Wednesday, February 25, 2009

Umno dan dendam mendalamnya terhadap Pakatan Rakyat

Kita memang mengetahui bahawa Umno sehingga kini masih menerajui kementerian pelajaran dan itu adalah hakikatnya. Melalui penguasaannya terhadap kementerian tersebut, Umno telah mengarahkan semua pengarah pelajaran negeri agar memantau dengan ketat sekolah-sekolah di seluruh negara dan mengarahkan mereka agar tidak menjemput ataupun mengambil bahagian di dalam sebarang acara yang dianjurkan oleh Kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Selain daripada itu, sekolah-sekolah juga turut diarah agar tidak menjemput mana-mana anggota kerajaan atau wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat untuk merasmikan upacara ataupun majlis-majlis anjurannya.

Akibat daripada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Subang Jaya Puan Hannah Yeoh ditegah daripada menghadiri jamuan makan malam anjuran persatuan bekas pelajar sekolahnya sendiri yang dianjurkan di perkarangan sekolah tersebut.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Professor Dr P.Ramasamy pula dilarang daripada menghadiri majlis-majlis anjuran beberapa sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil di negeri tersebut.

Paling terbaru, Lembaga Pengarah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Sin Ming yang enggan mematuhi arahan kementerian tersebut, menjemput Mentri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merasmikan bangunan baru sekolah tersebut.

Oleh kerana lembaga pengarah sekolah tersebut tidak mengendahkan arahan kementerian, mereka telah bertindak mengarahkan agar pengetua dan guru-gurunya tidak menghadiri upacara perasmian tersebut dan tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi arahan tersebut.

Nampaknya dendam Umno terhadap Pakatan Rakyat semakin membara dan sanggup membelakangkan kepentingan rakyat bagi memastikan kedudukan politik mereka terjamin.

Selain itu, tindakan Umno tersebut juga bertujuan untuk menghukum rakyat di negeri-negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat, akan akibat tidak mengundi BN-Umno pada pilihanraya umum yang lalu.

Sehingga kini, Umno masih enggan menerima hakikat yang mereka telah kehilangan sokongan umum.

No comments: