Sunday, January 2, 2011

Isu SUK: Khalid dakwa KSN tak hormati fungsi MB, sabotaj Selangor

Oleh G.Manimaran

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau kesal kerana Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang didakwanya sengaja membelakangkan proses pemilihan yang telah ditetapkan bagi memilih Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

“Pemilihan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Ketua Setiausaha Negara telah mengabaikan proses pemilihan mengikut Nota Amalan Perkhidmatan Awam yang menyatakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri perlu mendapatkan nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mengikut pengumuman Sidek Isnin lalu, pelantikan Khusrin berkuat kuasa hari ini dan akan mengangkat sumpah 6 Januari.

“Proses pemilihan itu memerlukan Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri mengemukakan calon yang sesuai bagi mengisi jawatan berkenaan dan mendapatkan kelulusan Menteri Besar sebelum diserahkan kepada Sultan Selangor untuk diperkenan.

“Selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri memanjangkan nama calon berkenaan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam peringkat pusat untuk proses dokumentasi pelantikan,” kata Khalid lagi.

Sehubungan itu tegas Khalid, kerajaan negeri Selangor telah mengambil langkah sewajarnya dengan membentuk sebuah jawatankuasa khas diketuai Speaker Dewan Negeri Selangor Datuk Teng Chang Khim untuk menemu duga kesemua lapan calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

Hasilnya menurut Khalid, jawatankuasa tersebut telah memilih tiga calon terbaik berdasarkan jasa-jasa mereka selain kriteria yang diperlukan bagi mengisi jawatan strategik dan paling kanan dalam pentadbiran awam kerajaan negeri Selangor.

“Ketika mengumumkan pelantikan Datuk Khusrin, Ketua Setiausaha Negara bukan saja membelakangkan Menteri Besar, malah mengabaikan proses pemilihan calon berdasarkan kredibiliti, kemampuan dan pengalaman,” kata Menteri Besar.

Menurut Khalid lagi, tindakan Sidek bukan sahaja melanggar Perlembagaan, malah tidak bertanggungjawab dan tidak profesional.

“Malah boleh dianggap bermotifkan politik, sebagai salah satu usaha untuk mencabar kredibiliti kerajaan Pakatan Rakyat Selangor,” kata Khalid (gambar).

“Lebih merungsingkan saya, tindakan Tan Sri Mohd Sidek tersebut telah menghantar mesej yang tidak sihat iaitu kemampuan dan pengalaman bukan keutamaan dalam mempromosikan kenaikan pangkat pegawai kerajaan.

“Mesej ini sangat bahaya apatah lagi sememangnya perkhidmatan kerajaan acap kali dikritik sebagai tidak efisyen,” kata beliau lagi.

Khalid memberikan kenyataan rasmi bertulis kedua dalam seminggu ini ketika pakar perundangan dan perlembagaan berpendapat bahawa pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Pakar-pakar perlembagaan berhujah upacara Khamis depan itu sebagai “tidak sah” memandangkan perlembagaan negeri menyebut bahawa upacara seumpama itu perlu dilaksanakan di hadapan Menteri Besar bukannya Sultan Selangor.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Peguam veteran Karpal Singh berkata, perkembangan itu boleh membawa kepada krisis perlembagaan kerana ia tidak selari dengan perlembagaan negeri.

“Sultan perlu mendapatkan nasihat perundangan daripada penasihat undang-undang negeri sebelum majlis angkat sumpah diteruskan.

“Dalam perkara-perkara macam ini, Sultan bertindak atas nasihat Eksekutif, Tuanku tidak boleh bertindak sendirian. “Perkara yang dikhuatiri ialah jika majlis itu diadakan, ia boleh diisytihar sebagai tidak sah oleh mahkamah,” kata beliau kepada The Malaysian Insider semalam.

Dalam pada itu, pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari juga menyifatkan majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor sebagai “amalan baru” yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Pada pengetahuan dan pengalaman saya ini kali pertama majlis angkat seumpama diadakan, walaupun saya berpendapat ia hanya satu majlis rasmi semata-mata dan tidak diperlukan,” kata beliau.

Menurut beliau, tiada peruntukan dalam perlembagaan negeri Selangor yang memerlukan pegawai-pegawai kanan negeri mengangkat sumpah di hadapan sultan.

Dalam kenyataan pertama, Khalid berkata pelantikan Khusrin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

No comments: