangan Akta DNA yang dikemukakan oleh kerajaan BN ini telah menerima tentangan bukan sahaja daripada parti-parti pembangkang, malah dari kalangan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga menyuarakan kebimbangan mereka mengenai keberkesanan akta tersebut untuk berada di sudut yang adil dan saksama.
Namun, kerajaan BN tetap dengan pendirian mereka untuk meneruskan pembentangan akta tersebut di parlimen untuk bacaan ketiga walaupun terdapat banyak kelemahan dari segi pengawalan, pengurusan, simpanan, pemindahan dan sebagainya.
Berikut adalah beberapa pendapat atau fakta yang cukup terbukti kebenarannya mengenai ketidaktelusan akta tersebut terhadap hak asasi kemanusiaan dan masyarakat.
Tiadanya fakta, perangkaan, dan rujukan yang menyeluruh dan berkesan: fakta dan perangkaan yang perlu bagi menjustifikasikan keperluan dan kepentingan akta tersebut tidak dikemukakan oleh kerajaan BN apabila cadangan undang-undang tersebut dibentangkan. Selain dari itu, kerajaan BN juga gagal berunding atau memperoleh pendapat daripada pihak-pihak yang berkepentingan dan pertubuhan hak asasi kemanusiaan mengenai cadangan akta tersebut.
Bukti DNA perlu lebih bertindak sebagai sebahagian acara yang menyokong dan bukannya acara tunggal yang konkrit: akta tersebut yang menyatakan bukti DNA adalah bukti yang mengukuhkan suatu kes dakwaan adalah jelas sekali menafikan sepenuhnya hak yang tertuduh untuk mendapatkan nasihat pakar undang-undang untuk menyoal kesahihan bukti DNA tersebut.
Selain itu, pihak kehakiman juga tidak mempunyai sumber dan ruang yang mencukupi bagi mengimbangi keputusan pengahakimannya kerana pada hakikatnya pihak pendakwa dan polis telahpun menetapkan hukuman ke atas tertuduh, tanpa pembelaan yang saksama dengan hanya berfaktakan satu bukti yang terbukti boleh dipersoal mengenai kesahihannya.
Akta DNA tersebut juga menimbulkan kesangsian terhadap pihak polis: Pihak polis tidak sepatutnya diberikan peranan yang meluas untuk menyelia atau menguruskan tabung DNA kerana ini akan menimbulkan kesangsian dan boleh dilihat sebagai berat sebelah. Kesangsian tersebut timbul kerana pihak polis juga berperanan sebagai penyiasat dan pendakwa. Di dalam keadaan ini, pihak pendakta telah mengambil-alih tugas hakim pada keseluruhannya bagi memastikan kesalahan itu diletakkan ke atas tertuduh.
Status tabung DNA yang bebas daripada politik akan senantiasa dipersoal kesahihannya: status tabung DNA sebagai sebuah badan bebas akan sentiasa dipersoal kedudukannya kerana menteri dalam negeri selaku ahli jemaah menteri telah diberi kuasa sepenuhnya ke atas tabung tersebut. Pengurus tabung tersebut juga dikawal selia secara terus oleh menteri dalam negeri. Jadi di manakah ketelusannya?
Tiada perlindungan berkesan ke atas hak keperibadian (privacy) seseorang: setahu kami, negara kita tidak mempunyai Akta Perlindungan Data dan hak keperibadian seseorang tidak termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.
Oleh yang demikian, kita semua tidak mempunyai hak keperibadian ke atas diri kita dalam negara ini. Dengan adanya tabung DNA tersebut, ia adalah bertentangan dengan prinsip kemanusiaan yang juga boleh mengakibatkan keperibadian kita dicabuli oleh pihak-pihak berkuasa pada bila-bila masa, jester menjurus kea rah sebuah negara polis.
Mekanisme dan teknologi yang digunakan untuk mengambil, menyimpan dan menguji contoh DNA tidak dikaji dengan teliti dan sepenuhnya mengenai keberkesanannya serta kesahihan yang dapat dijadikan bukti secara adil dan dapat diterima oleh semua pihak dari segi kemanusiaan.
Akta tersebut juga tidak mempunyai sebarang fasa yang menyebut pengawasan terhadap kemungkinan penyalahgunaan kuasa terhadap simpanan DNA, kegagalan atau kesilapan teknologi yang mungkin boleh berlaku.
Ketiadaan hokum tersebut di dalam Akta DNA itu juga boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa oleh orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan ke atas contoh-contoh DNA untuk tujuan yang menyalahi undang-undang, menganiayai pihak-pihak yang lemah, jesteru itu akan mengakibatkan seseorang tertuduh didapati bersalah tanpa menjalani perbicaraan yang adil dan saksama.
Klasifikasi contoh DNA adalah terlalu luas dan boleh menyebabkan seseorang tertuduh tidak dapat menjalankan kehidupan baru dan sempurna apabila selesai menjalani proses perbicaraan atau hukuman.
Setahu kami, contoh –contoh DNA boleh diambil daripada mana-mana bahagian badan seseorang dan sejauh mana keberkesanan jenis-jenis contoh DNA tidak dapat dibuktikan dengan jelas, contohnya darah, rambut, air liur, peluh atau air kencing dan sebagainya.
Tiada jaminan bahawa contoh-contoh dan data DNA akan dimusnahkan setelah suatu jangka masa yang tertentu kerana kuasa mutlak untuk berbuat demikian adalah bergantung kepada budibicara orang yang mengawal selia tabung DNA tersebut, iaitu menteri dalam negeri.
Oleh kerana itu, tiada jaminan yang berkesan yang boleh menunjukkan bahawa contoh-contoh DNA tersebut tidak akan dipendua (duplicate) atau diklonkan oleh pihak-pihak tertentu, kerana akta tersebut tidak menyebut kaedah atau sistem pengawasan yang boleh dipercayai sepenuhnya.
Tiadanya pengawasan dan mekanisme kerja bagi proses pemindahan contoh DNA: Akta tersebut langsung tidak menyebut mekanisme kaedah pengurusan, pemindahan dan penyimpanan contoh-contoh DNA. Tidak ada langkah-langkah pencegahan penyalahgunaan contoh-contoh untuk tujuan-tujuan yang tertentu yang boleh menganiayai seseorang yang tidak bersalah.
Apa yang kita dapati sekarang ialah kerajaan BN berkeras ingin menyegerakan pembentangan dan kelulusan Akta DNA tersebut bagi membolehkan mereka mengambil tindakan susulan terhadap Penasihat PKR dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tindakan yang terburu-buru ini jelas menunjukkan bahawa langkah yang diambil kerajaan BN tersebut adalah bermotifkan politik yang berat sebelah. Oleh yang demikian, Akta DNA ini tidak akan membawa sebarang kebaikan pada jangka masa yang panjang, melainkan jika terdapat akta-akta atau fasa-fasa susulan yang dapat melindungi hak asasi kemanusiaan seseorang yang dapat diterima oleh semua pihak, dengan ditambah pula dengan langkah-langkah pengawasan sumber tersebut secara bebas dan profesional.
No comments:
Post a Comment