Calon ketua pemuda Umno yang tewas, Dr Mohd Khir Toyo berserta para pemimpin Umno bawahannya dengan isteri-isteri mereka telah menyalahgunakan RM1.7 juta wang rakyat untuk melancong ke Disneyland Amerika dan Perancis di antara tahun 2004 hingga 2007.
Wang jutaan ringgit tersebut telah dibelanjakan melalui Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sewaktu Dr Mohd Khir menjadi mentri besar dan pengerusi PNSB pada masa itu.
Penyalahgunaan wang kerajaan negeri ini telah didedahkan sendiri oleh ketua pegawai eksekutif PNSB Datin Khairiyah Abu Hassan sewaktu beliau menghadiri seesi soal siasat yang sedang dikelolakan oleh Jawatankuasa Pemantau bagi Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Teng Chang Khim.
Malah menurut Datin Khairiyah lagi penggunaan wang PNSB untuk membiayai pelancongan tersebut telah diarahkan oleh Dr Mohd Khir sendiri selaku pengerusi PNSB. Selain daripada itu, Datin Khairiyah turut menjelaskan bahawa kegiatan melancong ke Disneyland Amerika dan Perancis yang dianjurkan oleh Dr Mohd Khir dan para pemimpin Umno tersebut bersama dengan keluarga mereka itu bukannya “lawatan sambil belajar” tetapi sebaliknya hanya berbentuk peribadi kerana program lawatan tersebut tidak meliputi sebarang aspek yang boleh dikategorikan sebagai “lawatan sambil belajar”.
Datin Khairiyah turut memberitahu jawatankuasa pemantau bahawa tidak ada laporan dikemukakan setelah lawatan tersebut seperti yang dikehendaki jika sekiranya sumber kewangan PNSB dibelanjakan untuk sebarang kegiatan dan beliau dapat menggambarkan bahawa lawatan tersebut lebih kepada berbentuk peribadi dan bukannya atas urusan rasmi seperti yang didakwa Dr Mohd Khir sebelum ini.
Pelancongan yang dianjurkan oleh Dr Mohd Khir ini adalah susulan daripada lawatan yang telah dilakukan sebelum ini ke Disneyland Hong Kong dan Tokyo yang turut dibiayai oleh PNSB.
Persoalannya adalah setelah jawatankuasa pemantau tersebut mendapatkan bukti-bukti yang mencukupi mengenai penyalahgunaan kuasa oleh Dr Mohd Khir sewaktu pemerintahannya, adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak terhadap beliau atau sebaliknya?
Adakah SPRM akan serius di dalam memulakan siasatan dan seterusnya dakwaan terhadap beliau ini jika terbukti elemen rasuah telah dibuktikan berleluasa sewaktu pemerintahan beliau di Selangor pada masa itu? Adakah SPRM perlu meminta kebenaran daripada Jabatan Perdana Menteri terlebih dahulu jika mereka ingin menyiasat atau mendakwa Dr Mohd Khir?
Mungkinkah Dr Mohd Khir dan rakan-rakannya akan terus menikmati kekebalan mereka sebagai pemimpin Umno berdasarkan konsep dan dasar-dasar parti mereka yang berlandaskan ketuanan di mana kedudukan mereka tidak akan dapat digugat oleh mana-mana undang-undang?
Ini bergantung kepada SPRM. Mereka ini perlu membuktikan kepada rakyat mengenai pengecualian mereka di dalam menyiasat kes-kes sedemikian. Apabila menyiasat kes-kes yang berkait dengan para pemimpin Pakatan Rakyat, walaupun ianya tidak benar, SPRM senantiasa pro-aktif di dalam menjalankan siasatan mereka, malah mendedahkan hasil siasatan tersebut kepada umum dengan memberikan andaian bahawa orang yang disiasat itu telah bersalah walaupun masih tidak terdapat sebarang bukti kukuh mengenainya ataupun kes tersebut masih belum lagi dihadapkan ke mahkamah.
Tetapi apabila kes-kes yang melibatkan para pemimpin Umno dan BN, SPRM tidak menunjukkan kesungguhan mereka untuk menjalankan siasatan mereka dengan segera dan tidak pula mendedahkan maklumat tersebut kepada umum walaupun telah terdapat bukti-bukti yang kukuh yang menunjukkan bahawa para pemimpin Umno dan BN itu telah melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Sikap berat sebelah SPRM ini perlu ditangani oleh para pegawai suruhanjaya sendiri. Mereka perlu membuktikan bahawa mereka tidak berpihak kepada mana-mana pemimpin politik ataupun menerima sebarang tekanan daripada pemimpin yang berkaitan dari dalam kerajaan pusat.
Kita tunggulah tindakan susulan SPRM itu di hari yang akan datang. Bagi kami si banjingan tersebut tidak boleh dimaafkan lagi atas perbuatannya yang menggelapkan wang rakyat untuk kegunaan dan kemewahan peribadinya.
No comments:
Post a Comment