Wednesday, April 22, 2009

Rampasan kuasa ketiga di Perak

Seperti yang dilaporkan dalam Malaysiakini baru-baru ini, menteri besar kerajaan pemberontak Dr Zambry Abd Kadir telah mengumumkan bahawa persidangan dewan undangan negeri akan diadakan pada 7 Mei depan.

Persidangan dewan undangan negeri yang dijangka akan diadakan pada bulan hadapan ini adalah merupakan satu lagi siri rampasan kuasa yang didalangi oleh kerajaan pemberontak negeri yang diterajui oleh Umno. Kali ini mereka merancang untuk merampas kuasa daripada Speaker dewan V.Sivakumar.

Difahamkan bahawa Sivakumar langsung tidak dimaklumkan mengenai rancangan dewan undangan negeri untuk bersidang pada 7 Mei depan, malah beliau juga tidak dimaklumkan melalui notis, dokumentasi, pengurusan kerana menteri besar kerajaan pemberontak tersebut telah mengetepikan beliau dan Dr Zambry sendiri telah bertindak sebagai “speaker”.

Tindakan Dr Zambry ini jelas telah membelakangi dan menghina perlembagaan negeri. Sebaliknya beliau memerintahkan setiausaha dewan untuk menguruskan persidangan dewan tersebut. Adakah ini sah dari segi perlembagaan dan amalan demokrasi? Langsung tidak kerana hak Sivakumar sebagai seorang Speaker dewan telah dinafikan sepenuhnya oleh kerajaan pemberontak pimpinan Umno.

Selain daripada itu, adalah dipercayai bahawa “persidangan dewan undangan” yang didalangi oleh Umno ini telah merancang untuk mengusir Sivakumar daripada kedudukannya dengan cara yang tidak sah. Sebab itulah, kita anggap tindakan Umno tersebut sebagai rampasan kuasa yang ketiga.

Rampasan kuasa kedua yang lalu berlaku apabila Speaker dewan Sivakumar ingin memanggil persidangan dewan undangan negeri diadakan bagi membincang dan menyelesaikan krisis politik negeri secara demokratik tetapi rancangan mereka untuk bersidang telah dihalang apabila Umno Perak menggerakan para penyokong radikalnya dengan bantuan pasukan keselamatan persekutuan merampas dan mengunci bangunan dewan undangan negeri sebagai langkah untuk menghalang terus ahli-ahli dewan undangan negeri daripada bersidang secara sah.

Dan kita semua tahu apa yang telah berlaku pada rampasan kuasa yang pertama yang juga didalangi oleh Umno. Apabila tiga orang ahli dewan undangan negeri daripada Pakatan Rakyat mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil bebas, ahli-ahli dewan undangan negeri Umno mengambil kesempatan tersebut dengan menganjurkan “sidang dewan undangan negeri” mereka di Ibupejabat Umno Perak yang turut dihadiri oleh tiga wakil bebas tersebut. “Sidang dewan undangan negeri” tersebut dipengerusikan oleh Najib Razak yang bertindak sebagai “speaker dewan” kerana mereka tidak mahukan Sivakuar menjejak kakinya ke dalam Ibupejabat Umno Perak. Hasil daripada “sidang dewan undangan negeri” mereka di Ibupejabat Umno Perak, satu usul tidak percaya terhadap kerajaan negeri yang sah pimpinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin telah diluluskan dan akibat daripada itu kerajaan negeri tersebut telah digulingkan dengan begitu sahaja.

Tindakan Umno ini jelas tidak demokratik dan telah menghina keseluruhan sistem demokrasi dan hak rakyat di negeri tersebut. Pertama, Umno telah menganjurkan “sidang dewan undangan negeri” mereka di Ibupejabat Umno Perak dan tidak pula adakan di bangunan dewan undangan negeri. Ini jelas telah melanggari undang-undang tubuh negeri. Kedua, “sidang dewan undangan negeri” mereka di Ibupejabat Umno Perak itu bukannya dipengerusikan oleh Speaker dewan yang sebenarnya tetapi oleh Najib selaku ketua badan perhubungan Umno negeri Perak. Ini adalah merupakan satu malapetaka yang amat besar, ketua badan perhubungan Umno negeri Perak telah merampas kedudukan dan hak Speaker dewan. Yang ketiga, Umno telah mengerahkan pasukan keselamatan persekutuan yang dikuasainya untuk menyokong rampasan kuasa tersebut dan menghalang pelbagai usaha oleh pemimpin kerajaan negeri yang digulingkan tersebut daripada memohon menghadap Sultan Perak untuk menjelaskan perkara tersebut dengan lebih terperinci.

Demokrasi kini terkubur dengan begitu sahaja di negeri Perak oleh kerana perbuatan Umno di negeri tersebut. Yang memerintah negeri tersebut sekarang adalah sebuah Kerajaan Pemberontak yang diterajui oleh Umno.

Ikutilah blog versi Bahasa Inggeris kami.

No comments: