Satu lagi artikel yang dibawa oleh Utusan Malaysia, sebuah akhbar milik penuh Umno telah menunjukkan bahawa parti tersebut kian hilang arah, membenci rakyat dan anti perpaduan.
Apa yang dikarang oleh Noor Azam, seorang penulis Utusan Malaysia jelas telah membuktikan kepada umum bahawa mereka ini tidak sukakan keamanan, perpaduan dan kehidupan yang majmuk.
Apabila rakyat Malaysia mencapai perpaduan dengan hidup secara aman damai di antara satu sama lain di dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya, Umno dan Utusan sering berasa tidak senang dengan keadaan tersebut.
Ini adalah kerana jika sekiranya rakyat kita bersatu padu, maka tidak ada faedah lagi bagi Umno dan konco-konconya di dalam BN seperti MCA dan MIC yang juga berlandaskan sistem perkauman yang berasingan. Ini bermakna, jika perpaduan dicapai dengan sepenuhnya, Umno dan BN tidak akan dapat berperanan lagi di dalam arena politik dalam negara kita ini.
Oleh itu, Umno dan Utusan perlu senantiasa mengapi-apikan kebencian antara kaum agar agenda ketuanan mereka dapat diketengahkan, kononnya mereka sedang membela masyarakat Melayu.
Di dalam petikan akhbar tersebut baru-baru ini, penulis tersebut yang bernama Noor Azam mendakwa Pakatan Rakyat (PR) yang merangkumi PKR, DAP dan PAS sedang mengusahakan suatu langkah sulit untuk memansuhkan hak keistimewaan orang-orang Melayu apabila mereka menduduki kerajaan pusat kelak. Apakah niat dan tujuan pertuduhan ini dibuat terhadap PR?
Selain daripada itu, penulis tersebut juga melabelkan DAP sebagai sebuah parti politik Cina radikal yang sedang memperalatkan rakan-rakan Melayu mereka di dalam PR bagi mencapai sasaran politik “sempit” mereka. Ini adalah juga satu pertuduhan yang tidak dapat diterima dan ianya bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan di dalam PR.
Gaya penulisan oleh Noor Azam ini seakan-akan menunjukkan bahawa beliau dan Umno ini penuh dengan kebencian dan dendaman yang amat mendalam.
Ianya suatu agenda perkauman yang telah melampaui taraf ekstremis dan ini akan membahayakan keselamatan, kestabilan dan ketenteraman awam di dalam negara kita ini. Kenapa pula pihak berkuasa masih gagal bertindak terhadap penulis dan akhbar tersebut? Kerana mereka ini adalah di bawah naungan Umno? Satu lagi sebab adalah kesemua institusi kerajaan pusat seperti polis, tentera, kehakiman dan SPRM adalah dikuasai sepenuhnya oleh Umno.
Oleh yang demikian, keadilan dan kesaksamaan tidak akan dapat kita perolehi selagi Umno dan BN masih berkuasa. Apabila mereka ini melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang dan berbentuk hasutan atau pengkhianatan, tindakan tidak akan diambil oleh pihak berkuasa.
Janganlah kita terpedaya dengan hasutan dan agenda perkauman mereka ini yang tidak akan memberikan sebarang manfaat mahupun faedah kepada kita.
No comments:
Post a Comment