Dari titik permulaan cubaan rampasan kuasa oleh Umno di Perak sehinggalah terbentuknya kerajaan pemberontak Umno Perak menggantikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang telah diguling olehnya, kami telah pasti yang rakyat telah benar-benar mengikuti perkembangan tersebut dengan berhati-hati dan telah mengetahui siapakah penderhaka sebenarnya di dalam krisis di negeri Perak ini.
Yang pertama, kita rujuk Umno sebagai penderhaka sebenar kerana Umno telah membelakangi sistem perundangan negeri dan enggan mengiktiraf kedudukan persidangan dewan undangan negeri sebagai tapak untuk mendapatkan kuasa mengikut undi terbanyak. Umno sebaliknya telah mengisytiharkan kedudukannya sebagai mempunyai kerusi DUN terbanyak di ibupejabat Umno negeri Perak tanpa perlu melalui proses undian di persidangan DUN secara sah. Umno kemudiannya mengumumkan bahawa rampasan kuasa tersebut juga telah berjaya dan kerajaan pemberontak yang baru bagi menggantikan kerajaan negeri yang sedia ada yang dipilih oleh rakyat. Apakah hak Umno untuk mengisytiharkan menang dengan bilangan kerusi DUN terbanyak melalui mesyuarat badan perhubungan Umno negeri Perak? Adakah sidang DUN itu sudah tidak relevan lagi di mata Umno?
Yang kedua, kita rujuk Umno sebagai penderhaka sebenar kerana Umno melalui kerajaan pusat yang masih dikuasainya telah mengerahkan pasukan keselamatannya dengan jumlah yang besar ke perkarangan Istana Kinta bagi memberikan tekanan terhadap Sultan Perak agar baginda mengiktiraf kerajaan pemberontak Umno Perak dengan segera dengan pelbagai helah, penipuan dan dusta terhadap kedudukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat pada masa itu.
Yang ketiga, kita rujuk Umno sebagai penderhaka sebenar kerana Umno telah bertindak membelakangi dan seterusnya memusnahkan peranan dan institusi demokrasi di negara ini, menghina perlembagaan negeri Perak dan perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan suara rakyat mesti dihormati dan dipatuhi. Jika Umno telah menghina perlembagaan negeri Perak dan perlembagaan Persekutuan, maknanya Umno juga telah menghina Sultan Perak dan Yang Di Pertuan Agong pada masa yang sama, kerana baginda berdua adalah tunggak kepada kedua-dua entiti tersebut.
Oleh itu, kita menyeru semua rakyat agar bersama-sama menyuarakan bantahan dan kutukan kita yang sekeras-kerasnya terhadap tindakan Umno yang telah menderhakai keseluruhan negara kita ini dengan sewenang-wenangnya.
No comments:
Post a Comment