Wednesday, April 1, 2009

Masyarakat Melayu diancam oleh pemimpinnya sendiri

Di dalam keadaan politik di dalam negara kita yang semakin tidak menentu pada hari ini, kami dapati ramai di antara orang-orang Melayu telah mulai sedar bahawa pemimpin-pemimpin mereka telah mempergunakan masyarakat mereka selama ini untuk kepentingan politik dan kekayaan diri sendiri.

Malah, dasar-dasar radikal, semangat perkauman yang keterlaluan dan kedudukan ketuanan yang didokong oleh para pemimpin Umno sejak kebelakangan ini telah disedari oleh orang-orang Melayu sendiri sedang mengancam kedudukan masyarakat tersebut.

Malah para pemimpin Umno yang berkepentingan politik peribadi ini sanggup menggadai masyarakat mereka sendiri dengan idea-idea yang radikal dan keterlaluan jelas telah menjejaskan kedudukan orang-orang Melayu sendiri oleh kerana para pemimpin Umno tersebut sering mengaitkan parti mereka dengan kewujudan rumpun Melayu yang berterusan.

Sebenarnya, apa yang didakwa oleh Umno selama ini tidaklah benar sama sekali. Umno adalah hanya merupakan sebuah parti politik biasa sama seperti parti-parti yang lain. Jika sekiranya Umno telah pupus dari bumi ini di suatu hari nanti, masyarakat Melayu tetap akan wujud dan berdaya maju. Masyarakat Melayu mampu hidup tanpa kewujudan Umno yang berterusan. Umno bukanlah sebahagian daripada rumpun bangsa tersebut tetapi hanya sebuah pertubuhan politik biasa yang berlandaskan perkauman yang eksterim.

Apa yang didakwa Umno selama ini yang menyebut, tanpa mereka masyarakat Melayu tidak akan wujud dan akan pupus sama sekali adalah suatu tanggapan yang salah dan sesat. Jika sekiranya Umno mendakwa bahawa mereka adalah pendukung masyarakat Melayu yang sebenarnya, kenapa orang-orang Melayu sekarang, ada yang masih terpinggir, hidup di dalam kadar kemiskinan yang amat tinggi dan mempunyai taraf kehidupan yang amat rendah? Kenapa orang-orang Melayu masih terbahagi di antara golongan bangsawan dan golongan bawahan, golongan yang kaya dan golongan yang miskin? Kenapa orang-orang Melayu, kebanyakan di antara mereka masih tidak dapat bersaing dengan rakan-rakan mereka dari kaum yang lain baik dalam bidang perniagaan, korporat, mahupun di dalam bidang kerjaya?

Kalaulah Umno yang mendukung masyarakat Melayu yang sebenarnya, kenapa orang-orang Melayu masih tidak dapat berdaya saing dengan sendiri, masih bergantung penuh kepada insentif-insentif dan skim-skim bumiputra, kemudahan-kemudahan pinjaman di mana kaum-kamum lain tidak mungkin akan dapat menikmatinya dan sebagainya?

Apakah yang sebenarnya telah berlaku? Semakin lama Umno memerintah, semakin mundurnya masyarakat Melayu dan semakin membelakangi arus pembangunan yang sedang menuju ke hadapan. Yang lebih memburukkan keadaan sekarang adalah Umno sedang mempergunakan kedudukan Raja-raja Melayu untuk melindungi kepentingan politik mereka dan menderhakai sesiapa yang menyoal kesahihan kedudukan politik mereka. Mereka sekarang bersembunyi di sebalik Raja-raja Melayu untuk menghalal segala tindak-tanduk mereka yang sering menganiayai rakyat-rakyat, menghina demokrasi, menghina perlembagaan dan sebagainya.

Oleh itu, orang-orang Melayu tidak perlu bimbang jika sekiranya Umno sedang menuju kepupusan dan tidak akan wujud tidak lama lagi. Orang-orang Melayu masih mempunyai Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) ataupun Parti Progresif Rakyat (PPP) untuk berjuang bagi pihak mereka.

Dan orang-orang Melayu juga berhak menyertai mana-mana parti politik yang boleh membela nasib dan memperjuangkan hak-hak mereka. Tanpa Umno, orang-orang Melayu masih boleh hidup secara aman, harmoni, bersatu padu di antara satu sama lain di dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan kebudayaan.

Dengan itu, janganlah kita kisah atau bergantung sangat kepada Umno dan sekiranya ia menghampiri kepupusan, biarkanlah sahaja ia pupus dari bumi kita ini. Negara kita akan tetap wujud masyarakat Melayu akan terus mengekalkan kedudukan mereka dan mencapai kemajuan walaupun Umno tumbang dan pupus sama sekali di suatu hari nanti.

No comments: