Monday, May 25, 2009

Hak asasi manusia terancam kerana kuasa politik ketuanan Umno

Oleh kerana ingin mempertahankan kerajaan pemberontak negeri Perak, upacara nyalaan lilin bagi memperingati detik hitam rampasan kuasa di negeri tersebut telah dimaktubkan sebagai suatu kesalahan yang besar.

Apakah Umno memberontak dan merampas kuasa itu merupakan suatu yang betul dan selari dengan undang-undang? Apakah Umno yang mengancam kaum-kaum lain dengan ketuanan mereka, dengan pelbagai adegan-adegan keganasan selama ini adalah betul?

Apakah orang-orang yang berani, lantang dan yang keluar untuk menentang keganasan dan kekejaman yang dipelopori oleh Umno itu merupakan suatu kesalahan? Adakah orang-orang yang lantang mengkritik dasar-dasar Umno yang memecahbelahkan rakyat dan meruntuhkan perpaduan itu merupakan suatu kesalahan? Apakah orang-orang yang cuba memperbetulkan keadaan yang salah itu juga merupakan suatu kesalahan?

Nampaknya demi untuk mempertahankan kuasa dan ketuanan Umno, keadilan, kesaksamaan serta hak asasi kemanusiaan sudah diketepikan dengan sepenuhnya di negara kita ini. Oleh kerana Umno telah sedar bahawa kuasa dan pengaruh mereka sedang diancam keretakan serta kepudaran dan tidak akan selamat sekiranya demokrasi diteruskan, Umno mula melangkah ke arah pemerintahan kuku besi dan diktator demi mengekalkan kekuasaan mereka. Umno telah tidak mempunyai pilihan lagi, sekiranya mereka masih menerima demokrasi, maka parti mereka akan hancur sama sekali.

Sebab itulah, pemerintahan cara kuku besi adalah merupakan jalan penyelesaian mereka untuk mengekalkan kuasa dan kedudukan mereka. Umno tidak lagi pedulikan hak-hak rakyat, Umno tidak lagi pedulikan kebajikan rakyat, mereka juga tidak pedulikan lagi keselamatan dan keperluan rakyat. Apa yang mereka buat sekarang adalah untuk memastikan kedudukan dan kuasa mereka tidak diancam dan kekayaan mereka akan berterusan di bawah “pakej rangsangan ekonomi” mereka kononnya untuk memulihkan keadaan ekonomi negara.

Demi untuk mempertahankan kedudukan mereka, Umno sanggup melakukan apa sahaja. Kadar jenayah dibiarkan berleluasa demi untuk menakutkan rakyat. Contoh paling ketara berlaku adalah satu kes pembunuhan ngeri dan kejam sebuah keluarga di Ipoh, Perak baru-baru ini. Ianya dibiarkan berlaku dan bukannya dicegah daripada berlaku. Setelah berlaku barulah diambil tindakan. Tindakan apa, penjenayah ditangkap dan mayat-mayat mangsa diambil untuk bedah siasat. Untuk apa semua ini? Semuanya telah terlewat.

Polis dan pasukan keselamatan sering dipergunakan oleh Umno untuk mempertahankan kedudukannya dan menahan orang-orang ramai yang berani keluar menentang dan mengkritik ketidakadilan, keganasan dan kekejaman Umno. Oleh itu, polis dan pasukan keselamatan tidak lagi mempunyai masa dan keperluan yang mencukupi untuk memerangi jenayah di negara kita kerana keseluruhan anggota polis dan pasukan keselamatan telah dikerahkan untuk memerangi parti-parti pembangkang, Majlis Peguam dan NGO-NGO kemausiaan.

Dan sekiranya Umno dibenarkan untuk terus memerintah, rakyat jelata tidak akan selamat daripada ancaman kedua-kedua masalah iaitu jenayah dan politik kuasa Umno. Penjara-penjara dan pusat-pusat tahanan akan ditambah tetapi bukannya untuk menampung kadar jenayah yang semakin meningkat tetapi sebaliknya untuk menampung orang-orang yang menentang kezaliman, kekejaman dan keganasan Umno.

Itu adalah hakikat dan ianya sedang berlaku secara perlahan dan akan merebak ke seluruh negara kita di suatu hari nanti. Oleh kerana itu, kita sebagai rakyat yang taat setia kepada negara dan demokrasi harus mengambil langkah-langkah yang lebih drastik sekarang demi mempertahankan maruah kemanusiaan dan keharmonian kita yang sejagat.

Kita patut menolak dengan sepenuhnya segala kezaliman, kekejaman dan keganasan Umno yang akan membinasakan negara kita.

Wednesday, May 13, 2009

Pilihanraya semula di Perak

Setelah Datuk Seri Nizar Jamaluddin diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai menteri besar Perak yang sah, menteri besar pemberontak Dr Zambry Abd Kadir dengan kadar segera telah memohon mendapatkan perintah daripada Mahkamah Rayuan untuk menggantung keputusan tersebut bagi membolehkan hujah kedua-dua pihak di dengar di kamar mahkamah.

Kerajaan pemberontak negeri Perak pimpinan Dr Zambry enggan berganjak dan terus mementing diri dan konco-konconya, lantas mengetepikan kebajikan rakyat negeri Perak. Selain itu, Dr Zambry juga enggan mendengar seruan dari segenap lapisan masyarakat agar pilihanraya semula diadakan di Perak bagi membolehkan kedua-dua pihak mendapatkan mandat baru.

Dr Zambry semakin tertekan dan takut kehilangan jawatannya, oleh itu beliau enggan mengadakan semula pilihanraya di negeri Perak kerana beliau telah tahu bahawa Umno dan BN akan kalah teruk sekiranya pilihanraya negeri dilaksanakan.

Masa depan negeri Perak sekarang terletak di tangan DYMM Sultan dan DYTM Raja Muda Perak. Kami berharap baginda berdua dapat memberikan titah dan keputusan mereka dengan segera agar krisis perlembagaan yang tercetus akibat daripada pemberontakan Umno itu dapat diselesaikan dengan seberapa segera.

Tuesday, May 12, 2009

Nizar gantung dua pegawai kanan

Malaysiakini ~ Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak menggantung setiausaha kerajaan negeri Datuk Abdul Rahman Hashim dan penasihat perundangannya Datuk Ahmad Kamal Shahid daripada tugas mereka berkuatkuasa serta merta kerana bersubahat dengan pemberontak untuk menggulingkan kerajaan negeri pada bulan Februari yang lalu.

Persoalannya adalah kenapa hanya menggantung sahaja, mereka-mereka ini yang bersubahat dengan pemberontak harus diberhentikan terus daripada perkhidmatan bagi membolehkan struktur pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan lancar.

Adalah membuang masa, wang dan peruntukan umum dengan hanya menggantung mereka ini kerana mereka sememangnya tidak akan dapat bekerjasama dengan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada masa yang akan datang.

Pemecatan mereka harus disegerakan bagi membolehkan jentera kerajaan negeri kembali beroperasi dengan lebih berkesan.

Hakim: Nizar MB Perak yang sah

Malaysiakini ~ Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu melalui cara yang tidak berpelembagaan.

Oleh yang demikian, menteri besar pemberontak Dr Zambry Abd Kadir dan kerajaan pemberontak negerinya perlu berundur dan mengosongkan semua ruang pejabat kerajaan dengan serta merta.

Kerajaan pemberontak tetap pemberontak, walau apajua cara Dr Zambry cuba lakukan bagi memperbetulkan persepsi rakyat terhadapnya. Kita telah tahu, rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan negeri yang lalu memang telah berlaku dan didalangi oleh Umno.

Monday, May 11, 2009

Setelah MIC sekarang PPP pula bergolak

Kedua-dua parti komponen Barisan Nasional yang didominasi oleh Umno, iaitu MIC and PPP kini sedang memperlihatkan pergolakan dalaman yang semakin runcing kerana pemimpin kedua-dua parti kini sedang menyekat pengaruh golongan muda dalam kedua-dua parti tersebut daripada membawa arus perubahan ke dalam kepimpinan mereka.

Kita telah melihat Samy Vellu yang berjaya mengetepikan lawannya dan mengekalkan jawatan beliau sebagai presiden parti untuk satu lagi penggal sambil mendakwa pengaruh beliau di dalam parti masih teguh. Krsis seterusnya akan menyaksikan pertandingan untuk jawatan timbalan presiden dan naib presiden parti di mana beberapa calon-calon pro-Samy dan pro-Subramaniam dijangka naik ke pentas untuk bertanding secara beramai-ramai. Agaknya Samy Vellu dijangka akan terus menguasai MIC dan pertandingan tersebut hanyalah sandiwara bagi menunjukkan beliau masih diperlukan di dalam parti tersebut.

Sekarang tiba giliran pula PPP bergolah. Pemimpin muda parti tersebut T.Murugiah yang disebut-sebut bakal mencabar presiden PPP M.Kayveas di dalam persidangan tahunan parti teresbut Jun ini telah menerima pelbagai tekanan dan tuduhan rasuah. Malah Kayveas juga telah membuat laporan terhadap Murugiah di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak menolak kemungkinan memecat Murugiah daripada PPP sekaligus mengetepikan sebarang cabaran di dalam parti.

Samy Vellu dan M.Kayveas walaupun bermusuhan di dalam BN tetapi perangai dan tingkahlaku mereka sama. Kedua-duanya bersifat diktator dan menolak sebarang di dalam parti masing-masing. Kedua-dua Samy Vellu dan M.Kayveas ingin kekal selama yang boleh sebagai presiden dalam parti masing-masing. Kita tengoklah barisan kepimpinan sekarang di dalam kedua-dua MIC dan PPP, semuanya daripada kalangan golongan tua dan konservatif. Tidak ada seorang pemimpin muda daripada kedua-kedua parti tersebut yang kelihatan menonjol dan bakal menerajui parti dan kalau ada hanya seketika kerana selepas itu mereka-mereka ini akan diketepikan atau disingkirkan bagi mengelak sebarang pertandingan yang boleh menggugat kedudukan pemimpin sekarang.

Apa yang nak diubah di dalam BN sebenar, sedangkan kebanyakan parti-parti komponennya masih mengekalkan sebahagian besar pemimpin-peminpin lama mereka. Hanya slogan dan cogankata yang berubah. Apa guna? Mereka ini tidak akan berubah. BN takut akan perubahan kerana ini akan menjejaskan kedudukan dan kuasa mereka.

Jadi, kita semua tidak perlu menunggu BN untuk merubah kerana mereka sememangnya tidak akan berbuat demikian.

Friday, May 8, 2009

Detik hitam 7 Mei di Perak

Semalam, kita semua telah menyaksikan satu lagi detik hitam di negeri Perak di mana Umno telah melancarkan satu lagi siri rampasan kuasa di mana Speaker dewan undangan negeri yang sah V.Sivakumar telah disingkirkan daripada kedudukannya melalui kekerasan yang tidak sepatutnya diperlakukan terhadap seseorang manusia.

Speaker Sivakumar telah diperlakukan dengan begitu kejam dan keji sekali apabila menteri besar kerajaan pemberontak Dr Zambry Abd Kadir memanggil masuk pasukan keselamatannya untuk membantu merampas kedudukan speaker tersebut daripada Sivakumar dan selepas itu mengadakan pengundian secara tergesa-gesa dengan melantik “speaker” baru mereka agar “persidangan” yang tidak sah tersebut dapat diteruskan.

Bagi mengukuhkan kedudukannya, kerajaan pemberontak negeri yang diterajui oleh Umno juga telah mendapatkan bantuan daripada pasukan keselamatan bagi mengekang pengaruh para pemimpin Pakatan Rakyat dengan menahan ratusan-ratusan wakil-wakil rakyat dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat secara mengejut bagi membolehkan kerajaan pemberontak negeri berkuasa dengan sepenuhnya.

Kami berasa amat malu sekali dan tumpang simpati dengan rakan-rakan kami di negeri Perak, kerana negeri mereka kini diperintah oleh sebuah kerajaan pemberontak yang sedang mentadbir negeri tersebut secara kuku besi, perlembagaan negeri, hak asasi kemanusiaan dan demokrasi telah diketepikan terus dan konsep ketuanan telah diperkenalkan bagi membolehkan mereka menguasai rakyat jelata secara paksa.

Pelbagai ancaman, gertakan dan penipuan sedang dilakukan oleh kerajaan pemberontak negeri bagi menyekat kemarahan rakyat dan sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat. Malah rakyat juga diancam dengan pelbagai undang-undang anti-demokrasi, pemenjaraan, dan ISA agar mereka akan takut dan tidak menyokong Pakatan Rakyat.

7 Mei semalam adalah merupakan detik hitam yang tidak akan dilupai selama-lamanya berikutan kematian demokrasi. Apa yang rakan seperjuangan kita Wong Chin Huat kata, “pakailah yang hitam”, marilah kita sama-sama memakai pakaian hitam, seluar hitam, topi hitam, jalur hitam dan mengibarkan bendera hitam sebagai menandakan bantahan kami secara damai terhadap detik hitam tersebut.

Kita telah mendengar bahawa Dr Zambry menggelar Pakatan Rakyat biadap, tetapi beliau juga kena sedar bahawa beliau dan Umno lebih serius daripada itu. Dr Zambry dan konco-konco Umnonya sememangnya adalah sangat kurang ajar dan banjingan sekali.

Janganlah kita beri peluang kepada kerajaan pemberontak negeri untuk berlaku kejam terhadap kita, rakan-rakan kita serta rakyat jelata. Doakanlah agar keselamatan kita, keluarga kita,dan anak-anak kita akan terus terjamin dan tidak diancam oleh Umno dan kerajaan pemberontak negeri.

Tetapi, selagi Umno masih memerintah, demokrasi dalam negara kita ini akan terus berkubur.

Ikuti versi Bahasa Inggeris kami.

Monday, May 4, 2009

Sidang DUN 7 Mei tidak sah dan haram

Kami ingin memaklumkan kepada semua rakyat jelata khususnya rakyat negeri Perak bahawa persidangan dewan undangan negeri yang dijangka akan diadakan pada 7 Mei ini adalah tidak sah dan haram di segi perlembagaan negeri dan sekiranya persidangan tersebut yang dirancang oleh perampas kuasa Umno diteruskan, maka perlembagaan negeri akan diperbodohkan dan dihina sewenang-wenangnya.

Rakyat jelata khususnya rakyat negeri Perak perlu mengetahui sebab-sebab persidangan dewan undangan negeri tersebut tidak sah dan haram:-

1) Persidangan tersebut telah dirancang oleh sebuah Kerajaan Pemberontak Umno Negeri yang telah menggulingkan Kerajaan Negeri yang sah pada bulan Februari yang lalu.
2) Persidangan tersebut telah dirancang tanpa pengetahuan Speaker DUN V.Sivakumar di mana beliau sepatutnya dimaklumkan terlebih dahulu selaku seorang Speaker.
3) Notis persidangan tersebut telah ditandatangani oleh Setiausaha DUN Abdullah Antung yang telah digantung perkhidmatannya. Jadi, sebarang notis dan dokumen yang ditandatangni oleh seorang penjawat atau pegawai awam yang telah digantung kerjanya adalah dianggap tidak sah dari segi undang-undang.

Oleh yang demikian, kami menyeru rakyat negeri Perak agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang keji dan rendah maruah yang didalangi oleh Umno dan menggesa rakyat agar mengecam segala tindakan yang haram, tidak demokratik dan tidak berpelembagaan yang sering dilakukan oleh Umno demi mengekalkan kedudukannya di negeri Perak secara tidak sah.

Zambry akan guna kekerasan ?

Seperti yang telah kita ketahui, kerajaan pemberontak negeri Perak pimpinan menteri besar pemberontaknya Dr Zambry Abd Kadir dijangka akan membentang usul untuk menyingkir Speaker dewan undangan negeri V.Sivakumar daripada kedudukannya melalui persidangan dewan undangan negeri yang telah dirancang oleh Dr Zambry untuk diadakan pada 7 Mei ini.

Rupa-rupanya notis untuk memanggil persidangan dewan undangan negeri tersebut telah dibuat tanpa pengetahuan Sivakumar selaku Speaker Dewan. Ini adalah kerana persidangan tersebut pada mulanya dirancang secara sulit dengan kerjasama setiausaha dewan Abdullah Antung yang telah digantung perkhidmatannya kerana engkar arahan Speaker.

Jadi sekiranya persidangan dewan undangan negeri ini dirancang tanpa pengetahuan Speaker dan pada masa yang sama notis tersebut ditandatangani oleh setiausaha dewan yang telah digantung perkhidmatannya, adakah persidangan tersebut sah? Sudah tentunya ianya tidak sah dari segi perlembagaan.

Sebagai Speaker, Sivakumar juga berhak untuk menolah sebarang usul yang dibentangkan di dalam dewan sepertimana Speaker Dewan Rakyat yang sering menolak usul-usul yang dikemukakan oleh ahli-ahli dewan rakyat kita.

Dan jika sekiranya Sivakumar mengambil keputusan untuk menolak usul untuk menyingkir beliau daripada kedudukannya sebagai Speaker, adakah Dr Zambry akan menggunakan kekerasan untuk menyingkir Sivakumar dengan mendapatkan bantuan pasukan keselamatan dan polis untuk berbuat demikian.

Rancangan Dr Zambry untuk menggunakan kekerasan bagi meluaskan kuasanya berkemungkinan ada, berikutan kehadiran begitu ramai anggota polis dan pasukan keselamatan yang dikerah ke dalam negeri tersebut menjelang 7 Mei.

Pada 7 Mei ini, adakah pihak berkuasa akan terus bersubahat dengan Umno di dalam siri rampasan kuasanya yang ketiga?