Keupayaan PAS di Kelantan mengekalkan kerajaan sehingga lebih 18 tahun antaranya kerana kebencian rakyat terhadap dendam politik yang diamalkan pemimpin Umno.
Pelbagai penderaan yang dilakukan termasuk menafikan banyak peruntukan yang sepatutnya disalurkan untuk faedah rakyat di negeri ini. Hari ini situasi yang serupa berlaku terhadap negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.
Berdasar kepada petunjuk itu keupayaan Umno dan Barisan Nasional merampas kembali pentadbiran negeri terbabit semakin mengecil sama seperti berlaku di Kelantan sejak 18 tahun lalu.
Dan semalam pemimpin Umno yang masih mempunyai kuasa di peringkat persekutuan, antaranya Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegah ketua jabatan dan agensi pusat daripada menghadiri mesyuarat bersama pemimpin kerajaan Perak berkuatkuasa serta merta.
Mengulas perkembangan itu Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat melahirkan rasa terkejut di atas kenyataan dikeluarkan seorang menteri yang menjaga hal ehwal agama.
"Sepatutnya sebagai menteri menjaga agama beliau menjadi rujukan dan ikutan kepada orang lain dengan mempamerkan akhlak yang baik. Namun apa yang berlaku sekarang memperlihatkan dendam politik.
"Pemimpin seperti itu sebenarnya belum pernah teruji dan apabila diuji dengan kekalahan dia akan terperangkap dan langsung tidak mencerminkan kewibawaan yang ada pada dirinya," katanya di sini.
Menurutnya yang juga Adun Limbongan kenyataan seperti itu hanya bersifat kebudak-budakkan yang tidak sepatutnya keluar daripada seorang menteri.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, arahan terbaru yang dikeluarkan menegah pegawai kerajaan pusat menghadiri mesyuarat dengan kerajaan negeri akan menjadi senjata makan diri.
"Ini memperlihatkan betapa egonya seorang menteri kabinet kerajaan BN. Sepatutnya petunjuk yang dizahirkan rakyat pada Mac lalu dan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari lalu sudah menjadi iktibar.
"Kita yakin dengan sikap dipamerkan seperti itu menyebabkan rakyat semakin muak dan kejatuhan kerajaan BN sekarang sudah berada di ambang pintu," ujarnya. Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, arahan yang tidak matang itu jelas menggambarkan dendam politik pemimpin Umno.
Katanya, sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama lebih cermat dalam tutur kata.
"Namun dengan kenyataannya semalam menggambarkan ada usaha-usaha yang terselindung bagi mengganggu kerajaan negeri apabila tiada kerjasama daripada agensi kerajaan pusat," katanya.
Bagaimanapun katanya, fenomena tersebut sebenarnya boleh mempercepatkan kejatuhan kerajaan BN yang kini sudah pun bergerak ke arah itu.
Kata beliau sepatutnya pemimpin Umno belajar daripada suasana politik yang ada pada hari ini dan bukannya terus menunjukkan sikap dendam.
Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Haji Ubaidah Yaakub mempersoalkan apakah Zahid cakap menggunakan emosi atau minda.
No comments:
Post a Comment