Negeri-negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat perlu mengambil iktibar daripada krisis perlembagaan di negeri Perak di mana kerajaan negeri tersebut digulingkan dalam satu siri rampasan kuasa yang didalangi oleh Umno, bertapa perlunya keselamatan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan.
Justeru daripada itu, kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat sekarang hendaklah segera mengusahakan pembentukan pasukan keselamatan mereka di negeri-negeri masing-masing bagi membendung pelbagai kegiatan subversif yang dilakukan oleh anasir-anasir yang dihasut dan didalangi oleh Umno dan pada masa yang sama memastikan keselamatan dan kestabilan di negeri masing-masing tidak diancam atau diretak oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti Umno dan sekutu-sekutunya yang sering berselindung di bawah sepanduk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kita telah tengok bagaimana kerajaan negeri kita yang telah dipilih oleh rakyat diancam dan seterusnya digulingkan melalui rampasan kuasa dan pemberontakan yang didalangi oleh Umno dengan bantuan agensi-agensi keselamatan di bawah kementerian negeri (KDN) dan sebelum ini, kita juga telah menyaksikan bagaimana seorang Exco kerajaan negeri kita diculik dan dikurung oleh pegawai-pegawai KDN atas alasan keselamatan dan sebagainya.
Sebagai makluman kepada umum, KDN adalah diterajui oleh seorang menteri yang juga naib-presiden kanan Umno dan sudah semestinya segala kuasa di bawahnya akan dikerah untuk membantu Umno mencapai matlamat politiknya di negeri Perak dan pada masa yang sama mengekang pengaruh Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang diterajuinya.
Kita telah menyaksikan bagaimana pihak berkuasa yang dikelolai oleh KDN telah membantu Umno merampas kuasa di negeri Perak, kita telah melihat bagaimana pihak berkuasa telah membantu Umno mengepung Istana Kinta di Perak dan selepas itu merampas bangunan dewan undangan negeri (DUN) bagi menghalang siding DUN daripada diadakan seperti yang dijadualkan, kita telah juga menyaksikan bagaimana Speaker DUN V.Sivakumar dicekik, dipukul dan seterusnya diheret keluar daripada kedudukan beliau di DUN dan dikurung di sebuah bilik oleh pegawai-pegawai keselamatan KDN selama beberapa jam.
Dan dalam pada itu, kita juga telah melihat bagaimana pihak berkuasa di bawah KDN telah bersubahat dengan Umno untuk mengetepikan perlembagaan negeri, memastikan agar demokrasi dihadkan, suara rakyat yang kian lantang menentang kejahatan dihadkan, menahan orang-orang yang memakai baju serba hitam, menahan mereka-mereka yang menyalakan lilin, dan menangkap mereka yang meminum kopi hitam di kafe-kafe umum.
Inilah penghinaan yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat sejak bermulanya pemerintahan mereka dari awal bulan April tahun lalu sehinggalah sekarang dan sampai bilakah kita akan dihina dengan vara yang sedemikian? Di manakah keadilan, kesaksamaan, kebebasan serta demokrasi yang sebenarnya?
Oleh yang demikian, negeri-negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat perlu belajar daripada kelemahan mereka sekarang. Keperluan untuk membentuk satu pasukan keselamatan bagi menjamin keselamatan rakyat dan kestabilan negeri-negeri yang diterajuinya hendaklah diutamakan dengan seberapa segera yang boleh.
Dan jika sekiranya Pakatan Rakyat tidak mengambil langkah-langkah tersebut dengan segera, adalah dibimbangi akan berlakunya satu lagi siri rampasan kuasa anjuran Umno tidak lama lagi di mana negeri Selangor mungkin akan menjadi sasaran setelah apa yang telah dilakukan di negeri Perak.
Ingat! Umno sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamatnya walaupun ianya bertentangan dengan undang-undang, perlembagaan dan institusi Raja-raja, kerana kedudukan ketuanan mereka lebih tinggi daripada segala-galanya.
No comments:
Post a Comment