Khabar daripada Malaysiakini baru-baru ini, Umno ingin menggempur negeri-negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat ekoran daripada rombakan besar-besaran terhadap kepimpinan Umno negeri-negeri baru-baru ini. Adakah ini benar-benar menggempurkan?
Daripada pengumuman perlantikan ketua-ketua perhubungan Umno negeri, kami dapati sebenarnya pucuk pimpinan Umno telah menggempur dirinya sendiri. Selain daripada itu, percakaran, persaingan dan permusuhan di antara para pemimpin tertinggi dalam Umno adalah juga amat jelas walaupun mereka sering menafikan berlakunya pergeseran tersebut.
Ramai daripada ketua-ketua perhubungan Umno negeri yang baru dilantik juga bukannya dilantik daripada kalangan pemimpin tempatan. Nampaknya para pemimpin tempatan parti tersebut telah diketepikan sekaligus ataupun oleh kerana para pemimpin tempatan sering bertelingkah sesame sendiri dan tidak ada perpaduan di dalam parti sehingga pemimpin dari luar terpaksa dilantik untuk menerajui badan-badan perhubungan negeri.
Kita tengok, naib presiden Datuk Zahid Hamidi dari negeri Perak telah dilantik menerajui badan perhubungan Umno Pulau Pinang, sekaligus telah mengetepikan setiausaha Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim yang pada mulanya disebut-sebut untuk menduduki tempat tersebut.
Timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dari negeri Johor pula dilantik untuk mengepapai badan perhubungan Wilayah Persekutuan menggantikan ketua badan perhubungan yang terdahulu Datuk Zulhasnan Rafique, manakala naib presiden Datuk Mohd Shafie Apdal dari negeri Sabah menjadi ketua badan perhubungan Umno negeri Kedah menggantikan orang kuat Umno negeri tersebut Datuk Mahadzir Khalid.
Seorang lagi naib presiden Datuk Hishammuddin Hussein juga dari negeri Johor dilantik untuk mengetuai badan perhubungan Umno negeri Terengganu dengan mengetepikan menteri besar Datuk Ahmad Said yang sepatutnya menduduki tempat tersebut. Ini adalah kerana permusuhan di antara Datuk Ahmad dan seterunya Datuk Idris Jusoh tidak dapat diredakan dengan sepenuhnya.
Di Perlis pula, menteri besar Datuk Md Isa Sabu berjaya merampas kedudukan sebagai ketua perhubungan negeri daripada bekas menteri besar Datuk Shahidan Kassim yang selama ini telah melobi agar kedudukannya dikekalkan oleh pucuk pimpinan pusat. Berikutan itu, pertelingkahan di antara dua puak di Perlis dijangka akan bertambah sengit oleh kerana Datuk Shahidan masih mempunyai pengaruh yang sama kuat dengan Datuk Md Isa.
Presiden parti Datuk Najib Razak yang berasal dari Pahang pula melantik dirinya untuk mengetuai badan perhubungan negeri Selangor dengan mengetepikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Dr Mohd Khir Toyo yang masih mempunyai pengaruh yang luas di Umno negeri tersebut.
Manakala Datuk Mohd Ali Rustam yang telah didapati bersalah melakukan rasuah dan politik wang oleh lembaga disiplin Umno dan ditegah daripada bertanding jawatan timbalan presiden parti telah dilantik semula untuk menerajui badan perhubungan Umno negeri Melaka.
Di Pahang, Datuk Adnan Yaakob yang terlibat dengan satu kes konsesi pembalakan negeri tersebut yang telah menyebabkan kerajaan negeri kerugian dan kehilangan jutaan ringgit akibat daripada pelanggaran perjanjian konsesi tersebut telah dilantik semula untuk menerajui badan perhubungan Umno negeri tersebut.
Jadi, daripada apa yang telah perhatikan, para pemimpin Umno ini akan hanya menggempur diri mereka sendiri kerana mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menggempur Pakatan Rakyat. Yang patut dilantik tidak dilantik, yang bertelagah masih terus bertelagah, ahli-ahli dan pemimpin tempatan dijajah oleh pemimpin dari luar, yang rasuah tetap memimpin, yang berpengaruh diketepikan sekaligus dan sebagainya telah menampakkan tidak akan dapat wujud sebarang penyelesaian ke atas masalah dalaman parti tersebut.
Adakah mereka ini mempunyai peluang untuk menggempur Pakatan Rakyat sebenarnya? Mereka akan asyik menggempur sesama sendiri.
No comments:
Post a Comment