Tuesday, February 3, 2009

Cubaan rampasan kuasa di Perak terbongkar

Cubaan rampasan kuasa yang dipelopori oleh para pemimpin Umno di Perak dan peringkat pusat terbongkar apabila seorang pemimpin kanan PKR di bahagian Ipoh Barat mendedahkan adanya usaha-usaha Umno untuk menyogok beberapa orang ahli dewan undangan negeri PKR dengan wang berjuta-juta ringgit.

Sogokan wang jutaan ringgit tersebut adalah sebagai wang saguhati bagi mereka yang bersetuju untuk memasuki Umno bagi meningkatkan jumlah kerusi parti tersebut di dewan undangan negeri di dalam usaha mereka untuk mendapatkan semula hak menerajui kerajaan negeri Perak.

Adalah juga difahamkan bahawa usaha sogokan tersebut telah bermula sejak selepas pilihanraya umum tahun lalu selesai.

Bagi kita, tindakan yang dilakukan oleh para pemimpin Umno ini adalah amat keji, kurang ajar dan bertujuan untuk menggugat kestabilan kerajaan dan negeri Perak pada amnya demi mencapai kepentingan politik mereka sendiri.

Di dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu berikutan krisis kewangan yang kini sedang melanda seluruh dunia, ditambah pula dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat oleh kerana penutupan ratusan perniagaan dan sector pengilangan, Umno sepatutnya lebih prihatin dan menumpukan perhatian mereka di dalam membantu rakyat menghadapi keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu, tetapi sebaliknya memilih untuk mengetepikan kebajikan rakyat jelata pada keseluruhannya.

Umno lebih mengutamakan kepentingan kuasa politiknya daripada kebajikan dan kepentingan rakyat dengan terus berusaha untuk menghuru-harakan keadaan politik di negeri Perak dengan beberapa adegan-adegan melompat parti agar kerajaan negeri yang ada sekarang tidak dapat menumpukan perhatian mereka di dalam pentadbiran.

Selain dari menganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri Perak, Umno juga telah memperbesar-besarkan masalah lompat parti tersebut dengan liputan media-media milik BN dan Umno secara meluaskan mengaitkan kelemahan Pakatan Rakyat di dalam menerajui kerajaan tersebut, serta menghasut dan memberikan maklumat-maklumat yang kurang tepat kepada Istana Kinta supaya salahfaham dan perselisihan di antara pihak kerajaan dan istana dapat berlaku.

Nafsu jahat Umno yang begitu rakus dengan keagungan kuasanya jelas terbukti dengan perbuatan mereka yang keji sekali. Perbuatan Umno tersebut juga jelas tidak Islam kerana orang-orang Islam yang taat beriman tidak akan sekali-kali menganiayai serta menfitnah rakan-rakan mereka yang seugama dengan mereka ataupun rakan-rakan mereka yang bukan Islam.

Perbuatan Umno tersebut juga jelas tidak berlandaskan hukum-hukum Islam yang didakwa diperjuangkan oleh mereka selama ini. Perbuatan Umno ini seolah-olah ingin melihat lebih ramai umat-umat kita menderita secara berterusan dan ingin kami tegaskan bahawa perbuatan Umno ini jelas berpandukan kepada prinsip yang dipelopori oleh Firaun semata-mata.

Oleh yang demikian, kita harus menolak Umno dengan sepenuhnya bagi membolehkan rakyat hidup secara aman, harmoni dan bersatu. Semoga perbuatan yang setaraf dengan syaitan ini tidak akan berpanjangan.

No comments: