Di dalam menghadapi arus perbalahan dan cabaran politik yang semakin mencabar ini, ramai di antara ahli-ahli politik khususnya daripada sebuah parti yang berasas perkauman yang kuat dan gemar memperjuangkan idea-idea tersebut bersama dengan agenda ketuanan mereka sering memperalatkan sesuatu tajuk bagi memenuhi agenda politik peribadi mereka dengan sewenang-wenangnya.
Yang paling terbaru adalah di negeri Perak yang telah kita ketahui Umno telah berjaya menggulingkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat melalui satu siri rampasan kuasa yang didalanginya dengan bantuan seorang pemimpin tertinggi Umno yang bakal mengepalai negara ini pada bulan hadapan.
Di dalam siri rampasan kuasa oleh Umno baru-baru ini, ramai di kalangan pemimpin parti tersebut telah mempergunakan idea "derhaka" untuk melabel para pemimpin Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat negara.
Apakah erti "derhaka" di dalam agenda yang sedang dimainkan oleh Umno ini? Sebenarnya tidak ada perkataan "derhaka" langsung di dalam politik negara ini kerana negara kita adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan di mana sistem beraja di negara kita ini adalah berlandaskan sistem pemerintahan berparlimen dan kerajaan sebagai jentera pentadbiran yang sebenarnya di negara ini.
Negara kita bukannya sebuah negara yang mengamalkan sistem beraja yang berkuasa seperti di Brunei ataupun di beberapa buah negara Arab di mana negara-negara ini mempunyai Raja yang berkuasa mutlak ke atas jentera pentadbiran negara.
Oleh kerana itu tidak timbul soal "derhaka" di dalam sistem politik negara kita apabila kita berurusan dengan sistem beraja kita kerana negara kita mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan dengan pemerintahan dilaksanakan oleh sebuah kerajaan pusat yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada parlimen dan bukannya raja-raja. Pemerintahan beraja di negara kita ini hanyalah sebagai suatu sistem tradisional.
Di dalam proses ini, kesemua lapisan masyarakat termasuk ahli-ahli politik berhak untuk berutusan atau berhubung dengan mana-mana raja bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan rakyat serta suasana politik di negara ini.
Selain itu, rakyat juga berhak untuk menegur mana-mana raja-raja sekiranya terjadi apa-apa bentuk masalah yang timbul akibat daripada kesalahan atau kesilapan yang tidak disengajakan atau mungkin disengajakan bagi memperbetulkan keadaan dari masa ke semasa.
Kerajaan-kerajaan negeri dan pusat juga berhak untuk menegur raja-raja mereka dari masa ke semasa di dalam isu-isu yang tertentu sekiranya ianya telah menjadi masalah yang diakibatkan oleh raja-raja agar sistem pemerintahan negara dan undang-undang dapat dilaksanakan dengan lancar bagi faedah rakyat.
Kita lihat di Indonesia, apabila negara tersebut ditukar kepada sistem republik demokrasi berpresiden dan pemerintahan beberapa orang kerabat diraja dan sultan di negara itu diturunkan taraf mereka kepada jawatan Gabenor, tidak ada soal "derhaka" timbul langsung sewaktu rombakan besar-besaran sistem pemerintahan negara itu dilaksanakan.
Oleh yang demikian, kita janganlah terpengaruh dengan begitu rapat sekali dengan idea-idea rakus yang sering mengetengahkan agenda-agenda "derhaka" terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat kerana ianya tidak akan membawa sebarang faedah kepada kita semua tetapi sebaliknya ia hanya akan menguntungkan para pemimpin Umno yang mendakwa ianya sebagai "pembela" kepada kaum yang tertentu.
Agenda-agenda "derhaka" yang dipelopori Umno itu hanyalah modal politik mereka semata-mata bagi menutup kelemahan mereka dan ketidakrelevan mereka pada masa kini.
No comments:
Post a Comment