Wednesday, July 15, 2009

PAS hanya mendapat 65 undi majoriti di Manek Urai

Kemenangan tipis PAS di ManekUrai dengan hanya mendapat majoriti 65 undi jelas menunjukkan bahawa ada persaingan di antara beberapa orang pemimpin di dalam parti tersebut mengenai soal rundingan mereka dengan Umno.

Ini adalah di antara golongan yang menentang rundingan dengan Umno dan kumpulan yang mahukan supaya rundingan dengan Umno dilaksanakan bagi tujuan perpaduan Melayu kononnya.

Selain daripada itu, faktor di Kedah di mana ladang ternakan khinzir dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan turut menjadi penyebab berlakunya kemerosotan undibagi PAS. Selain daripada itu, kalangan masyarakat bukan Islam juga telah meluahkan kebimbangan mereka terhadap PAS yang semakin menonjolkan beberapa isu sensitif mereka terhadap kaum dan agama lain yang turut telah dieksploitasikan oleh BN dan Umno.

Pucuk pimpinan PAS daripada kalangan radikal dan ekstrim perlu ingat bahawa, sokongan padu yang telah memberikan kemenangan kepada mereka di pilihanraya umum yang lalu dan beberapa pilihanraya kecil adalah kerana mereka berada bersama di dalam Pakatan Rakyat dan dasar-dasar mereka yang berbentuk sederhana.

Dan itulah rakyat inginkan daripada PAS selama ini. Bersama di dalam Pakatan Rakyat untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, negara, demokrasi, kebebasan, keadilan dan kesaksamaan yang sewajarnya.

Berunding dengan Umno itu kononnya untuk "perpaduan" itu adalah suatu jerangkap samar yang kini sedang diusahakan oleh Umno bagi memecahbelahkan Pakatan Rakyat. PAS tidak usah mengambil serius sangat terhadap tajuk perpaduan yand dipelopori oleh Umno sekarang.

Adakah Pakatan Rakyat tidak dapat membawa perpaduan dan keadilan kepada rakyat sehingga PAS terpaksa mencari jalan diluar Pakatan Rakyat? Janganlah hanya asyik dengan hanya perpaduan satu kaum sahaja. Perpaduan di kalangan masyarakat dan semua kaum adalah lebih pentingdaripada segala-galanya.

Apakah gunanya kalau di dalam BN, Umno memperjuangkan perpaduan orang Melayu, MCA mempelopori perpaduan orang-orang Cina manakala MIC pula perpaduan orang India, sedangkan Gerakan dan PPP pula tersangkut di tengah-tengah konsep pelbagai kaum mereka yang tidak pernah berjaya kerana parti masing-masing dimonopoli oleh kaum Cina dan India.

Di dalam perwakilan DAP dan PKR khususnya, kita telah melihat komposisi antara kaum di kalangan wakil-wakil rakyat mereka adalah amat jelas dan menampakkan suatu rumpun Bangsa Malaysia yang sebenarnya yang tidak pernah kita dapat lihat di dalam parti-parti komponen BN sebelum ini.

Oleh yang demikian, kami berharap PAS tidak lagi teragak-agak, Pakatan Rakyatlah yang boleh membawa perpaduan majmuk kepada negara dan rakyat kita.

No comments: