Kami difahamkan satu laporan polis telah dibuat terhadap setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming oleh presiden Badan Bertindak Perpaduan Melayu Osman Abu Bakar yang juga seorang ahli Umno.
Osman mendakwa Nga telah mempersendakan Islam dengan menyebut ayat Al-Quran daripada Surah Al-A’raf di dalam kempen pilihanraya kecil di Changkat Jering baru-baru ini.
Apa salahnya Nga menyebut suatu Surah daripada Al-Quran sebagai satu bimbingan dan rujukan? Biarpun sekiranya beliau tidak menyebutnya secara tepat ini tidak bermakna beliau menghina atau mempersendakan Islam.
Tindakan yang dilakukan oleh Osman Abu Bakar jelas berbau politik, kerana motifnya adalah untuk membangkit kemarahan umat Islam dan perbalahan kaum yang dapat memberikan manfaat kepada Umno jika sekiranya berlaku sebarang rusuhan dan darurat diistyiharkan.
Malah menurut Mursyidul Am PAS yang juga Mentri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat, orang-orang bukan Islam boleh menyebut sebarang Surah daripada Al-Quran sebagai rujukan hidup ataupun sewaktu memberikan sesuatu ucapan dan itu tidak salah.
Yang bersalah sebenarnya di sini adalah Osman sendiri kerana beliaulah yang mempersendakan Islam dengan mempolitikkannya melalui laporan polis yang dibuat agar ianya dapat memberikan manfaat politik kepada Umno. Itulah hakikatnya.
Dari segi ketuanan Umno, semua pemimpinnya berhak mempersendakan agama dan kaum-kaum yang lain, tetapi apabila ada orang yang mengkritik parti tersebut ianya dikira sama seperti mempersendakan kaum Melayu dan agama Islam.
Dan jika seseorang itu cuba menggunakan suatu Surah daripada Al-Quran sebagai rujukan dan contoh kebaikan, Umno akan mengatakan orang itu menghina dan mempersendakan Islam walaupun orang itu berniat baik dan menggunakan suatu Surah sebagai contoh dan bimbingan. Tindakan demikian tidak adil.
Kita masih ingat seorang pemimpin Umno Pulau Pinang telah menghina agama Buddha dengan mempersendanya sebagai suatu agama yang mempunyai taraf yang rendah. Pemimpin Umno itu adalah Shabudin Yahya, ahli dewan undangan negeri Permatang Berangan.
Di dalam ketuanan Umno, mereka semua kebal dan berhak menghina dan mempersenda sesiapa sahaja sesuka hati mereka dan sekiranya sesiapa yang cuba memperbetulkannya, Umno akan menganggap ianya mengancam seluruh rumpun dan bangsa Melayu.
No comments:
Post a Comment