Calon timbalan presiden Umno Datuk Mohd Ali Rustam telah hilang kelayakan untuk bertanding merebut jawatan dalam parti tersebut pada penghujung bulan Mac ini kerana beliau telah didapati terlibat secara aktif dalam kegiatan politik wang oleh jawatankuasa disiplin parti.
Sebenarnya perkataan “politik wang” itu tidak pernah wujud. Ianya direka cipta oleh segelintir pemimpin Umno bertujuan untuk mengelirukan rakyat mengenai perbezaan perkataan tersebut. Gelaran sebenarnya bagi perbuatan tersebut adalah Rasuah dan tidak ada perkataan lain lagi. Gelaran “politik wang” yang direka itu adalah hanya untuk memberikan gambaran kepada rakyat bahawa “politik wang” itu bukanlah Rasuah dan kedua-dua perkataan dan perbuatan itu adalah berbeza.
Oleh kerana Ali Rustam telah didapati bersalah kerana kegiatan merasuah para perwakilan untuk mengundinya di dalam pemilihan parti yang akan datang, beliau hilang kelayakan bertanding untuk jawatan timbalan presiden parti.
Yang menghairankan adalah kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum mengambil tindakan terhadap Ali Rustam yang terlibat dalam rasuah? Adakah SPRM takut kerana beliau adalah seorang ketua menteri di sebuah kerajaan negeri? Adakah SPRM dihalang daripada mengambil tindakan atas arahan presiden dan timbalan presiden Umno? Ataupun SPRM akan hanya memberikan alasan bahawa tidak ada laporan rasmi dibuat terhadap kegiatan rasuah Ali Rustam?
Umno telah menghukum beberapa orang pemimpinnya kerana mengamalkan rasuah tetapi enggan menyerahkan kes-kes tersebut kepada SPRM untuk diadili, walaupun telah terdapat saksi-saksi yang tampil ke hadapan untuk berbuat demikian. Dan SPRM pula tidak ingin campurtangan di dalam kes-kes tersebut mungkin kerana mereka merasakan bahawa “politik wang” di dalam Umno itu tidak sesalah perbuatan Rasuah.
Mungkinkah itu tanggapan SPRM, oleh kerana Umno adalah parti yang menerajui kerajaan pusat.
No comments:
Post a Comment