Pada mulanya, para pemimpin Umno menderhakai Sultan Terengganu dan Yang Dipertuan Agong kerana pemimpin utama mereka tidak dilantik semula sebagai menteri besar selepas pilihanraya umum yang lalu.
Selepas itu, mereka sekali lagi menderhakai baginda dengan bertindak memulaukan persidangan dewan undangan negeri dengan alasan nyawa mereka sedang diancam dan menteri besar sekarang tidak berkemampuan dan harus digantikan.
Dan dengan tiba-tiba, baginda dikejutkan lagi dengan satu lagi siri penderhakaan apabila stadium yang dinamakan baginda itu runtuh kerana puak-puak di dalam Umno sering sibuk dengan perbalahan mereka dan tidak mempunyai masa untuk menguruskan pentadbiran kerajaan negeri. Para pemimpin Umno yang berbalah itu masing-masing sibuk berpolitik, cuba mendahului di antara satu sama lain.
Nama baginda kini tercemar akibat daripada kelalaian dan kecuaian kerajaan negeri Terengganu yang diterajui oleh Umno yang telah mengakibatkan keruntuhan stadium tersebut yang pernah menjadi lambing kebanggaan baginda dan rakyat Terengganu.
Alasannya cukup jelas, rasuah dan salahguna kuasa yang cukup meluas di dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri. Dan beginilah nama baginda sultan yang telah dipergunakan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak yang ingin mengaut keuntungan.
Inilah yang disebut penderhakaan yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment