Sunday, March 15, 2009

Tunku Aziz seru pengharaman nama Allah dikaji semula

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim baru-baru ini telah menggesa kerajaan pusat yang diterajui oleh Umno agar mengkaji semula tindakan untuk mengharamkan penggunaan nama Allah di dalam penerbitan bukan Islam sebelum mahkamah mengeluarkan penghakimannya.

Menteri di jabatan perdana menteri Datuk Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan kini sedang mengusahakan satu undang-undang yang bakal mewajibkan negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja seperti Pulau Pinang, Melaka, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak agar mengikut jejak langkah kerajaan pusat di dalam menguatkuasakan larangan pengunaan nama Allah di dalam sebarang penerbitan bulan Islam.

Perbuatan Zahid tersebut jelas tidak adil sama sekali kerana beliau tidak mahu menunggu keputusan penghakiman mahkamah yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Selain itu, tindakan Zahid tersebut juga tidak menghormati sistem perundangan di negara kita ini.

Perbuatan Zahid yang tergesa-gesa itu jelas memperlihatkan tindakan beliau dan para pemimpin Umno lain cuba mempergunakan isu sensitif ini bagi memancing sokongan dan undi untuk pemilihan majlis tertinggi Umno yang akan diadakan pada penghujung bulan Mac ini.

Sebelum ini, menteri dalam negeri Datuk Syed Hamid Albar telah menandatangani arahan membenarkan pengunaan nama Allah di dalam penerbitan bukan Islam tetapi kemudian menarik balik arahan tersebut dengan alasan kementeriannya telah melakukan suatu kesilapan.

Tunku Aziz juga berkata adalah menjadi suatu hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang dikongsi hidup oleh semua kaum dan masyarakat berbilang agama di mana sesuatu pihak tidak berhak untuk mengakui ketuanannya ke atas kaum dan agama yang lain.

No comments: