Kita semua telah lihat, dengar dan menyaksikan pelbagai komentar serta tindakbalas daripada berbagai pihak berkenaan hasrat Ong Boon Hua @ Chin Peng, setiausaha-agung Parti Komunis Malaya (PKM) untuk pulang ke tanah tumpah darahnya, Malaysia setelah beberapa dekad tinggal dalam buangan akibat daripada peranan beliau semasa darurat daripada tahun 1948 hingga 1960.
Banyak pihak yang menyokong hasrat beliau untuk pulang atas dasar kemanusiaan dan ada juga pihak yang menentang kepulangan beliau oleh kerana tidak dapat melupakan peristiwa yang berlaku semasa darurat.
Baru-baru ini juga, menteri kebudayaan, kesenian dan penerangan, Datuk Rais Yatim dan beberapa pemimpin kanan Umno yang lain telah dengan nada yang keras menegaskan mana-mana pihak yang menyokong hasrat Chin Peng untuk pulang ke Malaysia adalah juga merupakan satu cubaan untuk menghidupkan semula fahaman komunisme di Malaysia.
Selain daripada itu, ada juga cubaan oleh Datuk Rais dan beberapa orang pemimpin kanan Umno untuk mengubah fakta-fakta sejarah perjuangan kemerdekaan yang lalu dengan menyusup Umno masuk ke era permulaan tahun 1940an bagi menunjukkan parti tersebut yang telah memulakan perjuangan kemerdekaan. Ini bermakna, PKM, dan beberapa parti-parti Melayu berhaluan kiri pada masa itu seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Pusat Tenaga Rakyat (Putera), Angkatan Pemuda Insaf (API), All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA), Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan sebagainya akan terpadam daripada sejarah Malaysia tidak lama lagi.
Umno menegaskan dengan nada yang keras bahawa Chin Peng tidak dibenarkan pulang ke Malaysia oleh kerana kekejaman di dalam perjuangannya sewaktu darurat yang lalu. Selain daripada itu, Umno juga cuba menakut-nakutkan orang ramai dengan memberi amaran bahawa sesiapa yang menyokong hasrat kepulangan beliau akan dicapkan sebagai penyokong komunis dan cuba menghidupkan semula fahaman tersebut di Malaysia. Apakah motif sebenarnya Umno ini?
Setahu kami, kekejaman yang dilakukan oleh tentera Jepun terhadap Malaysia sewakti perang dunia kedua adalah jauh lebih menyerlah daripada apa yang telah dilakukan oleh Chin Peng dan PKM. Bolehkah kita berpaling dan mengatakan bahawa Umno menyokong kekejaman Jepun kerana mereka telah memaafkan segala perbuatan keji dan jahat mereka dengan menerima pelaburan dan pemindahan teknologi mereka masuk ke negara kita. Apa yang dilakukan oleh Umno sekarang jauh telah menyimpang dan mengelirukan.
Sekiranya Umno mengatakan bahawa sokongan terhadap hasrat Chin Peng untuk pulang ke Malaysia adalah suatu langkah untuk menghidupkan semula fahaman komunis, apakah langkah kerajaan pusat yang diterajui oleh Umno itu terus menjalin hubungan diplomatic yang erat dengan China, Korea Utara, Vietnam, Laos dan Cuba itu sebagai suatu perbuatan menerima fahaman komunis sebagai sebahagian daripada kehidupan kita di Malaysia.
Oleh yang demikian, apapun alasan untuk menghalang Chin Peng untuk pulang ke Malaysia yang diberikan oleh Umno selama ini tidak masuk akal, kerana sebab-sebab yang dikemukakan oleh mereka itu kebanyakan tidak adil, tidak berperikemanusiaan dan berbau perkauman.
Mungkinkah segala adegan ini akan berlainan, jika sekiranya si Chin Peng itu adalah berbangsa Melayu? Dan jika Chin Peng itu Melayu, mungkinkah emosi dan tindakbalas terhadap hasrat beliau itu akan menjadi sebaliknya?
Adilkah Umno di dalam isu ini? Umno mengatakan bahawa Chin Peng tidak boleh pulang kerana “kekejaman” PKM dan beliau telah lakukan terhadap rakyat kita sewakti darurat yang lalu.
Dan kenapa pula pemimpin-pemimpin “kejam” komunis yang lain seperti Pengerusi PKM Rashid Maidin dan Ahli Jawatankuasa Pusat PKM Shamsiah Fakeh dibenarkan pulang bermastautin di Malaysia?
Nampaknya Umno masih giat menyemarak isu-isu dan sentimen-sentimen perkauman sebagai modal politik murahan mereka. Jelaslah kekejaman mereka ini jauh lebih teruk dan keji daripada komunis.
Kejam dari segi perkauman, ketuanan, rasuah, politik wang, penyalahgunaan kuasa, rampasan kuasa, kediktatoran dan banyak lagi yang tidak dapat kami rumuskan dengan sepenuhnya.
1 comment:
Anda masih tidak dapat membezakan pertubuhan dan kerajaan
Post a Comment