Sunday, March 15, 2009

SIAP tiada kuasa langsung

Rang undang-undang penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) yang dibentang di dalam parlimen baru-baru ini jelas memperlihatkan isi kandungan dan bakal peranannya yang amat terhad sekali.

Ini adalah kerana SIAP tidak mempunyai bidang kuasa yang penuh serta mencukupi bagi memastikan ketelusan dan keadilannya di dalam menjalankan pelbagai tugasannya, seperti menyiasat, mendakwa, memberikan penetapan dan perlaksanaan.

Mengikut rang undang-undang tersebut segala urusan dan perlaksanaan SIAP masih tertakluk kepada arahan dan keputusan peguam negara yang berada di bawah arahan perdana menteri, sama ada sesuatu kes, pengaduan ataupun penyiasatan perlu dimulakan, diteruskan atau sebaliknya.

Ini bermakna SIAP bukannya sebuah badan yang bebas sepenuhnya. Ianya akan dibentuk sama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih di bawah pengawasan jabatan perdana menteri.

Selain daripada itu, adalah amat mustahil dan tidak masuk akal bagi membukti yang SIAP dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan sempurna kerana peranan yang bakal mereka mainkan akan meliputi lebih 21 buah agensi penguatkuasa yang mengandungi pelbagai undang-undang, prosedur dan peraturan yang akan bercanggah dengan tugas dan tanggungjawab SIAP itu sendiri.

Oleh itu, SIAP tidak akan dapat berfungsi dengan berkesan memandangkan keperluannya untuk meliputi puluhan agensi penguatkuasa yang mempunyai pelbagai undang-undang, prosedur dan peraturan yang berlainan bentuk dan sekiranya SIAP ingin bertindak terhadap sesuatu agensi ianya tidak akan dapat berbuat demikian secara berkesan dengan penggunaan prosedur perintahnya kerana ia mungkin bercanggah atau tidak dapat diguna pakai melalui agensi-agensi penguatkuasa yang berkenaan.

Jadi, penubuhan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) seperti yang diperkenankan oleh Suruhanjaya DiRaja mengenai Pasukan Polis pada tahun 2006 yang lalu adalah jalan penyelesaian yang sepatutnya dilaksanakan dengan segera.

Tetapi kerajaan BN-Umno masih enggan menerima hakikat, sebaliknya terus berdolak-dalik dan memutarbelitkan usaha-usaha tersebut dengan memberikan pelbagai alasan yang tidak dapat diterima oleh rakyat jelata.

No comments: