Monday, June 22, 2009

Ke mana bekas naib presiden Gerakan itu akan pergi?

Berikutan penggantungan ke atas naib presiden Gerakan Huan Cheng Guan oleh jawatankuasa pusat parti tersebut, hala tuju Huan dan karier politiknya kini menjadi tidak tentu.

Ada khabar menyatakan bahawa Huan berkemungkinan akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak lama lagi bersama dengan para penyokongnya tetapi beberapa pemimpin pemuda PKR Pulau Pinang telah mengemukakan bantahan mereka terhadap kemasukan Huan ke dalam parti tersebut lantas menyulitkan lagi keadaan.

Huan digantung keahliannya dalam Gerakan selama tiga tahun kerana kritikan beliau yang lantang terhadap pucuk pimpinan tertinggi parti mengenai beberapa isu-isu akar umbi. Selain daripada itu, Huan juga telah mendakwa bahawa ada percubaan golongan konservatif di dalam Gerakan untuk menghapuskan pengaruh dan karier politik beliau di dalam parti kerana beliau adalah dari kalangan "reformis" yang lantang menyuarakan perubahan.

Namun demikian, itu adalah hanya dakwaan beliau semata-mata dan kita tidak akan mendapatkan pandangan yang seratus peratus jelas dan benar baik daripada golongan konservatif mahupun daripada kalangan para penyokong Huan.

Untuk itu, kami ingin menasihatkan rakan-rakan sejawat kami dari PKR agar berhati-hati di dalam penerimaan mereka terhadap bekas-bekas pemimpin parti komponen BN yang ingin melompat ke pangkuan Pakatan Rakyat, kerana berkemungkinan hasrat mereka-mereka ini adalah untuk mengambil kesempatan daripada populariti dan sokongan terhadap Pakatan Rakyat yang kian meningkat.

Bagi kami di DAP, kami tidak akan menerima para pemimpin daripada BN sewenang-wenangnya bagi menjamin agar mutu keahlian kita dikompromi oleh mana-mana pihak.

No comments: