Kenyataan yang dibuat oleh ketua penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhamad Taib baru baru ini yang mengatakan bahawa perbezaan pendapat di antara parti-parti komponen Pakatan Rakyat akan menyebabkannya ia berpecah jelas telah memakan dirinya sendiri dan juga Umno.
Ini adalah kerana Muhammad sebenarnya tidak begitu faham dengan idea-idea politik yang berlandaskan demokrasi penuh baru-baru ini. Perbezaan pendapat di dalam Pakatan Rakyat menunjukkan kepada rakyat bahawa pakatan pembangkang tersebut benar-benar mengamalkan demokrasi di dalam erti kata sebenarnya kerana setiap parti komponen di dalam Pakatan Rakyat tidak mengira besar ataupun kecil adalah dibenarkan mengemukakan pendapat mereka secara umum untuk diperdebatkan agar suatu kefahaman dapat dicapai di kalangan mereka. Itulah yang dimaksudkan demokrasi yang sebenarnya. Di dalam Pakatan Rakyat, tidak ada mana-mana parti walaupun ianya besar yang dapat menguasai keseluruhan pakatan pembangkang tersebut dan tidak ada dominasi yang wujud di dalam pakatan tersebut.
Di dalam Barisan Nasional (BN) pula, amalan tersebut adalah sebaliknya. Umno selaku parti terbesar di dalam BN mendominasi keseluruhan BN di dalam keputusan, penetapan dasar dan arah tuju barisan tersebut dan tidak ada parti-parti komponen lain di dalam BN yang berhak menolak atau mendebatkan sesuatu polisi untuk disempurnakan sepenuhnya. Apa yang ditetapkan oleh Umno harus dituruti oleh setiap parti komponen tanpa berbanyak soal mengenai kebaikan atau keburukannya.
Selain daripada itu, kepimpinan di dalam BN juga beroperasi sama seperti suatu kongsi gelap dan kesemua perbincangan dan keputusan tidak kesemuanya didedahkan kepada tatapan umum atau sebagainya. Adakah itu demokrasi yang sebenarnya. Rakyat kita sehingga kini tidak akan mengetahui sebarang usul atau ketetapan yang diputuskan oleh kesemua parti-parti komponen BN kerana kesemua perjalanan mesyuarat umum dijalankan secara tertutup dan rahsia. Kita tidak alan mengetahui sekiranya kesemua parti-parti komponen BN benar-benar mencapai sesuatu keputusan secara konsensus seperti yang didakwa oleh Umno selama ini. Adakah benar-benar parti-parti komponen BN ini dilayan dengan samarata dan saksama.
Kita perlu ingat bahawa bekas presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik pernah mengakui sendiri bahawa MCA, MIC, Gerakan, PPP dan sebagainya perlu menjadi seperti pengemis apabila mereka ingin membentangkan sesuatu cadangan kepada Umno untuk diterimanya.
Kita yakin bahawa rakyat dan pengundi telah memahami di manakah kebenaran dan pembohongan sebenarnya berlaku di dalam arena politik Malaysia sekarang. BN tidak akan bertahan lama kerana Umno itu sendiri penuh dengan perbalahan di antara puak di dalamnya dan tambah pula dengan gejala politik wang dan pengundi hantu dalamannya yang cukup serius.
Masalah dalaman Umno itu tidak akan berakhir dan selagi ianya berterusan, maka BN tidak akan dapat menunjukkan kerelevannya kepada umum di masa yang akan datang.
No comments:
Post a Comment