Di dalam mengharungi pelbagai halangan dan rintangan politik di negara kita ini, tajuk perkauman masih menjadi bahan kempen dan bualan semasa oleh beberapa pemimpin parti politik yang memerintah khususnya BN dan Umno walaupun mereka giat mengia-iakan perlunya dan pentingnya perpaduan kaum dijalin dengan lebih erat.
Apakah tujuan dan matlamat mereka sebenarnya? Sekejap menekankan perpaduan kaum dan sekejap lagi menekankan perlunya memelihara kepentingan satu kaum dan memperkasakan dasar Ketuanan mereka ke atas kaum lain. Adakah mereka ini benar-benar jujur di dalam lafaz perpaduan mereka?
Dan apabila cadangan untuk merangka dan membentangkan Akta Perhubungan Kaum diketengahkan tahun lalu, para pemimpin parti pemerintah khususnya Umno mula membisu dan seterusnya secara perlahan-lahan memansuhkan usaha tersebut tanpa disedari oleh kebanyakan kita.
Para pemimpin Umno sedar bahawa sekiranya Akta Perhubungan Kaum tersebut dikuatkuasakan, ianya akan memakan diri mereka yang kebanyakan masih berpegang kuat kepada idea-idea serta fahaman perkauman dan ketuanan yang kolot dan ketinggalan zaman. Ya, memang betul, sekiranya Akta tersebut benar-benar dikuatkuasa pada masa itu, sudah ramai pemimpin Umno telah merengkok di dalam penjara sekarang oleh kerana pemikiran dan tindakan perkauman mereka yang mengancam ini.
Untuk memastikan perpaduan kaum di negara kita ini benar-benar terjalin dan diperlihara, akta tersebut perlulah diketengahkan dengan segera. Dan di dalam mengetengahkan Akta tersebut, kesemua aspek yang menyentuh perkauman seperti parti-parti politik yang berasaskan satu kaum, dasar-dasar pendidikan serta pembangunan yang berasaskan keistimewaan satu kaum, program-program kerajaan yang hanya mengutamakan satu kaum perlu dihapuskan dengan segera tanpa perlu memikirkannya atau mengkajinya semula. Ianya perlu dilaksanakan tanpa was-was.
Dan jika sekiranya kesemua lapisan masyarakat di negara kita ini benar-benar “sporting” dan percaya kepada perpatah “kejayaan atas keusahaan sendiri” daripada suka bergantung kepada bantuan atau subsidi, sudah tentunya tidak menjadi masalah untuk Akta tersebut dikuatkuasakan melainkan ada parti-parti politik yang akan bertindak menentang pengubalan Akta tersebut kerana takut kehilangan kuasa dan monopoli politik dan perniagaan mereka kepada pihak lain, kerana selama ini mereka berselindung dan bersembunyi di bawah paying dasar perkauman mereka sendiri.
Oleh itu, selagi ada Umno atau BN, selagi itulah perpaduan antara kaum akan hanya tinggal perbualan sahaja. Jika sekiranya Umno atau BN masih asyik membuka pekung dada mereka dengan melafazkan perpaduan mereka, kita akan hanya bergelak ketawa dan memusing kepala kita.
Janganlah kita membuang masa mendengar usaha-usaha mereka untuk “menyatupadukan” rakyat, kerana perpaduan di dalam Umno dan BN itu sendiri pun tidak dapat dikecapi dengan sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment