Apa yang kita ketahui pada hari ini, Umno sejak kebelakangan ini asyik mengaitkan rumpun dan bangsa Melayu dengan partinya dan sering menyatakan bahawa sekiranya tidak ada Umno, maka rumpun dan bangsa Melayu tidak akan berada di negara ini.
Tujuannya Umno mengatakan demikian adalah untuk memastikan agar Umno terus wujud dan relevan di negara ini dan hanya dengan adanya Umno maka rumpun dan bangsa Melayu akan terus wujud. Kewujudan kenyataan ini untuk menakut-nakutkan rumpun dan bangsa Melayu demi mencapai tujuan politik mereka sendiri ini adalah keterlaluan dan boleh memudaratkan keselamatan di dalam negara kita ini sekiranya ianya tidak dibendung dengan sewajarnya.
Sebenarnya rumpun dan bangsa Melayu, seperti juga rumpun dan banga yang lain telah pun wujud di dunia ini sejak berkurun abad yang lalu di mana pada masa itu Umno tidak pun wujud.
Oleh itu, Umno tidak berhak mengatakan bahawa rumpun dan bangsa Melayu itu adalah milik ataupun haknya. Umno tidak berhak langsung untuk memiliki rumpun dan bangsa Melayu kerana masyarakat Melayu itu, sepertimana masyarakat yang lain wujud dengan identitinya dan tradisinya yang tersendiri dan bukannya dicipta atau diwujudkan oleh Umno.
Umno sebenarnya adalah merupakan sebuah pertubuhan politik yang biasa, seperti mana-mana parti politik lain yang terdapat di negara ini dan serata dunia. Umno sebenarnya hanya sebuah pertubuhan yang ingin mewakili sesuatu masyarakat seperti MCA dan MIC yang cuba mewakili masyarakat Cina dan India.
Jadi, untuk mencapai tujuan tersebut, Umno perlu menunjukkan kepada masyarakat Melayu bahawa mereka masih relevan dan boleh membantu kaum tersebut untuk mara ke hadapan untuk menghadapi arus pembangunan di dunia ini. Adalah salah dari segi tamadun dan kemanusiaan untuk mengatakan bahawa masyarakat Melayu dimiliko oleh Umno dan jika tidak ada Umno, maka masyarakat Melayu pun tidak ada. Kenyataan sebegini adalah tidak betul sama sekali dan langsung tidak masuk akal.
Terdapat ramai orang-orang Melayu di negara ini dan di rantau-rantau yang lain yang tidak mengenali apa itu Umno dan langsung tidak menjadi ahli Umno. Yang ramai di antara orang-orang Melayu ketahui pada hari ini adalah hanya kewujudan keSultanan Melayu yang berkekalan berkurun lamanya dan simbol keSultanan Melayu yang mempertahankan rumpun dan bangsa Melayu adalah tidak dapat dinafikan.
Jadi, Umno juga tidak berhak mengantikan peranan Raja-Raja Melayu dengan politiknya sewenang-wenangnya. Jika Umno ingin berada di atas Raja-Raja Melayu, itulah disebut derhaka sebenarnya, kerana tujuan dan agenda politik ketuanan mereka yang telah melampaui batas dan cuba mengetepikan Raja-Raja Melayu.
Oleh yang demikian, masyarakat kita yang berbilang kaum, khususnya orang-orang Melayu perlu memahami dengan lebih mendalam dan perbezaan di antara rumpun Melayu dan parti Umno. Perlu diingatkan bahawa Orang-orang Melayu bukanlah Umno dan Umno bukanlah Melayu. Umno hanya sebuah pertubuhan politik yang biasa. Orang-orang Melayu semuanya adalah tuannya sendiri dan berhak untuk memilih dan memasuki mana-mana parti politik yang difikirkan bersesuaian dengan kehendak dan fahamannya.
No comments:
Post a Comment