Daripada fakta-fakta yang telah kita kaji dengan mendalam, tambah dengan perakuan beberapa pengkaji sejarah jelas telah menunjukkan bahawa Umno bukanlah parti politik yang sebenarnya memperjuangkan kemerdekaan negara kita sebelum ini.
Fakta-fakta yang dikaji beserta dengan perakuan tersebut juga telah dengan sendirinya telah terbukti berikutan kejayaan penerbitan beberapa buku yang berkisahkan beberapa pemimpin Melayu dari Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Rashid Maidin, Abdullah C.D., Samsiah Fakeh, Abu Samah dan Kamarulzaman Teh serta kegiatan-kegiatan awal perjuangan mereka.
Malah beberapa dekad sebelum kewujudan Umno, telah terdapat dua parti nasionalis Melayu yang telahpun bergiat aktif di dalam memperjuangkan kemerdekaan negara kita. Mereka adalah Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Kedua-dua parti politik Melayu ini telah jelas membuktikan perjuangan mereka pada masa itu yang menentang penjajah British dengan tuntutan kemerdekaan mereka yang secara terbuka.
Sejarah awal mengenai kegiatan-kegiatan pro-kemerdekaan yang digerakan oleh KMM, PKMM dan kemudiannya PKM adalah tidak dapat dinafikan kerana ianya telah dicatat dan diiktiraf, walaupun adalah usaha oleh segelintir pemimpin Umno yang cuba untuk memutarbelitkan fakta tersebut yang menyatakan KMM dan PKMM adalah parti-parti pro-British. Fakta mengenai kegiatan-kegiatan pro-kemerdekaan yang diusahakan oleh para pemimpin Melayu di dalam PKM adalah juga tidak dapat dinafikan dengan sepenuhnya. Para pemimpin Melayu PKM ini telah meneruskan usaha-usaha perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh KMM dan PKMM sebelum ini dengan perjuangan bersenjata menentang penjajahan British dan seterusnya pendudukan Jepun dan kemudiannya pendudukan semula British.
Malah perjuangan bersenjata PKM yang berterusan pada zaman pra-kemerdekaan telah menyebabkan pihak British terpaksa menaja penubuhan Umno demi mengusahakan kemerdekaan di pihak mereka secara aman.
Dengan terbongkarnya beberapa fakta sejarah ini, ia telah membuktikan bahawa apa yang didakwa oleh Umno sebagai pemilik usaha kemerdekaan adalah tidak benar sama sekali. Umno yang ada pada hari ini bukanlah pejuang kemerdekaan yang asal dalam erti kata yang sebenarnya. Hakikatnya adalah Umno hanya bertindak sebagai penerima kemerdekaan pada tahun 1957. Apa yang telah diusahakan oleh KMM, PKMM dan PKM sebelum ini telah dinikmati sepenuhnya oleh Umno yang kemudiannya telah memperoleh hak kemerdekaan tersebut sebagai milik tunggalnya.
Oleh yang demikian, Umno pada hari ini juga tidak berhak untuk memiliki apa yang dikatakan “ketuanan Melayu” dan perjuangan Islam. KMM dan PKMM adalah pejuang bangsa Melayu dan agama Islam yang asal dan yang sebenarnya, di mana ianya cuba dinafikan oleh beberapa pemimpin Umno pada hari ini.
Umno yang ada pada hari ini hanyalah sebuah parti politik biasa yang diperkumpulkan oleh beberapa pemimpin yang berkepentingan tertentu di dalam memastikan kekayaan mereka yang di bawah naungan “perjuangan bangsa dan agama” akan senantiasa dikecapi secara berterusan, dengan kuasa dimonopoli oleh kegiatan politik wang mereka, ditambah pula dengan beberapa skandal-skandal seks serta jenayah yang berkemungkinan besar akan terbongkar di masa yang akan datang.
No comments:
Post a Comment