Oleh: Fahri Abdullah al-Masri
Kita biasa terdengar ungkapan sokong membawa rebah. Dan hal itulah yang berlaku terhadap Umno sekarang. Watak-watak Patih Gadjah Mada, pembesar yang membodek, mengampu raja dan pembesar yang membunuh Hang Nadim (dalam kes Singapura Dilanggar Todak), melalui titah sultan telah menjalar ke dalam jiwa pemimpin Umno Hadhari sekarang ini.
Sebenarnya, watak-watak derhaka itu, kalau derhaka sekali pun, derhakanya bersebab. Dan, 'derhaka' bersebab itu boleh lagi didebatkan. Dan, memang sentiasa ada rasional dalam derhaka mereka itu.
Misalnya, Hang Jebat asalnya setia kepada raja dan beliau derhaka disebabkan saudaranya menjadi mangsa fitnah. Dan istana pula tidak menyiasat kes fitnah itu dengan seadil-adilnyanya.
Laksamana Megat Seri Rama, dalam kes Sultan Mahmud Mangkat Dijulang asalnya seorang yang sangat setia kepada tuannya dan derhakanya bersebab; lantaran isterinya dibunuh tanpa usul periksa raja setelah ada campurtangan, hasutan pembesar lain. Dalam hal ini, sultan haruslah berhati-hati kerana setiap penyokong Umno itu pun bukannya benar-benar setia kepada raja.
Sokongan mereka ke atas raja adalah sokong membawa rebah. Mereka ada niat jahat dan bersifat cemburu ke atas pembesar yang lain. Lalu, pembesar yang kuat cemburunya ini akan membenamkan jarum fitnah ke atas pembesar lain; menghasut raja-raja untuk mengambil tindakan ke atas seteru mereka dalam kalangan pembesar yang baik pekerti dan bijaksana itu.
Pada zaman sekarang, titah raja-raja dalam Parlimen ditulis oleh pembesar-pembesar yang bukannya arif. Tiba-tiba, apabila pembesar yang baik membangkitkan persoalan ke atas titah raja, maka bangkitlah pembesar jahat ini untuk menyelar tindakan itu sebagai derhaka adanya.
Masih saya teringat kisah arwah Dato' Fadhil Noor dalam Parlimen dahulu ketika ucapan beliau disifatkan sebagai menderhaka kepada titah Yang Dipertuan Agong dalam Parlimen. Lalu, beliau menjawab..
"Kita semua tahu bahawa yang menulis titah Yang Dipertuan Agong adalah Umno sendiri. Jadi, titah tuanku sebenarnya adalah hasil ucapan Umno juga. Janganlah bangkit untuk mengampu raja kalau tak reti cara nak mengampu," demikian sindiran Ustaz Fadhil ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang ketika itu.
Umnokah yang menjadi 'dalang' raja?
Jika demikian, tidaklah mustahil bahawa ucapan-ucapan raja ini disusun oleh Umno sendiri. Mungkinkah titah raja memecat YB Nizar itu pun hasil bikinan Umno sendiri? Kemudian.. apabila Pakatan Rakyat sanggah, maka dengan tiba-tiba selaut sengketa telah terhempas ke serata negeri melalui demo-demo anjuran Umno.
Jika benarlah andaian dan telahan ini.. oh, alangkah bedebahnya Umno itu.
Umnolah perosak raja-raja Melayu sehingga dengan rosaknya raja-raja Melayu, maka rosaklah rakyat secara keseluruhannya. Jangan salahkan istana 100 peratus, salahkan Umno 300 peratus dalam hal ini.
Dan bukanlah derhaka itu bermaksud dengan niat mahu merampas kuasa sultan. Antara 'penderhaka' dan 'penyokong bawa rebah', siapakah yang paling merbahaya? Yang akhirnya menjatuhkan sultan melalui sokongannya itu, golongan pengampu inilah sebenarnya. Tetapi, golongan pengampu ini selalunya tidak kelihatan merbahaya.
Pengasas Umno 'penderhaka'?
Dalam sudut pandang lain, lazimnya, derhakanya anak Melayu itu kerap dihubungkait dengan Hang Jebat. Sebenarnya, bukan hulubalang itu saja yang pernah 'menderhaka' kepada sultan. Ada ramai lagi penderhaka. Onn Jaafar pernah derhaka terhadap Sultan Ibrahim di Johor. Beliau dipecat dari istana pada tahun 1920, lalu membawa diri ke Singapura kerana kerana membidas baginda berkaitan isu harta.
Tetapi, itu perkara biasa. Onn Jaafar bukan tulen anak Melayu. Beliau berdarah Turki. Jadi, jika dia menderhaka sekali pun, hal itu mungkin boleh dimaafkan kerana beliau bukannya tulen Melayu. Menurut sahibul riwayat, beliau dihantar ke Maktab Melayu Kuala Kangsar untuk 'diMelayukan'.
Tapi, Onn Jaafar akhirnya amat menyedari kelemahannya yang sukar berbahasa Melayu dengan fasih. Beliau berlatih berbahasa Melayu dan akhirnya dapat berpidato dalam bahasa Melayu dengan menghimpunkan 41 buah pertubuhan Melayu di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur sehingga tertubuhnya Umno.
Cucunya, bernama Hishammuddin Tun Hussen lebih-lebih lagi menderhaka kepada datuknya, Onn Jaafar kerana telah menukar bahasa pengantar Sains dan Matematik dengan menggunakan bahasa bukan Melayu atau ringkasnya PPSMI. Sedangkan datuk beliau berhempas pulas belajar bahasa Melayu guna menyatukan orang Melayu untuk menentang Malayan Union.
Terlanjur menyentuh nama Onn Jaafar, kita tentu pernah terdengar nama Dato' Abdul Rahman Andak. Penasihat Sultan Johor ini juga turut dibuang hasil bisikan British ke atas Sultan Ibrahim. Selagi wujudnya Abdul Rahman Andak, selagi itulah Johor ini tidak boleh bertapak kerana Abdul Rahman Andak sangat bijak dalam mengenal tipu muslihat British.
Abdul Rahman cuba menyekat satu percubaan British yang mahu mewujudkan jawatan Penasihat Am Inggeris di Johor sebagai penasihat sultan. Beliau menyedari bahawa dengan 'nasihat' inilah, nantinya seluruh isi negeri Johor itu akan dirosakkan.
Umno bersikap seperti British
Syahadan.. penyakit Umno ini adalah jangkitan daripada perangai British dahulu. Rakyat diminta berhati-hati lantaran rebakan penyakit ini boleh menjahanamkan sesebuah negeri.
Umno sangat mengetahui bahawa isu derhaka ini boleh mengaut simpati rakyat ke atas mereka sebagai (kononnya) pejuang yang tulen lagi sejati bagi pihak umat Melayu. Sekali gus, isu menderhaka ini boleh dipergunakan, diperalatkan, diperkakaskan dan dimanipulasikan sehingga menyebabkan watak bersih Pakatan Rakyat semakin suram, gelap dan hitam pekat adanya.
British misalnya telah mengaku tidak akan masuk campur dalam urusan agama Islam dan Hal Ehwal Istiadat Melayu. Namun, pada akhirnya mereka sendiri boleh membuang sultan. Umno pun begitu juga. Sedikit demi sedikit, mereka cuba menunjukkan bahawa merekalah yang paling setia.
Tapi, nama institusi raja-raja Melayu menjadi buruk dan membusuk pun adalah berpunca daripada mereka juga.
Dalam kes British membuang Abdul Rahman Andak di Johor melalui kuasa sultan, hal ini mungkin sama dengan cara Umno membuang Nizar melalui kuasa istana.
Ringkasnya, yang paling merbahaya dalam kes ini ialah golongan yang mengambil kesempatan membuat rampasan kuasa, lalu berselindung atas nama istana. Sikap ini tidak jujur, hipokrit, bacul dan penakut. Mereka boleh membawa lari dua, tiga Adun lalu memperalat istana dan memperkakas kalimat derhaka guna merebut harta ghanimah, harta rampasan perang.
Apabila Umno mahu merebut jawatan Menteri Besar, mereka sanggup mengguna istilah derhaka kepada musuhnya jika enggan berundur daripada jawatan Menteri Besar.
Dan, ketika Karpal mengambil tindakan menyaman istana, maka Umno pun semakin ganas menyerang. Nampaknya.. Umno akan menggunakan setiap inci tindakan Pakatan Rakyat untuk memperalat kalimah derhaka ini dengan dua tujuan nawaitunya.
Pertama, dengan menuduh Pakatan Rakyat derhaka, maka menjadilah Umno sebagai parti suci tanpa dosa atau wali keramat. Kedua, dengan menuduh Pakatan Rakyat jahat, maka harapan mereka.. akan hitamlah watak putih Pakatan Rakyat ini buat selama-lamanya.
Sebenarnya, bukannya ikhlas sangat Umno mempertikai tindakan Karpal itu. Kebetulan peguam veteran itu daripada Pakatan Rakyat, maka inilah masa yang terbaik untuk membelasah seteru politik mereka dengan hebatnya, sekali gus dengan harapan, akan terserlahlah wajah putih kesetiaan Umno kepada istana.
Sampai bilakah umat Melayu akan terus diperbodohkan Umno tidaklah diketahui. Tetapi, kita tahu sangatlah.. bahawa dengan mengendong isu derhaka ini, Umno telah mendapat dua kekuatan tenaga baru.
Jangan-jangan.. raja-raja Melayu sendiri pun berasa malu dengan tindakan Umno ini. Mana tahu kalau-kalau mereka pun tidak sukakan Umno. Tetapi, bagaimanakah mereka mahu berbicara dan kepada siapakah mereka mahu berkongsi duka nestapa ini?
No comments:
Post a Comment