Sejak peneraju baru kerajaan pusat BN mengambil tempatnya di Putrajaya, laungan 1Malaysia asyik kedengaran di sana sini, tambah pula dengan pelbagai jenis kempen untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap cogankata tersebut.
Apakah maknanya laungan 1Malaysia yang sering dihebohkan ini, jika dibelakang para pemimpin BN pula berbuat sebaliknya?
Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih beberapa buah negeri selepas pilihanraya yang lalu, kerajaan pusat BN asyik cuba memecahbelahkan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat dengan membentuk pelbagai agensi dan badan-badan yang bercanggah dengan jentera-jentera pentadbiran negeri.
Nampaknya di belakang konsep 1Malaysia, timbul pula kempen 2Kedah, 2Pulau Pinang, 2Kelantan, 2Selangor dan 2Perak (kerajaan Pakatan berjaya digulingkan oleh Umno) bagi memecahbelahkan pentadbiran negeri-negeri tersebut.
Di negeri-negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat, kerajaan pusat BN membentuk Pejabat Pembangunan Persekutuan di negeri-negeri tersebut bagi bertindak sebagai sebuah "kerajaan alternatif", manakala diperinkat pekan pula, kerajaan pusat BN melantik Penghulu Persekutuan bagi mencabar kedudukan Penghulu yang dilantik oleh kerajaan-kerajaan negeri dan pada peringkat kampung pula, kerajaan pusat BN telah membentuk JKKK Persekutuan (JKKKP) untuk mencabar kewibawaan JKKK yang dilantik oleh kerajaan-kerajaan negeri.
Ini jelas suatu agenda yang bertujuan untuk memecahbelah serta mengelirukan jentera pentadbiran peringkat negeri yang boleh juga dianggap sebagai langkah sabotaj untuk menggulingkan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Tengoklah apa yang telah berlaku di Perak.
Oleh yang demikian, laungan 1Malaysia yang sering diketengahkan oleh BN hanyalah bohong belaka kerana jelas mereka sedang mengamalkan perpecahan dengan melaksanakan dasar-dasar 2Kedah, 2Pulau Pinang, 2Kelantan, 2Selangor dan 2Perak.
Usah kita pedulikan sangat 1Malaysia ini. Ia cuma laungan kosong.
No comments:
Post a Comment