Sebagaimana yang telah kita ketahui, apabila tiba sahaja pilihanraya kecil di sesuatu kawasan parlimen atau dewan undangan negeri, kawasan tersebut akan dihujani dengan pelbagai projek pembangunan dan pelbagai bantuan kewangan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Pilihanraya kecil terbaru adalah di kawasan parlimen Kuala Terengganu yang kosong akibat dari kematian penyadangnya daripada BN sebelum ini. Pilihanraya kecil yang lalu adalah di kawasan parlimen Permatang Pauh pada tahun lalu dan PKR menang sekali pun kawasan tersebut telah didatangani dengan pelbagai projek dan janji-janji pembangunan berterusan.
Perlulah kita mengetahui bahawa, kerajaan BN akan hanya membawa pelbagai peruntukan, pembangunan dan bantuan kewangan ke kawasan tersebut sekira adanya pilihanraya kecil berlaku di tempat tersebut. Sekiranya tidak ada pilihanraya kecil yang berlaku di kawasan tersebut, apakah yang akan terjadi kepada pelbagai peruntukan, pembangunan dan bantuan kewangan tersebut? Adakah ia akan tetap disalurkan kemudian ataupun sebaliknya? Persoalannya, adakah kerajaan BN benar-benar ikhlas di dalam menyalurkan kesemua bantuan ini kepada rakyat jelata?
Kita sering mendengar bahawa, sewaktu pilihanraya kecil berlaku di sesuatu kawasan, kerajaan BN akan mempercepatkan kempen pilihanrayannya dengan menyalurkan pelbagai bantuan, peruntukan dan kewangan kepada sekolah-sekolah, badan-badan kebajikan, jalanraya ditar dan diperbaiki, lampu isyarat, lampu jalanan dipasang atau diperbaiki dan kemudahan asas di kawasan perumahan dipertingkatkan dan sebagainya. Dengan BN akan berkata, hanya merekalah yang boleh membawa pembangunan dan ini dia pembangunan yang dimaksudkan itu.
Sewaktu pilihanraya kecil di suatu kawasan pada tahun yang lalu, kami telah membuat tinjauan khusus di beberapa buah kampong di kawasan tersebut bagi mendapatkan reaksi beberapa penduduk dan pengundi mengenai beberapa projek pembangunan dan peruntukan yang disalurkan oleh BN dengan begitu cepat sewaktu pilihanraya. Jawapan daripada penduduk kampong tersebut adalah “jalan-jalan kecil di depan rumah saya ini dah berpuluh tahun tidak ditar dan tiba-tiba bila didatangani dengan wakil BN dan pihak JKR bubuh tar di jalan-jalan ini dari satu hujung ke satu hujung dengan begitu cantik”. Seorang lagi penduduk menyampuk “bila kita minta jalan tar 10 hingga 20 tahun yang lalu permohonan kami tidak dilayan dengan cepat, malah wakil BN kata peruntukan tidak cukup, kena ikut giliran lah dan pelbagai karenah lagi”. Tambah beliau “bila tiba pilihanraya kecil semuanya pun datang dengan cepat sekali, yang kita tak pohon pun mai jugak”.
Jadi, agenda BN yang sebenarnya adalah bila adanya pilihanraya kecil, maka pembangunan akan disalurkan dengan alasan itu hanya kebetulan sesuatu projek itu telah diluluskan pada tarikh yang sekian, sekian dan sebagainya. Jikalau tidak ada pilihanraya kecil, bagaimana pula dengan pelbagai peruntukan-peruntukan tersebut dan di manakah ianya akan disalurkan? Adakah peruntukan itu hanya khusus untuk pilihanraya kecil semata-mata ataupun ianya telah diperuntukkan kepada kawasan tersebut? Adakah kerajaan BN akan jujur dan ikhlas di dalam mengenalpasti kedudukan sebenarnya peruntukan-peruntukan tersebut sama ada ianya dana pembangunan ataupun tambung pilihanraya semata-mata?
Oleh yang demikian, rakyat kita perlu peka dan berhati-hati di dalam membuat keputusan di mana-mana pilihanraya yang akan datang bagi memastikan agar kita tidak termakan ataupun terpengaruh dengan pelbagai janji-janji berbentuk rasuah dan cakap-cakap manis yang sebegini.
No comments:
Post a Comment