Sengketa di antara DAP dan PKR di Pulau Pinang baru-baru ini berhubung dengan isu perlantikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sebenarnya merupakan salah satu daripada proses demokrasi yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat.
Di dalam sistem demokrasi yang kini diamalkan oleh Pakatan Rakyat, semua bentuk persefahaman, persengketaan dan perdebatan akan dibuat secara umum bagi menunjukkan ketelusan parti-parti komponennya seperti DAP, PKR dan PAS kepadarakyat jelata. Dengan ini rakyat akan dapat menilai ketiga-tiga parti tersebut dan memahami mereka dengan lebih mendalam berdasarkan polisi, tindakan dan amalan yang dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat.
Kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Gerakan Pulau Pinang Ong Thean Lye yang mengatakan sengketa DAP-PKR mengenai isu perlantikan Yang Dipertua MPSP menandakan Pakatan Rakyat di ambang perpecahan, telah menunjukkan bahawa Ong masih belum memahami sepenuhnya proses dan amalan demokrasi yang sebenarnya.
Pakatan Rakyat tidak menyerupai Barisan Nasional (BN) yang mana parti-parti komponennya bagaikan hamba kepada tuannya iaitu Umno dan semua proses perbincangan dan kepincangan mereka dilakukan secara sulit dan tertutup dan tidak didedahkan kepada umum.
Proses demokrasi yang kini diamalkan oleh Pakatan Rakyat telah jelas membuktikan bahawa tidak ada mana-mana parti komponennya yang menjadi tuan mahupun hamba. Semua parti di dalam Pakatan Rakyat adalah dilayan sama rata dan secara adil.
Manakala di dalam BN pula, Umno memegang ketuanannya yang paling tinggi di kalangan parti-parti komponen BN yang lain. Parti-parti komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC, PPP, IPF, SUPP, PBB, PRS, PBS, LDP dan PBRS wajib mematuhi segala dasar yang telah ditetapkan oleh Umno selaku peneraju utama BN. Ini jelas sekali amalan dictator.
Malah Bekas Presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik juga pernah mengatakan bahawa parti-parti komponen BN sering dilayan seperti pengemis yang terpaksa merayu kepada Umno.
Oleh yang demikian, apa yang telah dinyatakan oleh Setiausaha Gerakan Pulau Pinang itu jelas telah membongkar kelemahan BN itu sendiri.
Dengan ini, kami ingin menasihatkan Ong agar beliau kembali mempelajari dan memahami dengan lebih mendalam apakah itu demokrasi yang sebenarnya sebelum beliau layak mengulas mengenai kedudukan pihak lain. Tengoklah karenah-karenah yang berlaku di dalam BN terlebih dahulu.
No comments:
Post a Comment