Dua hari sebelum pengundian, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi begitu yakin Barisan Nasional akan menang dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Keyakinan beliau dizahirkan setelah dua kali lawatan ke kawasan PRK itu.
Kini Perdana Menteri pasti kecewa dengan keputusan rakyat Malaysia di Kuala Terengganu menolak Umno dan BN. Walaupun sepanjang kempen, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Salleh yang dihebohkan sebagai proksi beliau dan akan menjejaskan peluang parti pemerintah, Abdullah tetap menolak tuduhan itu.
"Saya kenal Wan Ahmad Farid kerana kebetulannya dia telah menjadi Setiausaha Politik kepada saya dan kemudian dilantik sebagai timbalan menteri dan itu adalah atas keyakinan saya yang dia mampu buat kerja dan buat kerja dengan baik."
Namun Wan Ahmad Farid kecundang juga, dan mulai semalam dan sepanjang kerjaya politiknya, beliau terpaksa menerima hakikat bahawa beliau tewas dengan majoriti yang besar kepada Pas di kawasan yang dianggap kubu kuat BN.
Di kalangan orang Umno sendiri ini, PRK Kuala Terengganu adalah lanjutan dari legasi politik Abdullah, yang walaupun dikatakan berniat baik, sering salah telahannya.
Yang terpaksa menanggung beban calon yang dikatakan proksi Perdana Menteri adalah timbalannya Datuk Seri Najib Razak. Para penganalis sudah pun membuat andaian bahawa kekalahan BN dalam PRK Kuala Terengganu adalah tamparan hebat buat Najib.
Malah dijangkakan selepas ini Najib turut terpaksa menanggung beban dasar-dasar Abdullah yang tidak begitu teguh dipegang dan dilaksanakannya; merumitkan lagi proses Najib menggantikan ketuanya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno pada Mac ini.
Di kalangan kepimpinan Pakatan Rakyat, ramai yang masih berharap Abdullah tidak menyerahkan jawatan kepada Najib kerana kehadirannya dalam suasana politik negara banyak membantu parti-parti pembangkang persekutuan.
Pada malam selepas calon Pas Mohd Abdul Wahid Endut diisytiharkan menang PRK Kuala Terengganu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan hasratnya supaya Abdullah terus kekal memimpin kerajaan selepas Mac ini untuk meneruskan reformasi dalam bidang-bidang kehakiman, anti-korupsi dan pentadbiran bersih.
Tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan Abdul Hadi itu benar-benar ikhlas atau sekadar sindiran.
Apa tidaknya, Abdullah dianggap sebagai punca tsunami politik pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu di mana Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat merampas lima negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.
Begitu juga kembalinya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang Parlimen berikutan kemenangan semula di kerusi lamanya dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos tahun lalu.
Bagi Pakatan, selagi Abdullah memimpin Umno, BN dan kerajaan, malang akan terus menimpa parti pemerintah yang dilihat seolah-olah masih tidak faham mengapa mereka kehilangan begitu banyak kerusi dalam PRU lalu.
Kelemahan pentadbiran dan gaya politik Abdullah juga menonjolkan imej Pas dan PKR di kalangan orang Melayu sebagai alternatif kepada Umno. Ini juga faktor penting buat Najib untuk menangani masalah hakisan populariti Umno di kalangan orang Melayu.
Apabila Najib menerajui kerajaan pusat, segala masalah ini yang akan diwarisinya. Untuk memulihkan semula semangat Umno dan BN, banyak yang Najib harus lakukan, termasuk meletakkan muka-muka baru untuk memberi wajah segar kepada parti yang mula tergugat kewibawaan politiknya.
Masalahnya nanti, apabila muka-muka lama merasakan diri mahu digugurkan, mereka akan gelisah dan mungkin mencari jalan keluar. Bagi orang politik, keselesaan memegang jawatan dan kuasa amat sukar untuk dilemparkan begitu sahaja.
Apakah mereka akan menimbulkan krisis dalaman parti? Adakah mereka akan melompat parti menyertai PKR atau Pas, atau mungkin juga DAP? Apakah semua ini mungkin berlaku sebelum PRU akan datang yang dijangka diadakan pada tahun 2012?
Jika pun semua kemungkinan ini berlaku, ia tertakluk kepada kedudukan para pemimpin Umno pada Mac ini di mana perwakilan parti akan memilih barisan kepimpinan baru.
Najib sudah pun bersedia mengambil alih kepimpinan berikutan tiada pertandingan tetapi beliau perlu menerima keputusan perwakilan bagi semua jawatan lain. Adakah barisan baru Umno nanti mampu untuk memulihkan semula maruah dan kewibawaan parti yang dikatakan telah dicalarkan oleh Abdullah atas kelemahan kepimpinannya?
Jika Pakatan Rakyat memahami aspirasi berbeza dari rakyat pelbagai kaum dan agama, dan mampu memenuhi atau setidak-tidaknya berjanji untuk memuaskan hati rakyat, tidak mustahil Umno dan BN tidak lagi dilihat sebagai satu-satunya wadah dan harapan rakyat yang setia kepada mereka sejak lebih 50 tahun lalu.
Di kalangan penyokong Pakatan, mereka hanya berharap kepimpinan barisan pembangkang persekutuan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama untuk menguraikan kekusutan masalah-masalah yang selama ini sentiasa mengancam untuk memecahkan kebulatan perpaduan mereka.
Andainya persepsi rakyat kepada Pakatan mencerminkan harapan positif, Najib yang mewarisi kemelut politik Abdullah terpaksa menerima hakikat bahawa jawatan sebagai presiden parti atau Perdana Menteri tidak akan banyak membantu beliau untuk memastikan Umno dan BN kekal menerajui kepimpinan kerajaan.
Dari suara-suara yang kedengaran di ruang-ruang perbahasan politik kedai kopi dan café mewah, pemimpin-pemimpin Umno masih tidak faham mengapa rakyat marah pada mereka dan tetap kabur dengan hala tuju parti.
Sepanjang minggu ini Najib sedang dan akan terus berhadapan dengan wartawan, ahli dan penyokong Umno serta BN, dan orang ramai di mjalis-majlis yang dihadirinya; sesuatu yang pedih dan perit berikutan kekalahan PRK Kuala Terengganu.
Abdullah pula telah pun berlepas ke Asia Barat untuk lawatan rasmi ke Bahrain, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu. Beliau kini sibuk dengan lawatan-lawatan sedemikian sejak beberapa bulan lalu.
Senario ini juga diperhatikan dengan serius bukan sahaja oleh kalangan penganalis politik tetapi juga rakyat Malaysia yang prihatin - Wan Hamidi Hamid, Pengarang Roket.
No comments:
Post a Comment