Monday, November 10, 2008

Pengundi Hantu

Ketika pilihanraya umum yang lalu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) beserta dengan Umno dan Barisan Nasional seringkali menafikan kewujudan pengundi hantu yang diwujudkan oleh mereka bagi memperolehi menambah undi di sesuatu kawasan yang tertentu.

Tetapi pada hari ini, ketika mesyuarat agung pemilihan di dalam Umno pada peringkat cawangan dan bahagian, kewujudan pengundi hantu di dalam parti mereka memang tidak dapat dinafikan. Ini adalah kerana para pemimpin Umno peringkat cawangan dan bahagian sendiri telah mengakui bahawa pengundi hantu sememangnya wujud di cawangan dan bahagian mereka setiap kali mesyuarat agung pemilihan parti bermula.

Kewujudan pengundi hantu di dalam Umno ini adalah bertujuan untuk membantu para pemimpin tertinggi Umno yang tertentu dalam menguasai bahagian-bahagian bagi menghasilkan pencalonan yang mencukupi untuk melayakkan mereka bertanding kerusi di dalam majlis tertinggi parti.

Dengan kewujudan pengundi hantu di dalam Umno ini yang semakin berleluasa, para pemimpin Umno tempatan dan peringkat akar-umbi yang semakin merasa bahangnya atau tidak tahan dianiayai dengan kekalahan demi kekalahan telah secara terbuka mengakui bahawa gejala tidak sihat ini sememangnya tidak dapat dinafikan kewujudannya.

Malah sesetengah pemimpin bahagian atau cawangan yang kalah di dalam pemilihan mereka telah membawa perkara atau mengadu kepada jawatankuasa disiplin Umno peringkat kebangsaan untuk diadili. Setakat ini jawatankuasa disiplin Umno telah menerima lebih daripada 600 aduan sedemikian dan hanya sebilangan kecil sahaja aduan atau dakwaan tersebut dapat diadili. Yang selebihnya tidak dapat dilaksanakan tindakan oleh kerana untuk member laluan kepada para pemimpin tertinggi yang tertentu.

Jadi, aduan demi aduan oleh ahli-ahli Umno yang tidak berpuashati dengan gejala tersebut berterusan sehinggalah pada perhimpunan agung parti yang akan datang pada bulan Mac tahun hadapan.

Apabila pilihanraya umum diadakan Umno dan Barisan Nasional (BN) membawa pengundi hantu dari kawasan ke kawasan tertentu bagi tujuan menambah jumlah undi, pihak SPR menafikan sekeras-kerasnya dengan mengatakan “hantu” tidak boleh mengundi pada hakikatnya. Akan tetapi, apabila mesyuarat agung pemilihan Umno diadakan dan para pemimpin Umno membawa pengundi hantu dari negeri lain masuk ke negeri yang lagi satu bagi membantu mereka menguasai bahagian-bahagian Umno yang tertentu, ahli-ahli Umno mengakui secara terbuka bahawa pengundi-pengundi hantu memang wujud di dalam parti mereka.

Maknanya, “hantu” memang wujud di dalam Umno secara beramai-ramai untuk mengundi bagi pihak pemimpin-pemimpin tertinggi Umno yang tertentu. “Hantu” yang wujud di dalam Umno ini adalah kerana kegiatan politik wang yang berleluasa yang telah tidak dapat dikawal lagi.

Pada definasi politik yang sebenarnya, pengundi hantu memang wujud di dalam Umno oleh kerana politik wang berleluasa di dalam parti tersebut. Oleh itu, Umno tidak boleh menafikan bahawa “barah” yang terdapat di dalam parti mereka ini telah hilang kawalan dan tidak dapat diubati lagi.

Jadi kenapa SPR berkali-kali menafikan definasi ini sedangkan Umno sendiri telah mengakuinya?

No comments: