Wednesday, January 28, 2009

Elemen pro-Umno di dalam kerajaan negeri ancam keselamatan

Mengikut laporan sebuah akhbar tempatan, setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim mendakwa telah menerima suatu laporan daripada sumber di dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengenai tunggakan cukai taksiran yang disenarai mengikut parti-parti politik, termasuk Umno sendiri.

Jika sekiranya dakwaan oleh Azhar mengenai “sumber” beliau di dalam MPSP itu betul, maka ini bermakna terdapat masalah yang serius di dalam pentadbiran MPSP itu sendiri. Kewujudan elemen-elemen dan anasir-anasir yang pro-Umno di dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri tidak boleh dipandang ringan sahaja kerana jika sekiranya ianya dibiarkan berleluasa, ianya boleh mengganggu-gugat perjalanan harian pentadbiran kerajaan negeri.

Selain daripada itu, kewujudan elemen-elemen dan anasir-anasir pro-Umno di dalam jentera pentadbiran kerajaan negeri ini juga boleh menyebabkan sistem, dokumentasi dan rekod kerajaan disalin secara tidak sah atau dicuri. Kegiatan sabotaj juga berkemungkinan akan dilakukan oleh anasir-anasir pro-Umno ini bagi mengugat kestabilan dan keselamatan di dalam negeri dan sekaligus menghuru-harakan perjalanan pentadbiran negeri.

Jika elemen-elemen dan anasir-anasir pro-Umno ini bertukar menjadi radikal di suatu hari nanti, ianya boleh menyebabkan keselamatan negeri Pulau Pinang terancam sekiranya ianya tidak dibendung dengan segera.

Oleh yang demikian, kerajaan negeri perlu mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengekang kegiatan-kegiatan negatif ini bukan sahaja di dalam MPSP, malah pejabat-pejabat dan jabatan-jabatan kerajaan negeri yang lain juga perlu dipantau agar kegiatan elemen-elemen dan anasir-anasir yang pro-Umno ini dapat dibendung dengan segera bagi menjamin keselamatan kerajaan dan rakyat negeri Pulau Pinang.

No comments: