Thursday, August 13, 2009

MACC cacat bila tiada sokongan rakyat

Apa yang dilaung-laungkan selama ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) mengenai usaha-usahanya yang bersungguh-sungguh akan memerangi jenayah rasuah dan salahguna kuasa di dalam negara kita ini akan hanya tinggal laungan semata-mata jika sekiranya MACC terus membiarkan dirinya diperalatkan oleh kerajaan pusat Umno.

Dan jika MACC terus dibayangi oleh politik Umno, maka ianya tidak akan mendapat sokongan dan penghormatan daripada rakyat jelata yang akan melihat MACC itu hanyalah sebahagian daripada alat politik Umno, selepas polis, tentera dan media rasmi tradisional.

Apakah daya MACC untuk bercakap mengenai keadilan, kesaksamaan dan ketelusan di dalam pengurusan dan kaedah penyiasatannya. Apakah daya MACC dapat membuktikan kepada umum bahawa MACC adalah sebuah badan penguatkuasa yang profesional seperti rakan sejawat mereka dari Hong Kong iaitu Suruhanjaya Bebas Bagi Membasmi Rasuah (ICAC).

Setahu kami, ICAC Hong Kong telah membuktikan kredibilitinya di negara kepulauan itu di zaman 70an apabila mereka berjaya menghapuskan kegiatan rasuah yang amat sangat berleluasa di dalam pasukan polis Hong Kong pada masa itu. Dan sehingga kini, ICAC Hong Kong telah berjaya mengekalkan tahap profesionalismenya dengan jayanya sehingga ianya mendapat sanjungan dan penghormatan daripda rakan sejawat mereka di seluruh dunia.

ICAC Hong Kong telah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh profesional, dedikasi, telus dan cekap tanpa mengira kaitan politik dan kuasa pihak-pihak yang disyaki.

Akan tetapi MACC tidak dapat berbuat demikian sehingga kini walaupun ianya telah dinaiktaraf kepada sebuah suruhanjaya baru-baru ini. Walaupun ianya telah dinaiktaraf, namun MACC masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan bukannya bertanggungjawab secara langsung kepada parlimen seperti yang diharapkan oleh rakyat kita selama ini.

Dan oleh kerana MACC itu masih di bawah cengkaman JPM maka ianya akan terus menjadi sebahagian daripada alat politik Umno dan presiden partinya untuk mengekang ataupun mengertak mana-mana lawan atau seteru politiknya.

Jadi, bagaimana MACC boleh mendapat sebarang penghormatan daripada rakyat pada umumnya? Jawapannya adalah MACC tidak akan mendapat sebarang penghormatan ataupun kedudukan setaraf dengan ICAC Hong Kong.

Dan jika sekiranya ketua persuruhjaya MACC mengatakan bahawa badannya telah mencapai tahap yang sama seperti ICAC Hong Kong, kami akan membalas “tidak” dan hakikatnya adalah MACC masih berada di bawah alas kaki ICAC Hong Kong.

MACC sehingga kini masih belum layak lagi untuk membandingkan dirinya dengan mana-mana badan membasmi rasuah di seluruh dunia kecuali mereka berani merombak dan merubah kedudukan mereka sekarang untuk memulihkn keyakinan umum terhadap mereka.

Persoalannya adalah adakah MACC dan kerajaan pusat bersedia untuk berbuat demikian?

No comments: