Keputusan Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) untuk menarik balik saman yang difailkan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung dengan pemasangan tanda jalan pelbagai bahasa atas alasan kekurangan sumber kewangan jelas telah memalukan dan memakan diri mereka.
Mungkinkah jikalau kita katakan bahawa GGMM telah gentar dengan tindakan kerajaan negeri untuk mendapatkan sepuluh orang peguam yang berpengalaman untuk menangani saman yang dikemukakan oleh GGMM yang kemudiannya tidak begitu yakin akan memenangi kes saman tersebut lantas mengambil keputusan untuk menarik diri dengan serta-merta.
Tindakan GGMM tersebut jelas menunjukkan ianya bermotifkan politik dan telah dipengaruhi oleh parti ekstremis seperti Umno. Apa yang dibuat oleh GGMM sekarang ini juga telah menunjukkan bahawa kegiatan mereka telah terpesong terus daripada matlamat dan tujuan sebenarnya pertubuhan tersebut serta membazirkan sumber kewangan hasil daripada sumbangan dan keahlian mereka dengan sewenang-wenangnya.
GGMM sepatutnya menumpukan perhatian mereka terhadap aspek dan kebajikan ahli-ahlinya, termasuk membantu para graduan Melayu yang masih menganggur dan tidak mendapat pekerjaan serta membantu mereka untuk mendapatkan keperluan skim latihan lanjut untuk membolehkan mereka memulakan pekerjaan mereka dengan jayanya. Perbuatan GGMM yang ingin mempolitikkan isu-isu pemasangan tanda-tanda jalan pelbagai bahasa telah menunjukkan sikap mereka yang kurang matang dan lebih bertumpu ke arah fahaman yang ekstermis daripada menumpukan perhatian mereka terhadap matlamat dan tujuan pertubuhan itu sebenar iaitu kebajikan dan keperluan graduan-graduan serta pelajar Melayu.
Malah di dalam asyik mengejar nama dan kedudukan, GGMM sanggup melupakan tujuan sebenar mereka dengan melibatkan diri mereka di dalam arena politik sewenang-wenangnya. Dan di dalam merancang saman terhadap kerajaan negeri berkenaan dengan isu tanda-tanda jalan pelbagai bahasa tersebut, GGMM telah juga lupa akan kedudukan mereka sekarang, GGMM masih belum didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan sah dan masih di peringkat jawatankuasa penaja.
Oleh itu, GGMM tidak memikirkan bahawa sebagai sebuah pertubuhan yang belum didaftarkan, adakah saman mereka terhadap kerajaan negeri akan diiktiraf dan diterima pakai oleh mahkamah untuk menjalankan perbicaraan saman tersebut. Sudah pastinya pihak mahkamah tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan saman yang dikemukakan oleh sebuah pertubuhan yang tidak atau belum didaftarkan.
Jadi, GGMM harus duduk semula sesama mereka untuk mengkaji semula apakah tindakan mereka ini betul atau tidak, sama ada kegiatan yang mereka jalankan sekarang ini berlandaskan tujuan sebenarnya penubuhan GGMM, dan memahami semula dengan lebih mendalam apakah itu GGMM yang mereka inginkan atau membawanya ke mana?
Tidak ada gunanya sekiranya mereka hanya ingin menubuhakan GGMM semata-mata untuk mendapatkan jawatan atau nama bagi sesuatu kumpulan tertentu tanpa melihat kepada tujuan diadakan nama GGMM dan macam mana untuk mengguna pakai GGMM itu untuk para ahli-ahlinya dan kebajikan mereka pada keseluruhannya.
Sekiranya mereka ini masih belum jelas dengan apakah erti kata sebenarnya dan keperluan GGMM untuk ditubuhkan, kami menasihatkan mereka agar menarik balik permohonan penubuhan mereka daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia – rujukan Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment