Setelah MCA kecundang di dalam pilihanraya yang lalu, para pemimpin kanannya mula mempersoalkan keperkasaan serta dominasi Umno di dalam Barisan Nasional yang selama ini tidak pernah dicabar oleh mana-mana parti komponen BN.
Malah MCA semakin lantang dan berani menuntut jawatan timbalan pengerusi BN secara terbuka. Kelantangan MCA dan Gerakan yang kian menonjol ini telah menyebabkan Umno semakin bimbang dengan kedudukannya yang tergugat.
Lantas daripada itu, para pemimpin Umno khususnya daripada kalangan peringkat akar umbi mula menggesa pucuk pimpinan pusat agar mengambil tindakan terhadap mereka-mereka yang mempersoalkan isu "ketuanan" mereka.
"Ketuanan" yang Umno perjuangkan selama ini sebenarnya adalah kepentingan diri para pemimpin mereka. Para pemimpin Umno ini apabila terasa kedudukan mereka tergugat akan segera melaungkan slogan "ketuanan" mereka bagi menarik sokongan masyarakat mereka yang kebanyakan tidak sedar yang mereka ini telah dipergunakan sewenang-wenangnya.
Rakyat dan masyarakat kita harus menyedari bahawa permainan isu-isu "ketuanan" ini haruslah ditamatkan dengan segera, oleh kerana perbuatan mereka ini sekiranya dibiarkan berterusan akan memudaratkan keselamatan negara kita, rakyat kita, anak-anak kita serta masa depan ekonomi negara kita pada keseluruhannya.
Jesteru itu, kita harus membuat keputusan ini dengan seberapa segera yang boleh bagi menamatkan ancaman ini dan memelihara nilai keharmonian masyarakat kita.
No comments:
Post a Comment