Monday, November 17, 2008

Hubungan erat mat rempit dengan Putera Umno

Sebagaimana yang telah kita ketahui, sejak dari dahulu lagi, kepimpinan Putera Umno sering mendampingi kumpulan-kumpulan mat rempit yang sering berlumba haram dan bermaharajalela di jalanraya di seluruh Negara dengan alasan ingin mengubah corak hidup mereka dan mengembalikan mereka ke pangkuan masyarakat.

Akan tetapi adalah amat mendukacita apabila mendapati kepimpinan Putera Umno ini sebenarnya telah mempergunakan kumpulan mat rempit tersebut bagi tujuan politik mereka, dengan menugaskan mereka untuk menjalani kegiatan-kegiatan gangguan dan ancaman ke atas ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti Pakatan Rakyat khususnya.

Sebagai balasan atau membalas budi, Putera Umno telah menaja dan membawa kumpulan-kumpulan mat rempit tersebut melancong dan bercuti ke luar negeri sebagai suatu aktiviti penggalak bagi “memulakan hidup baru”. Setelah mereka kembali ke tanahair, adakah kumpulan-kumpulan mat rempit ini telah benar-benar bertaubat dan meninggalkan kegiatan-kegiatan mereka yang melanggari undang-undang? Adalah budak-budak bermotosikal ini telah benar-benar insaf dan ingin kembali ke pangkuan keluarga mereka dan masyarakat?

Yang kita fahami, sekembalinya kumpulan-kumpulan mat rempit ini daripada “kursus pemulihan” di luar Negara, mereka ini telah menjadi semakin berani, ganas dan ghairah di dalam memastikan kewujudan mereka akan bekekalan di jalanraya. Pelbagai kejadian jenayah serius seperti kes ragut, rompak, samun dan tidak kurang pula bunuh dilapor telah dilakukan oleh golongan mat rempit ini.

Malah di dalam pilihan raya umum yang lalu, golongan tersebut sering digunakan oleh parti memerintah untuk mengasari ahli-ahli dan penyokong Pakatan Rakyat yang sedang menjalankan kempen mereka dengan bersungguh-sungguh.

Tidak kurang daripada itu, golongan mat rempit ini juga telah diupah dan diarah untuk membuat kacau dan menghuru-harakan keadaan sewaktu pilihanraya kecil di kawasan Parlimen Permatang Pauh. Mereka dibayar dengan begitu lumayan sehingga ada di antara mat rempit tersebut sanggup bertindak kejam dan membahayakan keselamatan penduduk di kawasan tersebut. Apabila mereka mereka ditahan dan disoal siasat oleh polis, mereka ini akan menunjukkan kad keahlian Putera Umno mereka agar dibebaskan.

Kumpulan-kumpulan mat rempit ini yang sering digunakan sebagai “pasukan pengempur” oleh Putera Umno dan kepimpinan parti tersebut telah menjadi semakin liar dan bertindak diluar kawalan dengan kegiatan jenayah seperti mencuri, meragut, merompak adakala yang telah menyebabkan kematian mangsa.

Cara yang digunakan untuk menakut-nakutkan atau memberikan satu keadaan yang menakutkan kepada masyarakat dan akar-umbi yang telah mengundi Pakatan Rakyat jelas menunjukkan bahawa Umno beriktiar untuk membalas dendam terhadap kekalahan mereka di dalam pilihanraya umum yang lalu. Umno masih enggan insaf dengan segala bentuk kesalahan mereka. Umno masih dengan sifat dan gaya kepimpinan mereka yang lebih menonjolkan sifat-sifat yang ekstremis, ganas dan mengagung-agungkan konsep ketuanan mereka meninggikan darjat dan kedudukan mereka daripada masyarakat lain.

Dan Umno yang ada pada hari ini akan musnah dijilat apinya sendiri di suatu hari nanti, kerana ketuanan mereka yang keterlaluan secara sendirinya telah menolak semangat perpaduan yang sangat dititik-beratkan oleh Pakatan Rakyat.

Gaya dan kepimpinan ala Nazi sebegini yang ditonjol oleh Umno adalah merbahaya dan harus ditolak sekaligus bagi menjamin perpaduan antara kaum di negara ini berkekalan.

No comments: