Monday, October 6, 2008

Kepala Batas Kecundang Bersama Pak Lah

Nampaknya Pak Lah akan kecundang dalam masa yang terdekat lagi berikutan daripada tekanan daripada timbalannya dan ahli-ahli majlis tertinggi Umno baru-baru ini dan sekiranya ianya benar-benar berlaku, Pak Lah akan mencipta sejarah perdana menteri pertama yang hanya bertahan satu penggal penuh.

Berikutan dengan kejatuhan Pak Lah yang semakin tidak dapat dielakan lagi, projek metropolitan Kepala Batas di mana beliau adalah ahli parlimen kawasan tersebut dijangka akan turut sama kecundang. Para pelabur dan peniaga akan memindahkan kepentingan mereka keluar daripada kawasan tersebut ekoran nilai hartanah dan peluang pelaburan di kawasan tersebut menjadi semakin tidak menentu.

Akibat daripada itu, pembangunan di kawasan itu akan tinggal bagaikan gajah putih. Pembaziran wang rakyat (yang juga pembayar cukai) akan berlaku kerana keyakinan terhadap kepimpinan Pak Lah telah tiada lagi, dan pada masa yang sama ketiadaan perancangan yang teliti kerana projek-projek prasarana tersebut yang dilaksanakan tanpa usul periksa yang mendalam dengan hanya bergantung kepada kedudukan dan pengaruh politik Pak Lah sebagai perdana menteri semata-mata.

Daripada pemerhatian terhadap kawasan tersebut, dapat kita melihat kebanyakan rancangan pembangunan dan pembinaan bangunan-bangunan pejabat kerajaan yang mewah dilaksanakan hanya semata-mata untuk menaikkan imej kawasan tersebut bagi meraih sokongan dan bantuan daripada Pak Lah untuk meningkatkan keuntungan dan kepentingan beberapa pihak. Inilah sikap kronisme yang kian membebankan rakyat jelata.

Misalannya, ibupejabat polis daerah Seberang Perai Utara yang dahulunya terletak di tengah-tengah Bandar Butterworth di mana majoriti penduduk Seberang Perai Utara bertumpu telah dipindahkan ke kawasan Kepala Batas yang agak terpencil. Pemindahan ibupejabat polis tersebut ternyata telah membebankan penduduk yang ingin atau sering berurusan dengan pihak berkuasa tersebut.

Begitu juga dengan pejabat daerah dan tanah Seberang Perai Utara yang turut dialihkan ke Kepala Batas atas alasan pembangunan yang memerlukan pemantauan di kawasan tersebut.

Selain daripada itu, Hospital Kepala Batas yang pada mulanya dirancang untuk dijadikan sebuah pusat rawatan dan perubatan alternatif kepada Hospital Seberang Jaya yang semakin sesak kini telah menjadi hanya suatu mimpi atau impian kosong semata-mata, apabila Hospital Kepala Batas masih tidak dapat memberikan khidmatnya secara menyeluruh kepada penduduk Kepala Batas dan masih merujuk sebahagian besar pesakitnya ke Hospital Seberang Jaya yang senantiasa sesak pada setiap hari, atas alasan kekurangan pegawai dan pakar perubatan yang berpengalaman.

Bandar Butterworth yang mempunyai penduduk paling ramai di daerah Seberang Perai Utara telah dipencilkan daripada segala bentuk kemudahan bagi memberikan laluan kepada kawasan Kepala Batas oleh kerana ahli parlimen kawasan itu adalah seorang perdana menteri.

Selain ibupejabat polis daerah, pejabat daerah dan tanah, dan hospital Kepala Batas, terdapat juga projek-projek mewah yang lain yang telah atau sedang dibangunkan dijangka akan hanya membazirkan sahaja kerana kebanyakannya dilaksanakan tanpa perancangan yang teliti dan penilaian jangka panjang serta akibatnya tidak dibuat. Hampir kesemua projek di kawasan Kepala Batas tersebut adalah dikaitkan dengan politik Umno bahagian itu semata-mata bagi memberikan keuntungan berlipat-ganda kepada para pemimpin utama Umno bahagian tersebut. Segala projek prasarana yang ada akan berkurangan setelah Pak Lah meninggalkan Putrajaya kelak.

Tambah pula, kesungguhan Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim untuk melobi pembatalan beberapa projek utama di negeri ini juga ternyata telah memberikan kesan yang negatif dan menyebabkan para pelabur dan peniaga kurang yakin dengan keadaan di negeri ini.

Nampaknya Umno Pulau Pinang akan termakan dirinya sendiri oleh kerana perbuatan beberapa orang pemimpinnya. Tetapi hasilnya ialah rakyat terpaksa menanggung akibatnya.

No comments: